FORUM ICoMM 8 berlangsung secara ‘live streaming’ selama sejam 30 minit.
FORUM ICoMM 8 berlangsung secara ‘live streaming’ selama sejam 30 minit.
Sudirman Mohd Tahir

Penganjuran program 'The Eighth International Conference on Management and Muamalah' (8th ICoMM 2021) anjuran Fakulti Pengurusan dan Muamalah (FPM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) satu lagi usaha bagi memperkasakan pembangunan penyelidikan dan persidangan dalam kalangan pengamal akademik.

Malah, dari persidangan itu mereka yang terbabit berpeluang berkongsi hasil dapatan penyelidikan di peringkat antarabangsa, sekali gus menjadikan ia antara program persidangan yang ditunggu-tunggu pada setiap tahun.

Biarpun program ini diadakan secara dalam talian, namun penganjur berjaya mengumpulkan 120 pembentang dan peserta seminar.

Pembentangan kertas kerja seminar adalah melalui aplikasi Google Meet membabitkan 15 bilik yang diadakan secara serentak.

Selain pembentang dari Kuis, antara universiti awam dan swasta lain yang terbabit ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Open University Malaysia (OUM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Institut Pendidikan Guru (IPG), Universiti Selangor (Unisel), Universiti Putra Malaysia (UPM), Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Al-Madinah International University (Mediu).

Pengarah program juga pensyarah di Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Norazirawati Ahmad berkata, bertepatan dengan tema persidangan iaitu 'Managing Transformation of Humanities through Multidisciplinary Studies,' antara objektif utama penganjuran adalah untuk menyediakan platform bagi perkongsian maklumat dan dapatan kajian berkaitan teori, metodologi dan aplikasi dalam bidang pengurusan dan muamalah.

PESERTA ICoMM 8 membentangkan kertas kerja mereka menerusi aplikasi GM secara serentak membabitkan 15 bilik.
PESERTA ICoMM 8 membentangkan kertas kerja mereka menerusi aplikasi GM secara serentak membabitkan 15 bilik.

"Memandangkan kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, jadi saya dan pasukan sepakat meneruskan persidangan ini secara dalam talian atau virtual. Malah, ini adalah kali kedua program diadakan secara normal baharu.

"Namun, ia tidak menghalang fokus dan objektif utama kami menjalankan program ini. Menerusi persidangan ini ia dapat menyumbang kepada semua bidang utama dalam pengurusan dan muamalah dari segi aspek teori serta aplikasi.

"Selain itu, persidangan ini menyediakan medan dan ruang bagi penyelidik, pengamal akademik serta industri bertemu untuk berkongsi maklumat bagi membangunkan bidang kepakaran masing-masing. Dalam masa sama memberi peluang kepada penyelidik berkongsi dan memupuk pengetahuan, idea serta dapatan kajian melalui penyelidikan yang dijalankan," katanya.

Menurut Norazirawati, menerusi 8th ICoMM 2021 juga, pasukannya berjaya menggabungkan elemen penyiaran dan multimedia bagi memberikan lagi impak kepada penganjuran program yang diketuai Bahtiar Mohd Nor juga pensyarah Komunikasi (Penyiaran).

PROSES akhir persediaan forum live streaming. Dari kiri atas, Moderator, Zainal Ariffin Ismail, Pengarah ICoMM 8, Norazirawati Ahmad (kanan atas), Ketua teknikal ICoMM 8, Bahtiar Mohd Nor (kanan bawah) dan Penyelaras live streaming ICoMM 8, Zairil Azmir Zaiyadi (kiri bawah).
PROSES akhir persediaan forum live streaming. Dari kiri atas, Moderator, Zainal Ariffin Ismail, Pengarah ICoMM 8, Norazirawati Ahmad (kanan atas), Ketua teknikal ICoMM 8, Bahtiar Mohd Nor (kanan bawah) dan Penyelaras live streaming ICoMM 8, Zairil Azmir Zaiyadi (kiri bawah).

Selain pembentangan seminar menerusi Google Meet, pengisian program meliputi rakaman dan forum dalam talian bertajuk Pengurusan Transformasi Modal Insan Pada Masa Kini yang disiarkan secara langsung di Facebook Fakulti Pengurusan dan Muamalah, FPM Kuis dengan pembabitan tiga ahli panel dan moderator.

Panel terdiri daripada Dekan UKM-Graduate School of Business, UKM, Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul, Pensyarah Senior UPM, Dr Othman Talib, Ketua Bahagian, Strategi Korporat Lembaga Zakat Selangor Kamarulzaman Omar. Manakala moderator menampilkan personaliti TV popular, Zainal Ariffin Ismail.

"Konsep pelaksanaan secara 'live streaming' ini memberikan nilai dan impak tambahan kepada khalayak. Forum yang diketengahkan secara langsung ini membolehkan penonton mengikuti perbincangan, sekali gus memperoleh maklumat yang penting dan berguna.

"Tujuan kolaborasi panel daripada pakar bidang akademik dan industri selain penyelidikan ini bagi memberi nilai tambah kepada program selain peserta dapat menghayati tema seminar ini dengan lebih mendalam," katanya.

Norazirawati berkata, di sebalik kejayaan penganjuran persidangan itu, pasukannya turut berdepan cabaran.

"Penganjuran seminar kali ini lebih mencabar kerana seminggu sebelum program berlangsung kes Covid-19 meningkat dengan mendadak yang membawa kepada pengumuman 'total lockdown'.

"Kami menggunakan pelan kontigensi kerana sudah menjangkakan perubahan yang akan berlaku. Ketika itu kami hanya mempunyai masa sehari untuk menyusun semula gerak kerja yang dirancang sebelum ini. Forum yang sepatutnya dirancang diadakan secara bersemuka di studio MCP, KUIS terpaksa berubah medium dalam talian sepenuhnya. Begitu juga dengan segmen lain seperti cabutan bertuah, bacaan doa dan pengacaraan perlu diubah kepada bentuk rakaman.

"Syukurlah saya ada ahli jawatankuasa teknikal yang berkebolehan ketika mengendalikan kerja penyuntingan dan 'live streaming'. Watak pembawaan diri dan matang dalam menghadapi situasi genting ini membawa kepada kejayaan pelaksanaan sepenuhnya ICoMM 8 dalam talian pada kali ini. Kejayaan ini juga dipengaruhi oleh pengalaman, pengetahuan dan latar belakang semua AJK pelaksana yang terbabit," katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 10 peratus daripada keuntungan seminar disumbangkan kepada dana WAKAF KUIS. Menerusi itu, penganjur akan mempergiatkan usaha promosi setiap tahun agar dapat menyumbang lebih banyak kepada dana Wakaf sekaligus dapat menjadi amal jariah bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 6:00 AM