MENJALANKAN perniagaan sambil belajar amat signifikan bagi menjana wang sampingan untuk kelangsungan hidup pelajar.
MENJALANKAN perniagaan sambil belajar amat signifikan bagi menjana wang sampingan untuk kelangsungan hidup pelajar.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


TAHUN 2020 sememangnya cukup mencabar dalam pelbagai aspek. Sektor pendidikan juga tidak terkecuali.

Pengangguran dalam kalangan graduan juga dilihat meningkat berikutan keadaan ekonomi bukan saja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia berikutan pandemik Covid-19.

Hal ini merisaukan ramai pihak termasuk mahasiswa yang mengikut kursus masing-masing.

Namun, pandemik ini juga dilihat membuka peluang luas dalam pelbagai aspek termasuk keusahawanan.

Mahasiswa juga dilihat tidak melepaskan peluang menceburi bidang ini walau masih belajar.

Keusahawanan bukan sesuatu yang baharu dalam kalangan mahasiswa dan mereka disarankan menerapkan ilmu itu yang juga sebahagian daripada lonjakan pertama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Pengetua Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Nahrizul Adib Kadri berkata, ciri-ciri keusahawanan yang dimaksudkan PPPM bukan bermaksud semata-mata untuk menghasilkan usahawan dalam kalangan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) kerana objektif pembelajaran peringkat tertinggi membabitkan ruang lingkup yang lebih luas.

Menurutnya, kebolehan menguasai dan mengurus ilmu dalam jurusan yang diambil serta penerapan nilai teras universiti, antara tanggungjawab yang wajib dicapai graduan.

MAHASISWA perlu guna setiap peluang yang diberikan serta belajar berniaga dari awal.
MAHASISWA perlu guna setiap peluang yang diberikan serta belajar berniaga dari awal.

"Apa yang ingin dilihat dalam diri seorang graduan holistik adalah sifat positif seperti keberanian mencuba sesuatu yang baharu, pemahaman pernyataan masalah sebelum proses pembentangan solusi, keinginan untuk mencabar apa-apa norma kebiasaan dalam usaha mencari penyelesaian, semangat kebersamaan dalam perbincangan dan diskusi serta lain-lain.

"Selain itu, sifat yang lebih penting adalah keberanian untuk menghadapi kegagalan. Seorang graduan yang memiliki sifat ini tidak mudah rentan menghadapi cabaran, walaupun di era pascapandemik Covid-19 kelak," katanya.

MAHASISWA perlu kreatif dalam mencari peluang berniaga ketika belajar.
MAHASISWA perlu kreatif dalam mencari peluang berniaga ketika belajar.

Menurut Dr Nahrizal, kejayaan menjadi usahawan ketika atau selepas bergelar graduan adalah bonus jika sifat positif berkenaan berjaya diterapkan.

"Universiti sentiasa membantu menyokong pelajarnya yang ingin meneroka sisi keusahawanan mereka kerana perkara itu akan menambah baik kebolehpasaran mereka ketika tamat pengajian kelak," katanya.

Bagi pelajar tahun tiga Fakulti Sains UM, Nur Deanna Amiruddin berkata, perniagaan ini tidak hanya tertumpu kepada jualan fizikal, tetapi juga pemasaran dalam talian yang membolehkan seseorang itu lebih proaktif serta menguji kemampuan mereka.

Kata Nur Deanna, dengan adanya ilmu keusahawanan pelajar dapat belajar cara untuk mendapatkan wang sampingan selain membina satu 'networking' yang sangat besar daripada pelanggan.

"Jika bukan sekarang, bila lagi pelajar akan mempelajari perkara baharu dalam mempersiapkan diri bagi menghadapi masa depan yang tidak pasti?

"Saya juga merasakan pelajar kini perlu mengejar dan menggunakan setiap peluang yang diberikan serta belajar berniaga dari awal sebab ilmu perniagaan bukan sahaja penting untuk menjana pendapatan, malah dapat menyiapkan diri untuk menceburi bidang baharu dalam masa akan datang.

"Pelajar juga dapat melengkapkan diri dengan kemahiran yang boleh membina peribadi lengkap dan bermanfaat terutama untuk kebolehpasaran pelajar UM," katanya.

BERNIAGA bantu pelajar terapkan minat terhadap keusahawanan.
BERNIAGA bantu pelajar terapkan minat terhadap keusahawanan.

Mengulas mengenai berniaga ketika masih belajar, menurut Nur Deanna, bidang itu membolehkannya menyiapkan diri untuk dunia perniagaan yang akan datang.

"Saya secara peribadi melihat banyak peluang yang tersedia untuk usahawan muda pada masa kini. Jadi, tiada alasan yang menghentikan seseorang pelajar untuk belajar lebih dari apa yang sedia ada.

"Bukan itu sahaja, menjalankan perniagaan sambil belajar amat signifikan bagi menjana wang sampingan untuk kelangsungan hidup pelajar.

"Pelajar boleh belajar untuk menjadi lebih berdikari menanggung hidup sendiri, mempelajari lebih banyak pengalaman manis dan pahit, sekali gus mendorong mereka berkembang ke peringkat lebih besar merangkumi skop antarabangsa," katanya yang juga aktif melakukan perniagaan secara separuh masa.

Sementara itu, pengasas dan pemilik He and She Coffee, Zulkiflee Yusof berkata, kaedah terbaik bagi menggalak dan mendedahkan pelajar dengan ilmu keusahawanan adalah dengan membuka seluas-luasnya pintu kampus kepada pemain industri terpilih.

Menurutnya yang mengusahakan beberapa kafe termasuk di UM, Universiti Utara Malaysia, Universiri Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, usaha sama dan kolaborasi langsung antara kedua-duanya juga perlu dipertingkatkan.

"Usaha membawa pemain industri secara langsung dalam arus perdana kampus perlu dibuat secara lebih teratur dan berstruktur supaya ia boleh dijayakan dengan baik serta mendapat hasil yang maksima.

"Sewajarnya kita perlu melihat dari sudut berbeza sejajar matlamat asal kerjasama atau kolaborasi yang diwujudkan," katanya.

Zulkiflee berkata, dia juga yakin sekiranya usaha ini benar-benar dibuat atas dasar kebaikan bersama maka ia pasti dapat menyemai dan menyemarakkan lagi semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar.

"Kehadiran pemain industri dalam kampus dapat mereka saksikan dan rasainya.

"Kita tunjukkan apa erti keusahawanan secara fizikal bukan sekadar teori bersifat akademik semata," katanya.

Zulkiflee berkata, semua mahasiswa boleh jadi usahawan tidak kira kursus apa yang diambil asal mempunyai minat mendalam dan bukan disebabkan tiada pilihan.

"Berniaga sambilan secara kecil-kecilan sangat membantu pelajar untuk menerapkan minat terhadap keusahawanan.

"Minat perlu datang sendiri atas inspirasi yang mereka lihat dan rasai bukan disebabkan faktor yang menyebabkan mereka terpaksa lakukannya," katanya.

Bagi pelajar yang ingin berniaga sambil belajar, Zulkiflee menyarankan supaya mereka mencari ruang dan peluang untuk belajar sambil bekerja.

"Ruang ini mungkin sangat terhad di kampus disebabkan kurangnya pemain industri terpilih yang memiliki operasi di kampus.

"Bagaimanapun, masih ada ruang dan peluang di luar terutama untuk pelajar yang lokasi kampusnya terletak di bandar besar di Malaysia.

"Tapi ingat, falsafah ini. Belajar sambil bekerja bukan bekerja sambil belajar. Faham dan amati maksud sedalam-dalamnya. Ia serupa, tapi tak sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 7:00 AM