HASIL mangga harum manis yang sudah dituai.
HASIL mangga harum manis yang sudah dituai.
Hafiz Ithnin


PERBUALAN penulis bersama bekas guru seni lukis yang kini berusia 68 tahun ini selama sejam sememangnya dapat merasai ketenangan si pemilik diri dalam dunia pertanian.

Apatah

lagi, usahanya dalam tanaman mangga harum manis yang begitu sinonim dengan negeri kelahirannya, Perlis bukan setahun dua, tetapi sejak 1987 membabitkan 80 pokok.

Namun, ketika itu Zainol Abidin Ahmad hanya mampu bertahan selama dua tahun mengusahakan tanaman berkenaan kerana ia memerlukan penjagaan yang rapi dan harga jualannya di pasaran tidak setinggi hari ini.

"Saya masih ingat pada sekitar 1987 atau 1986, harga sekilogram mangga harum manis ini yang dijual kepada pemborong hanya kira-kira RM1.50 berbanding kini jauh lebih tinggi harganya hingga boleh mencecah RM40 sekilogram.

"Penanaman pokok mangga harum manis bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan kerajinan si pemilik untuk memantau keadaannya sehingga tiba tempoh dituai," katanya yang mengusahakan tanaman itu di Kampung Simpang Geti, Mata Ayer, Perlis.

Katanya, pada 2010 beliau kembali menanam mangga premium itu sejumlah 120 pokok dan pada 2015 menambah 180 pokok lagi menjadikan jumlah keseluruhan pokok mangga harum manis miliknya adalah 300 pokok.

"Dahulu kita tidak banyak pendedahan cara penjagaan dan teknologi menanam mangga harum manis ini. Jadi, kadangkala ia tidak menjadi.

"Apabila Jabatan Pertanian khasnya membuat banyak kursus dan promosi mengenai potensi tanaman ini di Perlis, kita sebagai masyarakat setempat dapat mempelajari teknologi dan cara tanaman mangga harum manis supaya hasilnya lebih berbaloi," katanya yang menanam pokok buah berkenaan di tanah miliknya seluas kira-kira 1.6 hektar (empat ekar).

MANGGA harum manis sedia untuk dipasarkan.
MANGGA harum manis sedia untuk dipasarkan.

Zainol berkata, pokok mangga harum manis ini memerlukan penjagaan yang amat teliti kerana mudah diserang serangga perosak terutama ketika berbunga dan terdapat serangga yang merosakkan dahan pokok buah itu yang agak lembut.

"Saya setiap hari melihat keadaan pokok mangga harum manis yang diusahakan supaya dapat mengetahui lebih awal jika ada serangan makhluk perosak.

"Penggunaan racun juga digunakan. Minimum setiap 15 hari perlu meracun, tetapi ia bergantung kepada keperluan juga. Seboleh-bolehnya kita cuba mengelakkan penggunaan racun yang banyak untuk keselamatan pembeli," katanya.

Jelasnya, anak pokok mangga harum manis yang ditanam mengambil masa dua tahun setengah untuk berbunga.

Kemudian, selepas kira-kira dua bulan setengah, bunga berkenaan menjadi buah bersaiz 16 hingga 19 sentimeter (cm).

"Ketika sudah mempunyai saiz berkenaan, kita sebagai pemilik membalutnya menggunakan kertas khas yang dijual di kedai pertanian sama ada kertas berwarna putih atau coklat.

"Kertas berwarna putih yang membalut mangga harum manis mudah ini akan menghasilkan kulit berwarna hijau. Manakala kertas pembalut coklat menghasilkan kulit berwarna kuning," katanya.

Katanya, selepas kira-kira empat bulan dari tempoh berbunga dan melalui proses membalut buah muda itu, mangga harum manis sedia untuk dipetik.

"Bagi pokok mangga harum manis yang saya tanam untuk semusim boleh dipetik secara purata mencecah tiga tan. Namun, ia bergantung juga kepada keadaan semasa kerana tanaman ini kadangkala tidak begitu menjadi.

ZAINOL Abidin memegang mangga harum manis yang sudah matang.
ZAINOL Abidin memegang mangga harum manis yang sudah matang.

"Seperti tahun ini kebanyakan pengusaha tanaman harum manis menjangkakan pengeluaran buah itu merosot 55 peratus. Mungkin disebabkan cuaca terlalu panas," katanya.

Katanya, musim mangga harum manis hanya setahun sekali iaitu pada musim 'timur' iaitu bermula pada Disember.

"Dalam tempoh empat bulan, pokok itu mengambil masa untuk mengeluarkan buah yang matang. Jadi, kebiasaannya pada April hingga Jun adalah tempoh memetik hasilnya," katanya.

Bercerita mengenai modal yang dikeluarkan untuk mengusahakan tanaman itu, katanya, sudah lebih RM15,000 dibelanjakan bagi membeli anak pokok, mengupah tenaga kerja dan kos membeli racun serta baja yang semakin meningkat harganya.

"Saya boleh katakan tanaman mangga harum manis ini adalah sesuatu yang memberi pendapatan yang baik kepada pengusaha kerana untuk saya sahaja mampu menjana pendapatan RM30,000 hingga RM40,000 semusim.

"Selain itu, saya juga tidak menggunakan khidmat orang tengah untuk menjual hasil tanaman kerana lebih senang diuruskan ahli keluarga sendiri," katanya.

Zainol berkata, mangga harum manis yang dituainya juga sudah dipasarkan ke seluruh negara dan mendapat permintaan tinggi.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya mula memasarkan secara dalam talian dan ia mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

"Malah, saya juga menggunakan platform media sosial seperti Facebook, TikTok dan Youtube untuk berkongsi mengenai tanaman pokok ini serta memasarkan kepada orang ramai," katanya.

Baginya, tanaman pokok mangga harum manis bukan sekadar mampu memberi pendapatan, tetapi ia juga suatu terapi jiwa kepadanya yang sudah menjadi 'orang pencen'.

"Kita sudah pencen ini, kerja seperti pertanian ini menyeronokkan dan memberi terapi jiwa kerana kita akan berusaha untuk mendapatkan pokok dan hasil yang sihat.

"Bagi saya, kerajaan perlu mewujudkan sebuah platform atau rancangan di dalam media bagi menggalakkan orang ramai menyertai bidang pertanian terutama untuk menarik minat orang muda. Dunia pertanian berbaloi untuk disertai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 6:30 AM