Nazdy Harun

Kuala Terengganu: Walaupun tidak sepopular tanaman lain namun edamame atau lebih dikenali sebagai kacang bulu turut mendapat tempat dalam kalangan penggemarnya.

Muhammad Fahmi Ismail, 29, dari Kampung Wakaf Mempelam, di sini, mengusahakan tanaman itu secara sendiri sejak lima tahun lalu.

Katanya, permintaan terhadap kacang berkenaan amat tinggi.

"Saya mengusahakan tanaman kacang ini di atas tanah seluas 1,300 meter persegi dan hasilnya boleh dituai dalam tempoh tiga bulan.

"Setahun kacang ini boleh ditanam tiga hingga empat kali pusingan. Satu pusingan purata hasil yang dituai antara 600 Kilogram (kg) hingga 1.1 tan," katanya.

Menurutnya, kacang ini dijual dengan harga antara RM12 hingga RM15 sekilogram yang mana permintaannya datang dari seluruh negara.

Katanya, pokok kacang ini tidak sukar untuk dijaga selain tidak mudah diserang penyakit dan permintaannya juga amat tinggi.

MUHAMMAD Fahmi menunjukkan kacang bulu yang sudah dituai. FOTO Nazdy Harun
MUHAMMAD Fahmi menunjukkan kacang bulu yang sudah dituai. FOTO Nazdy Harun

Fahmi berkata, selain menjalankan tanaman itu sendirian dia turut melakukan kerjasama bersama rakan-rakan yang ingin menceburi bidang tanaman kacang berkenaan.

"Ada dua atau tiga lagi individu yang ajak saya kerjasama namun buat masa ini saya tidak sempat kerana selain menanam kacang saya juga bekerja sebagai jurujual di kedai kereta terpakai.

"Kekangan waktu membataskan saya untuk bekerjasama dengan lebih ramai petani yang ingin mengusahakan tanaman kacang edamame ini," katanya.

Menurutnya, dulu ayahnya yang mengusahakan tanaman kacang berkenaan namun dia mengambil alih menanam tanaman itu berikutan masalah kesihatan ayahnya.

Katanya, kacang berkenaan mempunyai peminatnya yang tersendiri dan ekoran permintaan yang menggalakkan dia hanya boleh menjualnya di bahu jalan tanpa sempat memasarkannya ke pasar raya.

Tambahnya, dia akan menggunakan perkhidmatan pos untuk menghantar kacang kepada pelanggan luar dan baginya edamame ini merupakan lubuk rezeki buatnya kerana tidak ramai yang mengusahakan tanaman berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 1:28 PM