SANUSI (kiri) mendengar taklimat mengenai  mangga harumanis keluaran Kedah yang kini dikenali sebagai Harumanis D'Aman. FOTO Noorazura Abdul Rahman
SANUSI (kiri) mendengar taklimat mengenai mangga harumanis keluaran Kedah yang kini dikenali sebagai Harumanis D'Aman. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Yan: Kedah mensasarkan mengeluarkan hasil mangga harumanis sebanyak 600 tan menjelang 2025 bagi menampung permintaan tinggi seluruh negara.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bagi mencapai sasaran itu, tanaman itu akan diperluas ke kawasan 200 hektar membabitkan 213 pengusaha di seluruh negeri.

Katanya, sehingga kini, Kedah sudah mencapai keluasan tanaman mangga harumanis sebanyak 98.76 hektar membabitkan 130 pengusaha.

"Sekarang kita sudah menghasilkan kira-kira 65 tan harumanis semusim dan kebanyakan ia ditanam di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap.

"Dengan keluasan negeri kita selain cuaca di sini juga sesuai ditanam mangga harumanis, InsyaAllah, kita boleh capai sasaran ini. Bukan susah pun tanam di batas bendang dan tepi dangau pun boleh," katanya selepas merasmikan Majlis Penjenamaan Harumanis Negeri Kedah di Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Azman Nasrudin dan Timbalan Ketua Pengarah Pertanian Malaysia, Datuk Eliyas Saad.

Sempena majlis itu, Sanusi turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Cadangan Nama Harumanis Negeri Kedah kepada Azul Afiz Abdul Aziz yang menewaskan 466 peserta lain.

Nama Harumanis D'Aman dipilih dijadikan jenama untuk pemasaran buah harumanis keluaran Kedah.

Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri menggalakkan petani memanfaatkan permintaan tinggi terhadap Harumanis dengan menceburi bidang tanaman berkenaan.

"Mereka yang berminat boleh menghubungi terus Jabatan Pertanian negeri untuk mendapatkan bekalan anak pokok harumanis, input baja selain sokongan teknikal dan sokongan bimbingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 5:21 PM