Rosli Ilham

Dungun: Kehadiran musim tengkujuh mendatangkan rezeki berganda kepada seorang petani yang mengusahakan tanaman ubi di Kampung Syukur Hulu Dungun, dekat sini.

Tengku Muhamad Zulkarnain Tengku Man, 56, berkat, ubi jenis lembayung dan pitato yang ditanam di atas tanah seluas 0.5 hektar itu mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan tempatan dan peniaga dari luar Terengganu.

Menurutnya, sebelum ini, dia menjual antara 100 hingga 150 kilogram sehari dan meningkat dua kali ganda apabila tiba musim tengkujuh.

"Saya mula tanam ubi ini secara kecil-kecilan sejak awal tahun ini dengan membeli benih tanaman itu dari Jepun secara dalam talian.

"Selepas mendapati hasil jualan membanggakan, saya memperluaskan tanaman ubi ini sehingga 20,000 pokok," katanya.

TENGKU Muhammad Zulkarnain menunjukkan ubi lembayung yang mendapat permintaan tinggi di musim tengkujuh. FOTO Rosli Ilham
TENGKU Muhammad Zulkarnain menunjukkan ubi lembayung yang mendapat permintaan tinggi di musim tengkujuh. FOTO Rosli Ilham

Katanya, sejak September lalu, dia berjaya menjual hampir dua tan dan sedang berusaha mencari kawasan tanah lain untuk memperluaskan tanaman itu.

"Saya menjual dengan harga RM4 sekilogram, namun jika pelanggan beli lebih 100 kilogram, saya jual dengan harga RM3 sekilogram.

"Saya mendapat idea mengusahakan tanaman ubi ini daripada seorang rakannya yang turut mengusahakan tanaman sama di Negeri Sembilan.

"Tak sangka tanaman ini mendapat permintaan tinggi," katanya.

Menurutnya, ubi lembayung dan pitato berbeza dari ubi kayu yang biasa ditemui kerana rasanya lebih manis serta tidak mempunyai urat atau sabut berbanding ubi biasa.

"Disebabkan permintaan yang tinggi terhadap tanaman itu, saya juga melakukan penanaman semula kerana kesemua ubi yang ditanamnya mula habis dibeli pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 11:14 AM