KAKITANGAN Mardi menuai hasil ubi keledek.
KAKITANGAN Mardi menuai hasil ubi keledek.
Hidayatidayu Razali


Ubi keledek bukan sahaja boleh dimakan begitu sahaja, malah ia juga digunakan dalam pelbagai produk makanan lain.

Tanaman itu juga dikatakan mempunyai khasiat tersendiri dan baik untuk kesihatan selain mendapat permintaan yang tinggi di pasaran.

Bagi memenuhi permintaan pasaran, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) memperkenalkan tanaman ubi keledek varieti baharu, Lembayung dan Bitato.

Pegawai Penyelidik Kanan Mardi Bachok, Anuar Abdullah, berkata, ubi keledek Bitato berkhasiat kerana mempunyai kandungan vitamin A yang tinggi dan rasanya manis.

Katanya, varieti Lembayung pula mempunyai isi warna ungu dan daripada segi kelebihan, ia tinggi kandungan antosianin yang berfungsi sebagai antioksidan di dalam tubuh.

"Kedua-dua ubi keledek ini paling banyak ditanam di pantai timur kerana ia mendapat permintaan yang tinggi dan mudah dijual.

"Kedua-dua varieti ubi keledek itu ditanam di atas tanah seluas 3,600 hektar di Semenanjung Malaysia. Di Kelantan pula, ia banyak ditanam di sekitar Bachok.

"Selain itu, ubi ini juga turut ditanam di Terengganu dan Perak," katanya kepada Agro.

Menurut Anuar, petani di kawasan Kandis, Bachok sememangnya aktif menanam ubi keledek kerana lokasi itu mempunyai tanah beris yang sesuai untuk tanaman berkenaan.

Kata Anuar, tanah beris menjadikan ubi keledek varieti Lembayung dan Bitato tumbuh subur serta menghasilkan tanaman yang bermutu tinggi.

Ini kerana tempoh matang ubi itu adalah lebih cepat iaitu antara 91 hingga 105 hari sahaja.

"Tanah beris bagaimanapun cenderung lemah dalam mengekalkan nutrien baja dan air.

"Untuk mengatasi masalah itu, baja organik digunakan sebagai baja asas kerana ia lebih murah dan efektif dalam memperbaiki struktur tanah," katanya.

UBI keledek jenis Lembayung dan Bitato.
UBI keledek jenis Lembayung dan Bitato.

Anuar berkata, dalam proses penanaman ubi keledek, penggunaan baja adalah penting untuk meningkatkan hasil dan produk yang bermutu tinggi.

Jelas Anuar, proses pembajaan dilakukan tiga kali iaitu yang pertama pada minggu ketiga penanaman, kedua pada minggu keenam hingga ketujuh dan baja ketiga pada minggu kesembilan.

Katanya, hasil akan mula dikutip selepas 15 minggu daripada tarikh penanaman dan ia sudah matang serta boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk.

"Ubi keledek juga boleh dimakan segar dan turut sesuai diproses menjadi tepung atau pes untuk menghasilkan produk makanan.

"Antara produk makanan yang boleh dikeluarkan berasaskan ubi keledek adalah kerepek, roti dan minuman komposit pracampuran, produk jeli, kuih-muih dan tepung ubi keledek.

"Ia secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada petani untuk menjual hasil tanaman mereka dalam bentuk yang berbeza selain memberi lebih banyak pilihan kepada pembeli," katanya.

Sementara itu, Anuar berkata, ubi keledek varieti Lembayung dan Bitato adalah pilihan yang baik untuk ditanam di pantai timur kerana permintaan yang tinggi dan mudah dijual.

Kata Anuar, dengan teknik penanaman yang betul, ia boleh menjadi sumber pendapatan yang baik bagi petani.

Katanya, Mardi komited untuk melaksanakan dan menghasilkan teknologi dan inovasi baharu dari semasa ke semasa.

"Kami turut mengambil langkah yang proaktif iaitu menawarkan pakej mekanisasi iaitu mesin penabur baja organik, mesin pembuat batas, mesin penanam, mesin penabur baja dan kawalan rumpai, penyembur bermotor, mesin pemotong jalar ubi keledek dan mesin penuai.

"Pakej itu mampu membantu meningkatkan lagi produktiviti, menjimat kos buruh dan kos operasi sehingga 50 peratus selain turut membantu meningkatkan skala pengeluaran.

"Bagi memastikan hasil yang lebih optimum kepada petani, Mardi turut menjalin kerjasama erat dengan pelbagai pihak yang berkaitan termasuk jabatan dan agensi di peringkat persekutuan serta negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 6:12 AM