Oleh Mohd Amin Jalil


Nilai: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bekerjasama dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) dalam usaha melahirkan seramai 10,000 usahawan dalam kalangan pelajar dan mahasiswa di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, tahun ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mansor Othman, berkata TEKUN sudah menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta pembiayaan tahun ini, bagi membantu menjayakan program keusahawanan itu.

"Peruntukan yang kami terima sebanyak RM20 juta daripada TEKUN baru-baru ini sebagai usaha memberi peluang dan menggalakkan lebih ramai pelajar dan mahasiswa membabitkan diri dalam bidang keusahawanan.

"Melalui peruntukan itu, kami menyasarkan dapat melahirkan sekurang-kurangnya 10,000 usahawan dalam kalangan pelajar dan mahasiswa di bawah kementerian ini tahun ini.

"Mereka berpeluang mendapatkan pembiayaan sekurang-kurangnya RM5,000 untuk membabitkan diri dalam bidang keusahawanan," katanya selepas melakukan lawatan ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, tadi.

Turut hadir, Naib Canselor USIM Profesor Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin.

Mengulas lanjut, Mansor berkata, KPT juga turut menerima sejumlah dana keusahawanan daripada Kementerian Kewangan bagi menampung pelaksanaan program keusahawanan di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Beliau berkata, kementeriannya memberi fokus kepada kebolehpasaran mahasiswa di samping permasalahan lain termasuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) di IPT.

Menurutnya, pandemik Covid-19 yang melanda negara ternyata memberi kesan kepada graduan dan bakal graduan berikutan cabaran ketidaktentuan ekonomi dan peluang mendapatkan pekerjaan.

"Kami sebolehnya mahu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada pelajar dan mahasiswa selain mereka berkeupayaan mencipta peluang sendiri.

"Justeru itu, kami (KPT) berusaha menzahirkan komitmen tinggi dalam melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan graduan yang mampu bersaing dalam pasaran lebih kompetitif," katanya.

Mengenai lawatan ke USIM, Mansor berkata, pihaknya berpuas hati dengan perjalanan pengurusan USIM terutama membabitkan PdP dan kemudahan berkaitan.

"Saya juga menyambut langkah USIM yang melaksanakan program keusahawanan pertanian iaitu projek tanaman nanas MD2 yang wajar dikembangkan di universiti lain," katanya.

 Mansor Othman (dua dari kiri) ditemani Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mohamed Ridza Wahiddin (kiri) ketika membuat lawatan ke Kedai Buku Penerbit USIM dalam  lawatan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ke USIM. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Mansor Othman (dua dari kiri) ditemani Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mohamed Ridza Wahiddin (kiri) ketika membuat lawatan ke Kedai Buku Penerbit USIM dalam lawatan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ke USIM. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 4:59 PM