SISA makanan dijadikan baja.
SISA makanan dijadikan baja.
Mohamad Hussin

Tapak pembuangan sampah kian berkurangan dengan timbunan sampah yang makin bertambah.

Menyedari hakikat itu, syarikat Hj Mat Hj Jantan Sdn Bhd menghasilkan produk sulungnya yang diperbuat daripada sisa buangan makanan untuk dijadikan baja organik dinamakan Milagro.

Ia antara usaha murni syarikat ini untuk memulihara dan memelihara keadaan alam sekitar yang makin tenat kian hari.

Sinonim dengan penggunaan bahasa Sepanyol, Milagro membawa erti keajaiban.

Pengasasnya, Mat Jantan berkata, pengeluaran baja organik Milagro menyempurnakan impiannya ingin mengurangkan tapak pembuangan sampah. Secara tidak langsung mampu menjana bumi yang lebih sihat melalui penggunaan baja organik.

“Pemakanan yang sihat bermula dari rumah. Jadi saya ingin mendidik dan memudahkan pengguna untuk mengambil makanan organik dengan menanam tumbuh-tumbuhan dan sayur-sayuran di laman rumah mereka melalui Milagro.

“Hanya beberapa sudu Milagro diperlukan untuk pembajaan seminggu sekali. Harga sepaket RM10 (satu kilogram) dalam masa dua minggu boleh menampakkan hasilnya.

“Mudah dan murah kerana ia tidak susah untuk mendapatkan tumbuh-tumbuhan mahupun sayur-sayuran organik di rumah kita.

“Ia berbeza berbanding baja organik di pasaran kerana menggunakan kaedah ‘Rapid Thermophilic Digestion’ yang memendekkan proses penghasilan baja kepada 24 jam saja,” katanya.

PELAJAR membersihkan sisa makanan untuk menghilangkan minyak sebelum diproses menjadi baja organik.
PELAJAR membersihkan sisa makanan untuk menghilangkan minyak sebelum diproses menjadi baja organik.

Mat berkata, baja ini bersifat organik dan tidak mengandungi bahan kimia mahupun patogen yang tak sihat sekali gus ia sesuai digunakan untuk semua jenis tanaman.

“Disebabkan itu, kadar penyerapan baja ke tanah lebih pantas untuk menggalakkan pertumbuhan dan menguatkan sistem imunisasi pokok.

“Saya ingin mengurangkan tapak pembuangan sampah dan secara tidak langsung mampu menjana bumi yang lebih sihat menerusi pengeluaran baja ini,” katanya.

Menurutnya, syarikat itu turut menguruskan perkhidmatan penyelenggaraan sisa pepejal dan sedutan sisa kumbahan di Melaka lebih 25 tahun.

“Ia membabitkan Johor, Negeri Sembilan dan sekitar Selangor. Kepakaran kami dalam menguruskan sistem kumbahan dan sisa pepejal turut mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri Melaka dan beberapa badan kerajaan lain,” katanya.

MAT menunjukkan produk keluaran syarikatnya.
MAT menunjukkan produk keluaran syarikatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 2:40 PM