Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: "Istimewanya mangga Melaka Delite atau varian Chokanan MA224 adalah keupayaan pokoknya berbuah sepanjang tahun selain rasanya tidak kalah berbanding mangga harum manis Perlis," ujar pekebun mangga Melaka Delite, Mohd Noor Md Sah dari Kampung Gelam, Tanjung Kling, di sini.

Menurutnya, pokok mangga Melaka Delite di kebunnya yang berusia 22 tahun masih berbuah lebat hingga kini selain rasa isinya kekal manis dan berair.

"Itu antara keistimewaan mangga Melaka Delite yang sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam kalangan rakyat serta pelancong di negeri ini," katanya semalam.

Mohd Noor berkata, ekoran daya tahan pokok mangga berkenaan, dia tidak menebang pokok asal yang ditanam menerusi projek penanaman besar-besaran mangga Melaka Delite di tanah sawah terbiar di kampung itu sekitar tahun 2000.

"Jika diikutkan Jabatan Pertanian menyarankan pokok mangga ini ditebang apabila mencapai usia tua 15 tahun.

"Namun disebabkan dijaga dengan baik, alhamdulillah semua 155 batang pokok di kebun ini mengeluarkan hasil hingga kini.

"Jika diperhatikan ada pokok mangga ini yang rosak batang atau dahannya, tetapi masih berbunga dan menghasilkan buah," katanya yang menjual mangga Melaka Delite di gerai berhampiran kebunnya itu.

Mohd Noor berkata, pada permulaan projek, semua peserta dibantu dari segi anak pokok mangga, baja, racun dan khidmat nasihat selain tapak ladang juga disiapkan hasil bantuan Jabatan Pertanian Negeri.

Katanya, dia sebelum ini mengusahakan empat hektar tanaman mangga Melaka Delite, namun kini hanya tinggal tiga ekar atau 1.2 hektar sahaja disebabkan tanah disewa diambil semula pemilik tanah.

"Ketika mula diusahakan, penduduk di kampung ini menubuhkan syarikat bagi menguruskan tanaman mangga Melaka Delite ini.

"Namun kini tidak sampai 20 pekebun yang masih aktif kerana tiada pelapis untuk meneruskan tanaman ini. Akibatnya banyak pokok terbiar, walhal mangga Melaka Delite mempunyai pasaran tinggi dan setanding mangga lain termasuk Harum manis dan mangga diimport dari Thailand," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Noor berkata, mengikut pegawai Jabatan Pertanian pokok mangga Melaka Delite tidak bermusim dan boleh berbuah sepanjang masa.

"Penjagaan pokok mangga ini juga agak rumit kerana mudah diserang penyakit termasuk ulat yang memakan pucuk dan batang serta lalat buah, sebab itu seminggu sekali saya akan meracun," katanya.

Dia memberitahu mampu menuai minimum satu tan mangga bagi setiap seekar ladang pokok mangga Melaka Delite.

Katanya, setiap mangga yang matang akan dipetik dan disimpan selama tiga hari sebelum boleh dipasarkan dan tidak dibiarkan masak di pokok bagi mengelak dirosakkan lalat buah.

"Mangga Melaka Delite ini dijual RM7 sekilogram di gerai di sini dan satu lagi di tepi jalan utama Kampung Paya Luboh.

Sementara itu, rakannya, Mohamad Yassin, 74, berkata, jika Harum manis dikatakan hanya sesuai ditanam di Perlis, Melaka Delite pula hanya 'menjadi' ditanam di negeri bersejarah ini.

"Saya difahamkan mangga Melaka Delite ini juga ada ditanam di negeri lain seperti di Perak, namun hasilnya tidak sebaik di Melaka," katanya.

MOHD Noor (baju biru) melayan  pelanggan yang singgah membeli   mangga Melaka Delite di gerainya. - FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
MOHD Noor (baju biru) melayan pelanggan yang singgah membeli mangga Melaka Delite di gerainya. - FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 7:00 AM