PEKEBUN komuniti menyiram plot tanaman sayur berdaun. FOTO Effendy Rashid
PEKEBUN komuniti menyiram plot tanaman sayur berdaun. FOTO Effendy Rashid
Nurul Husna Mahmud


ISU sekuriti makanan menjadi perkara serius terutama sejak pandemik dan terkini dibebani pula dengan peperangan dua negara, Rusia dan Ukraine yang juga pengeksport utama komoditi gandum serta jagung.

Akses kepada sumber makanan harian bagi masyarakat bandar paling membimbangkan apabila melihat kepada kepadatan penduduk selain bekalan kebanyakan diperoleh dari pinggir bandar atau kampung.

Melihat faktor itu, usaha menyertakan komuniti di bandar dalam aktiviti pertanian menerusi Kebun Komuniti Bandar seperti dilakukan Kebun Komuniti Bandar Persatuan Lorong Kiri Datuk Keramat (PLKDK) Kuala Lumpur sewajarnya diberi penekanan untuk meningkatkan akses kepada sumber makanan.

Menurut Ketua Kebun Komuniti Bandar PLKDK, Yusof Ahmad, hasil pertanian yang dikeluarkan dari kebun dimanfaatkan sepenuhnya untuk komuniti setempat.

"Selain untuk dimakan bagi ahli dan penduduk sekitar, kebanyakan hasil kebun terutama sayur-sayuran dan herba dijual kepada peniaga kedai makan atau restoran sekitar.

"Anggaran penduduk untuk Lorong Kiri Datuk Keramat sahaja mencecah 6,000 orang dan Kebun Komuniti Bandar boleh membekalkan sumber makanan yang sihat dan segar," katanya.

Tambah Yusof, kebun itu yang didirikan di tapak rumah setinggan dan juga sebahagiannya di atas parit mendapat sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Tanah ini dulunya terbiar dan cadangan Pengerusi PLKDK, Mohd Farid Nari supaya diusahakan bersama ahli persatuan yang kebanyakannya pesara sudah bermula penghujung 2019.

"Cabaran untuk memulakan kebun di tapak ini adalah sebahagian besar tanahnya timbunan batu. Dahulu kawasan ini adalah tapak rumah setinggan.

"Kerja mewujudkan medium tanaman paling susah kerana tanah untuk menanam tidak subur terpaksa beli tanah berbaja untuk menanam.

"Lapan plot wujud hari ini dilakukan secara beransur-ansur dan teknik menanam digunakan pelbagai sama ada kaedah konvensional sehinggalah kepada fertigasi serta penggunaan rumah hijau," katanya.

KAEDAH fertigasi digunakan untuk tanaman dalam rumah hijau. FOTO Effendy Rashid
KAEDAH fertigasi digunakan untuk tanaman dalam rumah hijau. FOTO Effendy Rashid

Kata Yusof, tanaman juga tidak terhad hanya pada sayur kerana tanaman herba dan buah-buahan turut terdapat dalam Kebun Komuniti Bandar PLKDK.

"Tanaman yang ada dalam kebun divariasikan bagi mempelbagaikan sumber atau pilihan makanan untuk keperluan penduduk.

"Antaranya pokok buah, sayur daun, sayur berbuah dan herba. Sebagai contoh tanaman cili, di sini terdapat lebih lima jenis cili pelbagai warna dan tahap kepedasannya.

"Tanaman secara plot membantu pengurusan lebih sistematik apabila ia dijaga atau dipantau pekebun tertentu," katanya.

Tidak hanya berpuas hati untuk menghasilkan produk dalam skala kecil, kata Yusof, dia dan rakan berharap dapat meningkatkan hasil dengan menaik taraf kebun terbabit.

AHLI Kebun Komuniti Bandar PLKDK berazam untuk tingkatkan hasil pertanian. FOTO Effendy Rashid
AHLI Kebun Komuniti Bandar PLKDK berazam untuk tingkatkan hasil pertanian. FOTO Effendy Rashid

"Saya anggarkan tidak kurang RM20,000 diperlukan bagi menaik taraf kebun supaya dapat menyediakan sistem lebih baik untuk musim tanaman akan datang.

"RM20,000 merangkumi satu lagi rumah hijau dilengkapi dengan sistem fertigasi bertingkat iaitu pembinaan para untuk hasil tanaman lebih banyak dapat dikeluarkan.

"Ketika ini pembiayaan kebun dianggarkan sekitar RM500 sebulan untuk bil air dan input pertanian yang mencatatkan peningkatan harga kebelakangan ini," katanya.

MEMERIKSA keadaan tanaman bagi memastikan kaedah pembajaan dan air mencukupi. FOTO Effendy Rashid
MEMERIKSA keadaan tanaman bagi memastikan kaedah pembajaan dan air mencukupi. FOTO Effendy Rashid

Sementara itu, Mohd Farid yang juga ahli termuda dalam komuniti kebun itu berkata, pihaknya terpaksa mencari inisiatif untuk terus menaik taraf kebun bagi menampung keperluan penduduk sekitar.

CILI antara tanaman terdapat dalam kebun terbabit. FOTO Effendy Rashid
CILI antara tanaman terdapat dalam kebun terbabit. FOTO Effendy Rashid

"Hasrat Kebun Komuniti Bandar PLKDK ialah dapat keluarkan hasil dalam skala besar dan membantu menjana pendapatan sampingan buat pekebun kami.

"Ketika ini kebun beroperasi atas kutipan ahli iaitu RM10 sebulan dan ada juga agensi sekali-sekala menyumbang benih serta tanah baja untuk kerja menanam.

YUSOF. FOTO Effendy Rashid
YUSOF. FOTO Effendy Rashid

"Selain itu sumbangan luar diterima adalah sokongan daripada individu setempat seperti Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang banyak menyokong komuniti di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 6:18 AM