MEMBERI makan palet kepada ikan keli.
MEMBERI makan palet kepada ikan keli.
Muhamaad Razis Ismail


BIDANG penternakan ikan air tawar biasanya didominasi golongan lelaki.

Bagaimanapun Nurul Farhana Ismail, 35, berjaya memecah stigma itu dengan terbabit secara serius dalam bidang itu sejak empat tahun lalu.

Dia sanggup melepaskan jawatan sebagai penjawat awam untuk fokus kepada syarikat pengeluar benih ikan air tawar, Aquaculture Resource Centre (ARC) yang diusahakan dengan suami dan seorang rakan kongsi.

Nurul Farhana berkata, perniagaan itu pada mulanya diusahakan suaminya, Mohd Hafiz Nordin, 36, di Sungai Buloh, sejak 2007.

"Melihat perniagaan yang semakin berkembang, saya buat keputusan untuk bantu suami selepas melihat potensi besar dalam bidang ini.

"Biarpun sibuk menguruskan syarikat, saya turut perlu turun ke kolam membantu pekerja lain menguruskan tempahan pelanggan.

"Alhamdulillah kini kami memiliki tiga kawasan ternakan ikan keli dan tilapia iaitu di 67 kolam di Sungai Buloh, Rawang dan Hulu Langat, Selangor.

BENIH ikan tilapia.
BENIH ikan tilapia.

"Kini setiap bulan kami mampu menghasilkan 500,000 benih ikan dan 1,500 kilogram ikan hidup" katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, idea untuk fokus dalam pengeluaran benih ikan air tawar ini tercetus apabila melihat bekalan yang sentiasa tidak mencukupi.

"Biarpun pada ketika masih belum ramai bumiputera terbabit, suami sanggup mencabar diri untuk membuat kelainan.

PROSES penggredan ikan untuk dapatkan saiz pasaran.
PROSES penggredan ikan untuk dapatkan saiz pasaran.

"Permintaan sentiasa ada terutama dalam kalangan penternak dan peniaga, malah kadangkala tidak cukup untuk memenuhi permintaan pelanggan," katanya.

Selain itu, pihaknya turut menyediakan ikan pasar, ikan sudah siap disiang dan ikan sejuk beku.

Mengulas lanjut, untuk memastikan kualiti benih dan ikan, pihaknya sentiasa memastikan kebersihan air untuk mengelakkan penyakit ikan.

 BERSAMA rakan kongsi, Hazarul Hafzam.
BERSAMA rakan kongsi, Hazarul Hafzam.

"Kami juga menggunakan tumbuhan air duckweed untuk merawat air dan menjadi agen penyerap amonia yang tinggi.

"Selain itu, kami gunakan tumbuhan yang mempunyai kadar protein tinggi ini sebagai makanan ikan sekali gus dapat menjimatkan kos palet," katanya.

Sementara itu, pemilik bersama, Hazarul Hafzam Mohamed Zaki, 36, berkata, pihaknya sentiasa mengutamakan kualiti benih gred A yang dihasilkan di sini.

"Proses bermula dengan pemilihan induk betina dan jantan berusia 18 bulan ke atas untuk menjalani proses pembenihan aruhan.

"Induk jantan akan dibedah bagi mengeluarkan sperma sebelum ia dicampurkan dengan telur induk betina.

TANAMAN air, duckweed dapat membersihkan kolam dan menjadi makanan ikan.
TANAMAN air, duckweed dapat membersihkan kolam dan menjadi makanan ikan.

"Bagi induk betina ia akan disuntik dengan hormon jenis dom untuk mempercepatkan induk betina mengeluarkan telur dengan banyak," katanya.

Kemudian, sperma induk jantan akan dipotong sebelum diracik untuk dicampur dengan telur induk betina untuk proses persenyawaan.

"Telur itu dimasukkan ke dalam kolam penetasan dan akan menetas 20 hingga 25 jam.

"Selepas itu, kita lepaskan ke kolam tanah selama 14 hari untuk aruhan sehingga saiznya menjadi 1 inci setengah dan 2 inci. Kemudian kita akan tuai dan bawa ke tangki kuarantin," katanya.

Proses yang dijalankan ini memberi ketahanan kepada benih ikan sebelum diserahkan kepada pelanggan.

"Proses ini tidak mudah dilakukan dan memerlukan kepakaran untuk memperoleh benih berkualiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 6:30 AM