Nazdy Harun


Kuala Berang: Setiap kali Ramadan, lebih 30 tan metrik ikan air tawar akan dipasarkan untuk menampung keperluan pengguna Hulu Terengganu dan sekitarnya.

Namun, lain yang berlaku tahun ini apabila bekalan itu susut mendadak disebabkan banjir besar, dua bulan lalu.

Ketua Kelompok Penternak Ikan Air Tawar, Zakaria Ismail, 65, dari Kampung Pantai Ali di sini berkata, mereka hanya mampu menjual dua tan metrik ikan sahaja, memandangkan banyak yang mati selain turut alami kerosakan lain.

Katanya, terdapat 250 sangkar ikan jenis patin, baung, tilapia dan keli yang diusahakan 30 peserta di Sungai Telemong, namun banjir lalu menyebabkan mereka kerugian keseluruhan RM1.5 juta.

"Ramadan kali ini hanya baki ikan yang terselamat sahaja dapat dijual dan ia amat menjejaskan pendapatan penternak.

"Permintaan ikan air tawar pada Ramadan amat tinggi dan biasanya lebih 30 tan metrik dapat dijual setiap tahun pada bulan ini," katanya ketika ditemui.

Zakaria berkata, sebanyak 30 sangkar ikan peserta musnah akibat bencana yang tidak pernah dialami sepanjang 22 tahun projek ternakan itu, manakala tempat penetasan anak benih juga rosak dengan kerugian RM15,000.

KEADAAN sangkar rosak akibat banjir yang menyebabkan bekalan ikan air tawar untuk Ramadan menyusut. FOTO Nazdy Harun.
KEADAAN sangkar rosak akibat banjir yang menyebabkan bekalan ikan air tawar untuk Ramadan menyusut. FOTO Nazdy Harun.

Katanya, ketika banjir, paras air sungai meningkat lapan meter dari tebing dan menenggelamkan tempat pembenihan ikan, yang sekali gus menyebabkan 500 induk dan 50,000 benih hanyut.

"Dianggarkan RM500,000 diperlukan untuk kami memulakan semula ternakan termasuk kos baik pulih sangkar, benih ikan dan makanannya," katanya.

Seorang penternak, Mohd Jamaludin Abdullah, 47, berkata, dia tidak memperoleh sebarang pendapatan disebabkan ikan ternakannya mati dalam banjir lalu.

"Setiap kali Ramadan, saya boleh kutip RM10,000 hasil jualan ikan ternakan tapi tahun ini tiada langsung. Mungkin jika benih dimasukkan ke kolam dalam masa terdekat, penghujung tahun nanti kami boleh peroleh hasil," katanya.

Rakannya, Azmi Abdullah, 40, pula rugi RM50,000 apabila tujuh sangkarnya rosak dan ikan mati.

Katanya, ia ujian besar dihadapi terutama hasil ternakan tidak dapat didagangkan pada Ramadan seperti kebiasaannya.

Bagaimanapun katanya, mereka tidak putus asa sebaliknya menunggu masa sesuai untuk mula memulakan penternakan baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 1:49 PM