PELAJAR  menimbang kacang bendi.
PELAJAR menimbang kacang bendi.
NORIDAH dan pelajarnya memeriksa pokok bendi.
NORIDAH dan pelajarnya memeriksa pokok bendi.
 PROJEK penanaman kacang bendi.
PROJEK penanaman kacang bendi.
Hassan Omar

Projek pertanian secara fertigasi dimajukan koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hang Kasturi, Masjid Tanah di Alor Gajah, Melaka berjaya membawa koperasi itu mengungguli program ‘Young Entrepreneur Strive for Success’ (YESS).

YESS atau Perjuangan Usahawan Muda Untuk Berjaya peringkat negeri Melaka anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Dengan memajukan kawasan seluas kira-kira 0.5 hektar, koperasi berkenaan bukan setakat berjaya memajukan penanaman cili padi bara, malah terung dan kacang bendi secara fertigasi hasil komitmen dan kecekapan guru serta pelajar.

Ditubuhkan pada 1984, koperasi itu membawa pulang wang tunai RM3,000 bagi kategori Projek Terbaik dan RM500 bagi kategori Guru Pembimbing Terbaik.

Hadiah disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Jamil Salleh di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

Pengetuanya, Noridah Ab Rahim berkata, koperasi dianggotai 85 guru, 15 kakitangan dan 752 pelajar itu bukan setakat bergantung kepada penjualan alat tulis, malah memperluas perniagaan dengan menceburi bidang penanaman cili padi bara, terung dan kacang bendi secara fertigasi mulai awal 2016.

“Seramai lima guru dan 30 pelajar menghadiri kursus sehari penanaman sayur secara fertigasi di Kolej Komuniti Masjid Tanah pada awal tahun lalu sebelum memulakan projek penanaman cili padi bara secara fertigasi pada Februari 2016.

“Koperasi melabur kira-kira RM3,000 dan menerima sumbangan syarikat korporat RM2,000 untuk memulakan projek penanaman cili padi bara secara fertigasi dalam 800 beg semaian,” katanya ketika ditemui di sekolah itu, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Saham koperasi itu, Mohd Shafie Kidam; Guru Prinsip Perakaunan dan Kemahiran Hidup yang juga guru pembimbing koperasi, Mohamad Zainudin dan Penyelaras Sekretariat Pendidikan Parlimen Masjid Tanah Syed Aliwi AlQudri.

Noridah berkata, pelaburan koperasi dalam projek berkenaan bukan berorientasikan keuntungan semata-mata, sebaliknya lebih menjurus kepada aspek pembelajaran berasaskan projek yang mempunyai nilai keusahawanan sejajar program trasformasi.

“Kami sekolah pertama di Melaka menyertai Program Transformasi Sekolah (PTS) yang bertujuan mengubah kemenjadian pelajar dalam pelbagai aspek seperti sahsiah dan akademik bagi membolehkan mereka berubah secara holistik,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, selepas berjaya memasarkan hasil tuaian pertama cili padi bara pada April 2016 ke pasar raya di Masjid Tanah, koperasi berkenaan mengubah tanaman kepada terung dalam 800 beg semaian sebelum beralih kepada kacang bendi juga dalam jumlah beg semaian yang sama.

Katanya, tuaian ketiga-tiga jenis tanaman itu dari tahun lalu hingga Jun 2017 mencatatkan perolehan dagangan RM6,800 dan selepas ditolak dengan modal, koperasi memperoleh keuntungan bersih RM2,000.

Empat pelajar yang bertanggungjawab menanam sayur berkenaan ialah Mohd Nor Afiq Abdul Karim, pelajar Tingkatan 5 Landskap, Mohd Nazrin Rusla (Tingkatan 5 Landskap), Mohd Haikal Aiman Abdullah (Tingkatan 2 Bestari) dan Mohd Haiqal Malik (Tingkatan 2 Elit).

Mohamad berkata, koperasi itu menjual cili padi bara pada harga RM15 satu kilogram (kg) manakala terung (RM7) dan kacang bendi (RM6) kepada pasar raya berkenaan dan guru.

Mohd Shafie pula berkata, koperasi itu mencatatkan jumlah dagangan RM110,000 hasil jualan pelbagai barangan pada 2016.

Syed Aliwi berkata, kejayaan koperasi berkenaan mengharumkan sektor pendidikan dalam kawasan Parlimen Masjid Tanah.

“Saya mewakili Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak di SMKHK yang terbabit dalam memajukan koperasi hingga mencapai kejayaan cemerlang dalam program YESS,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 2:36 PM