SALURAN mempermudahkan hubungan erat memangkin kesejahteraan warga universiti dengan lebih baik.
SALURAN mempermudahkan hubungan erat memangkin kesejahteraan warga universiti dengan lebih baik.
Suliati Asri


KEWUJUDAN pusat alumni di institut pengajian membuktikan betapa pentingnya sumbangan bekas pelajar kepada pusat pengajian.

Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia misalnya, baru-baru ini ditubuhkan atas inisiatif pentadbir pusat alumni universiti awam menggembleng tenaga berkongsi rasa dan ruang untuk memangkin kesejahteraan warga universiti dengan lebih baik.

Penyertaan majlis alumni oleh semua universiti awam seluruh Malaysia menunjukkan satu petanda kesepakatan antara pentadbiran setiap pusat alumni demi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada bekas pelajar.

Selain itu, ia juga meletakkan tanda aras boleh diukur supaya setiap penyertaan tidak tercicir daripada matlamat penubuhannya.

Sebagai bekas pelajar, apa keperluan mereka sebagai alumni? Sejauh mana boleh membantu sedangkan mereka pastinya sudah mempunyai kerjaya sendiri?

Pengarah Pusat Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahril berkata, pembabitan alumni dalam menyokong dan memberi sumbangan secara sukarela kepada universiti adalah penting bagi mengekalkan serta mengembangkan pembangunan universiti.

PELANCARAN laman web AiMS untuk perkasa data alumni secara virtual bersama Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof Dato Dr Md Amin Md Taff.
PELANCARAN laman web AiMS untuk perkasa data alumni secara virtual bersama Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof Dato Dr Md Amin Md Taff.

Menurutnya, dengan mewujudkan saluran yang mempermudahkan hubungan erat antara alumni dengan pelajar serta universiti, ia dapat memberi faedah dalam memperkayakan pengalaman pelajar ketika berada di universiti itu.

"Setiap alumni melalui pengalaman daripada pelajar kepada graduan yang berbeza. Dengan itu, terdapat potensi untuk setiap alumni menyumbang kepada universiti dalam cara dan skala yang pelbagai.

"Justeru, adalah penting untuk alumni menyumbang kembali ke alma mater (sekolah, maktab atau universiti yang pernah menjadi tempat belajar seseorang) bagi memperkasakan institusi itu sendiri selain membina jaringan yang lebih kukuh antara pusat pengajian dan bekas pelajar," katanya.

Dr Mohd Izwan berkata, alumni juga adalah suri teladan (role-model) yang terbaik buat pelajar yang masih menuntut di universiti.

Katanya, dengan pembabitan pelajar dan alumni dalam pelbagai program, ia ibarat program pemindahan maklumat daripada alumni kepada mahasiswa yang sedang menuntut di universiti seterusnya memberi gambaran kerjaya dan pemahaman dengan lebih efektif.

"Melalui pertemuan bekas pelajar dan mahasiswa, ia dapat memberikan cetusan idea dan inspirasi kepada mereka untuk menjadi lebih kritis dalam mencari peluang pekerjaan.

"Mahasiswa juga sekurang-kurangnya selangkah ke hadapan melalui pendedahan yang diberikan dan memberi lebih peluang kepada graduan untuk bertemu prospek kerjaya," katanya.

Dalam memastikan alumni sentiasa dekat dengan pusat alumni, selain daripada urus tadbir yang baik, kerjasama dan komunikasi juga adalah kunci kejayaan hubungan alumni.

Justeru, Dr Mohd Izwan berpendapat, memperkasa alumni melalui urus tadbir yang cekap boleh dilaksanakan menerusi kesepakatan dan kerjasama antara dua pihak iaitu pentadbiran pusat alumni serta alumni itu sendiri.

Menurutnya, pentadbiran yang sudah pun distrukturi dalam satu organisasi perlu menyatakan dengan jelas fungsi jabatan itu sendiri dengan memurnikan peranan dan tanggungjawab terhadap alumni.

"Jaringan kerjasama dua hala ini perlu diperkukuhkan melalui komunikasi yang berkesan tanpa menidakkan keharmonian antara pihak pentadbiran dan bekas pelajar.

MINUM petang Chapter Alumni Pantai Timur.
MINUM petang Chapter Alumni Pantai Timur.

"Menerusi komunikasi yang baik, alumni mudah memberi kerjasama dalam sebarang aktiviti dilaksanakan sama ada pembabitan secara langsung ataupun tidak.

"Biarpun tidak semudah yang disangkakan, namun komunikasi adalah kunci kepada satu-satu agenda. Jadi, berkomunikasi dengan sebaiknya," katanya.

Ditanya mengenai sumbangan yang diharapkan daripada alumni terutama dalam keadaan yang mencabar ini dengan penularan pandemik Covid-19, kata Dr Mohd Izwan, antara sumbangan yang boleh diberikan alumni kepada alma mater termasuk sumbangan kewangan bagi pembangunan universiti secara fizikal dan menyumbang kepada kebajikan mahasiswa. Contohnya menyediakan biasiswa atau dermasiswa kepada mahasiswa untuk melanjutkan pengajian.

"Selain itu, alumni boleh menyumbang sebagai duta dan ikon dalam mempromosikan universiti kepada masyarakat dan negara luar untuk meneruskan pengajian di alma mater.

"Alumni juga boleh menyumbang dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan kerana alumni yang mempunyai syarikat dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada pelajar," katanya.

Di UPSI, pihak Pusat Alumni mewujudkan beberapa inisiatif khusus buat alumninya termasuk mewujudkan Alumni Information Management System (AIMS) bagi mengemaskini data alumni dan mewujudkan Tabung Alumni Care untuk alumni menyumbang kepada UPSI.

"Inisiatif pengurangan yuran pengajian kepada alumni melanjutkan mengajian di UPSI juga diberikan selain diskaun pembelian buku di penerbitan Pejabat Karang Mengarang, diskaun sewaan kemudahan serta menyediakan kad debit alumni.

"Kami juga mewujudkan buku ikon alumni bagi menghargai sumbangan yang diberikan dalam pelbagai bidang serta mewujudkan anugerah khas dalam sesi konvokesyen," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Mohd Asri Husain berkata, sebagai alumni universiti mereka adalah duta kecil yang mewakili menara gading untuk membantu masyarakat.

Menurutnya, alumni bertanggungjawab mempersiapkan diri dengan ilmu dalam bidang yang dipelajari dan memperlengkapkan dengan kemahiran insaniah yang berguna untuk membantu mereka di alam pekerjaan.

"Alumni universiti tempatan boleh membantu menyumbang kepada alma mater dalam pelbagai segi tidak semestinya dalam bentuk kewangan.

"Sebagai contoh, Pusat Alumni dan Kerjaya USIM menyediakan pelbagai platform untuk alumni kembali bersama-sama universiti antaranya melalui penganjuran program Mentor Usahawan, Inspirational Talk, Wacana Alumni, Penajaan Anugerah Konvokesyen dan Penajaan Tabung Kebolehpasaran Graduan USIM-UI Platinum (syarikat alumni)," katanya.

PROGRAM pemindahan maklumat oleh Alumni UPSI -  Eksplorasi STEM di SMK Slim Oktober 2020.
PROGRAM pemindahan maklumat oleh Alumni UPSI - Eksplorasi STEM di SMK Slim Oktober 2020.

Mohd Asri berkata, Pusat Alumni dan Kerjaya USIM melihat alumni sebagai aset yang perlu dijaga kerana mereka semakin bertambah setiap tahun.

Oleh itu, menurutnya USIM memberikan penekanan dalam Pelan Strategik Universiti iaitu MISI 2022 dengan menjadikan Teras 1 - Graduan dan Alumni.

"Antara usaha yang dilaksanakan ialah menyediakan laman web baharu Alumni USIM, penubuhan Chapter Alumni di setiap zon di Malaysia. Di peringkat antarabangsa pula sudah ada Chapter Indonesia.

"Selain itu juga, terdapat pelbagai saluran media sosial yang membolehkan alumni berhubung dengan pihak universiti seperti melalui aplikasi kumpulan WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram dan banyak lagi," katanya.

Untuk terus memberikan yang terbaik kepada universiti, Mohd Asri berharap Alumni USIM dapat terus berhubung dengan alma mater secara berterusan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.

"Alumni USIM sentiasa dialu-alukan dan dijemput untuk bekerjasama dalam pelbagai program serta menggunakan fasiliti di universiti.

"Pada masa sama, mereka juga boleh membawa anak-anak melawat kampus sebagai salah satu destinasi lawatan keluarga," katanya.

Dalam keadaan yang sukar terutama penularan pandemik Covid-19 seterusnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini, Majlis Alumni Universiti Awam kerjasama dengan alumni dengan membantu graduan untuk penempatan pekerjaan.

"Bagi membantu bakal graduan dalam tempoh sukar semasa pandemik Covid-19 ini, Majlis Alumni Universiti Awam dengan kerjasama Bahagian Mahasiswa Holistik, Kementerian Pengajian Tinggi mengatur usaha bagi membantu kumpulan ini.

"Objektif program ini adalah bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada bakal graduan di syarikat Usahawan Alumni Universiti Awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 6:10 AM