MENYIRAM air baja organik terhadap tanamannya
MENYIRAM air baja organik terhadap tanamannya
Muhamaad Razis Ismail


SEKALI pandang tiada siapa menyangka usahawan tani ini adalah orang kurang upaya (OKU).

Apa tidaknya dengan keupayaan yang terhad kerana lumpuh sebelah kiri badan, ia tidak menghalang Abdul Rahim Muda, 33, mengecapi kejayaan dalam bidang yang diceburi.

Penghasilan baja organik daripada bahan terbuang menggunakan kaedah Bokashi mendapat perhatian ramai pihak.

Jadi, tidak hairanlah apabila anak kelahiran Kuala Berang, Terengganu ini mendapat tempat pertama dalam Liga Usahawan OKU 2021 anjuran Yayasan Raja Muda Selangor (SAYLEAD2021) April lalu.

Menerusi kemampuan dimiliki, dia juga sering dijemput untuk berkongsi ilmu dan pengalaman sebagai penceramah berkenaan penghasilan baja organik untuk pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Shah Alam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Abdul Rahim berkata, sebelum ini, dia hidup seperti insan normal lain, namun segalanya berubah pada 2017 apabila kerap mengalami sawan.

"Hasil pemeriksaan di Hospital PPUM mendapati terdapat ketumbuhan di bahagian otak sebelah kanan.

"Kemudian pada penghujung 2017 itu, saya mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan. Kesan daripada pembedahan itu menyebabkan saya hilang upaya pada anggota badan sebelah kiri," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

KEBUN komuniti yang diusahakan Abdul Rahim.
KEBUN komuniti yang diusahakan Abdul Rahim.

BAJA organik yang dihasilkan dengan kaedah Bokashi.
BAJA organik yang dihasilkan dengan kaedah Bokashi.

Menurutnya, selepas kehilangan upaya dia berasa amat sedih, murung dan berputus asa.

"Mujurlah keluarga, isteri, ibu bapa dan mentua banyak menyokong serta membantu saya untuk menjalani terapi pemulihan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Alhamdulillah, berkat doa dan sokongan semua ahli keluarga, kawan serta guru, saya mula berfikiran positif kemudian mula bangkit.

"Daripada terbaring di atas katil, kemudian berkerusi roda kemudian bertongkat dan sekarang saya bersyukur dapat memandu kereta selain dapat membuat semua kerja walaupun ada sedikit kekurangan upaya," katanya.

Ditanya berkenaan penghasilan baja organik, Abdul Rahim berkata, ia bermula apabila sering melihat sisa makanan banyak dibuang ke dalam tong sampah.

"Menurut data dari KDEB Waste Management, Selangor menghasilkan sebanyak 30 tan sampah sisa makanan setiap hari dan angka ini sentiasa meningkat.

"Akibat daripada masalah inilah timbul rasa tanggungjawab untuk saya buat sesuatu kemudian saya mencari segala maklumat di Internet mengenai cara-cara pengurusan sisa makanan.

"Alhamdulillah saya bertemu dengan kaedah Bokashi yang diamalkan di Jepun. Kaedah ini menggunakan bakteria baik sebagai pengurai dan ia sangat berkesan sekali selain mudah dilaksanakan sebagai baja organik," katanya.

ABDUL RAHIM (kanan) menerima hadiah disampaikan oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam Liga Usahawan OKU 2021 anjuran Yayasan Raja Muda Selangor.
ABDUL RAHIM (kanan) menerima hadiah disampaikan oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam Liga Usahawan OKU 2021 anjuran Yayasan Raja Muda Selangor.

Katanya, maklumat berkenaan penghasilan baja organik mula dipelajari Internet.

"Kemudian saya pelajari daripada guru dan pakar tempatan dalam bidang. Alhamdulillah, berkat dan tunjuk ajar guru, saya berjaya menghasilkan baja organik yang berkualiti dan berkesan," katanya.

Katanya, sebelum ini penerimaan baja organik amat rendah berbanding baja kimia.

"Bagaimanapun, ekoran daripada kenaikan input bahan baja kimia baru-baru ini menyebabkan ramai petani mula beralih arah kepada baja organik yang jauh lebih murah dan selamat," katanya.

Katanya, dia turut terbabit dalam penghasilan makanan ternakan organik, menganjurkan kursus, seminar serta menjalankan penyelidikan dan penyelidikan (R&D) dalam bidang pertanian.

"Selain itu, saya banyak bekerjasama dengan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk kempen Kelestarian dan Pertanian," katanya.

Mengenai perancangan masa hadapan, dia berhasrat mempelbagaikan produk organik seperti baja, racun, pelbagai tanaman dan penternakan organik.

"Saya juga berhasrat mewujudkan kerjasama dengan pihak kerajaan dan swasta untuk bersama-sama memajukan sektor pertanian.

"Pada masa sama, saya mahu mengadakan kempen kesedaran produk organik di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 7:01 AM