WAN MAHMOOD (duduk tengah) dan Dr Ishak (duduk kiri) bersama peserta PERISA 19.
WAN MAHMOOD (duduk tengah) dan Dr Ishak (duduk kiri) bersama peserta PERISA 19.
Oleh Fazurawati Che Lah


SEBANYAK 214 produk inovasi hasil ciptaan pensyarah politeknik, kolej komuniti serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dipertandingkan dalam Pertandingan Inovasi Pensyarah TVET Peringkat Kebangsaan 2019 (PERISA 19).

Penganjuran kali kelima PERISA 19 diadakan di Kolej Komuniti Selayang, Selangor yang menghimpunkan hasil penyelidikan dan inovasi dalam bidang TVET melalui empat kategori iaitu Pengajaran dan Pembelajaran, Teknikal dan Kejuruteraan, Sains Sosial dan Teknologi Maklumat.

Malah penganjuran PERISA menjadi landasan khusus untuk pertandingan hasil inovasi yang berpotensi tinggi pada peringkat kebangsaan untuk diketengahkan ke antarabangsa.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr Ishak Mohamad, inovasi yang dilaksanakan perlu berasaskan permasalahan di industri dan institusi TVET untuk menghasilkan produk yang boleh menjadi penyelesaian kepada masalah dihadapi.

“JPPKK berjaya memperoleh dana berbentuk geran penyelidikan bernilai RM4.91 juta.

“Geran itu melaksanakan pelbagai penyelidikan dan inovasi TVET melalui Applied Research Scheme (TARGS) dan Public Private Reserch Network (PPRN) yang berasaskan keperluan semasa serta boleh komersial,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan PERISA19, baru-baru ini.

WAN MAHMOOD (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pensyarah, Dr Anwar Hamid (tengah) dan Mohd Zaki Abd Manaf (dua dari kiri) dari Kolej Komuniti Kepala Batas selaku penerima Anugerah Inovasi Terbaik Keseluruhan yang bertajuk NFC Smart Tag.
WAN MAHMOOD (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pensyarah, Dr Anwar Hamid (tengah) dan Mohd Zaki Abd Manaf (dua dari kiri) dari Kolej Komuniti Kepala Batas selaku penerima Anugerah Inovasi Terbaik Keseluruhan yang bertajuk NFC Smart Tag.

Turut hadir, Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh yang merasmikan penutup acara itu.

Dr Ishak berkata, hasil inovasi yang dipertandingkan itu dapat disebarluaskan kepada umum, sekali gus memberi peluang untuk perkongsian bersama bagi memartabatkan produk berkaitan.

Katanya, pertandingan peringkat kebangsaan itu turut menggalakkan penciptaan inovasi yang mempunyai nilai komersial tinggi.

Sementara itu, Wan Mahmood berkata, inovasi yang dihasilkan menjadi penanda aras baharu seiring Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dalam keupayaan penciptaan yang bersifat baharu, unik dan bermanfaat terutama kepada industri.

PERISA 19 adalah wadah yang dilaksanakan bagi memberi peluang kepada semua pensyarah kolej komuniti dan politeknik khususnya serta tenaga pengajar TVET untuk berkongsi hasil penyelidikan kepada umum.

Perkongsian itu bagi menyokong kepada pembangunan teknologi berkaitan dengan orientasi industri. Selain itu, penganjuran pertandingan itu dapat memberikan peluang baik kepada peserta menonjolkan hasil inovasi yang dibangunkan.

Inovasi terbaik dalam bidang Teknologi Maklumat dimenangi oleh Kolej Komuniti Pasir Gudang, Johor melalui inovasi ATrIS (Asset Tracking Intelligent System).

Sementara inovasi terbaik bagi kategori Pengajaran dan Pembelajaran dimenangi inovasi Annox Mobile dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim Kedah.

Pada masa sama, bidang Teknologi Kejuruteraan dimenangi gabungan penyelidik dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu dengan inovasi Smart Mosquitoes Monitoring System.

Bagi Anugerah Inovasi Terbaik Keseluruhan pula dimenangi oleh Kolej Komuniti Kepala Batas, Pulau Pinang dengan tajuk inovasi NFC Smart Tag, sekali gus membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1,000, trofi dan sijil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 11:22 AM