DR Noor Inayah (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada Dekan FPM.
DR Noor Inayah (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada Dekan FPM.
Sudirman Mohd Tahir

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini tidak menghalang penganjuran Persidangan Antarabangsa Pengurusan dan Muamalah 2020 kali ketujuh (ICoMM) Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).

Selain diadakan secara normal baharu iaitu menerusi dalam talian, penganjuran kali ini menyuntik kelainan dengan menggabungkan elemen penyiaran sebagai nilai tambah kepada pembentang kertas kerja dan penonton. Dalam erti kata lain secara 'web broadcasting.'

Membawakan tema isu kontemporari dalam pengajian sosial (Contemporary Issues in Social Studies) edisi kali ini disertai 97 pembentang kertas kerja yang mewakili beberapa institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di seluruh negara.

Antaranya Kuis, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pahang, UiTM Terengganu, UiTM Rembau, Universiti Selangor (UniSEL), Universiti Sultan Azlan Shah (Usas) dan Management & Science Unviversity (MSU).

Pengarah Program, Zairil Azmir Zaiyadi berkata, penganjuran ICoMM 2020 kali ketujuh ini berjaya mencapai matlamat selain menjadi penggerak kepada lebih banyak program seminar atau persidangan secara dalam talian yang menggabungkan elemen penyiaran.

"Ini pertama kali ICoMM diadakan secara 'web broadcast.' Kebiasaanya orang menggunakan aplikasi Google Meet, Zoom dan sebagainya, jadi variasi 'shot' tidak ada. Disebabkan itu, program kali ini menggunakan kepakaran Pensyarah Komunikasi Penyiaran, Bahtiar Mohd Nor untuk membantu penerbitan secara penyiaran 'Multiple Camera Production' (MCP).

"Kalau ikutkan perancangan asal sama seperti penganjuran sebelum ini, tapi selepas pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami terpaksa tukar perancangan. Malah, untuk menggunakan pendekatan MCP ini pun dibuat dua bulan lalu.

"Alhamdulillah, walaupun segalanya normal baharu, penyertaan kali ini dianggap sangat menggalakkan. Cuma hasil pembentangan video masih ramai lagi yang belum dapat skil dan boleh diperbaiki pada masa akan datang. Mungkin ini masih baru buat semua apatah lagi selepas IPT di seluruh negara menjalankan pengajian secara dalam talian," katanya.

SUASANA belakang tabir ketika persidangan berlangsung.
SUASANA belakang tabir ketika persidangan berlangsung.

Dibantu 31 ahli jawatankuasa yang juga pensyarah dari Fakulti Pengurusan & Muamalah, Zairil mengakui berpuas hati dapat melaksanakan ICoMM 2020 kali ketujuh dengan jayanya.

"Sejujurnya saya berpuas hati sebab berjaya buat perkara baharu terutama dapat menggabungankan web dan penyiaran. Sedikit sebanyak memberikan nilai tambah bukan saja untuk kami dan pembentang, tapi juga untuk penonton. Selain itu, ini juga memberikan pengalaman baharu buat kami yang terbabit.

"Apa yang pasti, penganjuran sebegini menjadikan kos jauh lebih murah sebab di Kuis sudah ada kemudahan untuk membuat penerbitan penyiaran," katanya.

Program ICoMM 2020 kali ketujuh dirasmikan Rektor Kuis, Profesor Datuk Dr Ab Halim Tamuri dan turut menjemput Rektor Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur, Profesor Datuk Dr Noor Inayah Ya'akub selaku Keynote Speaker.

Daripada 73 pembentangan kertas kerja, 10 terbaik terpilih dibuat secara siaran langsung dan selebihnya dimuat naik di laman Facebook rasmi iaitu ICoMM FPM.

Sementara itu, daripada 10 pembentangan terbaik itu, terdapat dua kategori utama disediakan iaitu Kertas Kerja Terbaik dan Video Pembentangan Terbaik.

Pemenang bagi Kertas Kerja Terbaik adalah Dr Maryam Yousefi Nejad (MSU) dengan tajuk 'Does IFRS Drive Information Asymmetry Reduction? Evidence from Asean-6 Countries', Siti Hawa Radin Eksan (Kuis) menerusi tajuk 'Halal Risk Management: A Systematic Literature Review' dan Dr Mohamad Sahizam Musa (UiTM Pahang) dengan tajuk 'Standard of Care during Post Movement Control Order (MCO) SOP among Theme Park Occupiers: A Legal Perspective.'

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 7:37 AM