DR Mohd menunjukkan anak burung merpati baka import.
DR Mohd menunjukkan anak burung merpati baka import.
DR Mohd  Jusoh memcantas pokok bunga ros.
DR Mohd Jusoh memcantas pokok bunga ros.
SALAMAH memetik bunga ros yang rosak.
SALAMAH memetik bunga ros yang rosak.
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kesibukan menjalankan tugas sebagai Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) tidak menghalang Dr Mohd Jusoh, 57, dan isterinya, Salamah Mohd, 57, dari Kampung Tok Jembal, Gong Badak, Terengganu, memanfaatkan tanah di kawasan sekitar rumahnya.

Pasangan itu menjalankan aktiviti pertanian termasuk menanam pelbagai jenis bunga ros, pokok buah naga, menternak ayam serama, burung merpati dan spesies burung budgie (Budgerigar).

Mereka sanggup membelanjakan lebih RM5,000 untuk mendapatkan benih bunga ros terbaik selain menanggung kos bulanan sebanyak RM400 bagi memastikan tanamannya itu segar dan membiak dengan baik.

Dr Mohd berkata, dia dan isteri menjadikan aktiviti pertanian di kawasan rumah itu sebagai terapi minda selain mengisi masa lapang sejak lima tahun lalu.

“Hingga kini, kami menanam 24 pokok buah naga, 250 bunga ros, pokok ubi besar selain menternak ayam serama, burung merpati dan budgie.

“Kami mengusahakan tanaman dan ternakan ini bukan untuk meraih keuntungan cuma sebagai kepuasan diri selain ia berkesan sebagai terapi yang memberi ketenangan minda selepas seharian menghabiskan masa di pejabat,” katanya.

Menurutnya, dia berasa seronok apabila melihat tanaman yang diusahakan mengeluarkan hasil, ternakan membiak dan bunga ros yang ditanam menghasilkan bunga yang cantik.

“Memandangkan ahli keluarga saya sangat menggemari buah naga membuatkan saya dan isteri turut menanamnya walaupun proses penjagaannya agak cerewet berbanding tanaman lain.

“Saya bercadang untuk memperluaskan kegiatan pertanian yang dijalankan di kawasan rumah dan bergiat secara lebih serius apabila bersara kelak,” katanya.

Beliau berkata, walaupun latar belakang pendidikan ialah jurusan perubatan tetapi minat yang mendalam terhadap bidang pertanian membuatkannya sentiasa mempelajari dan menambah ilmu dalam bidang ini.

Sementara itu, Salamah berkata, beliau memberi perhatian kepada taman bunganya yang mempunyai 200 pengenalan spesies (ID) termasuk agusta louise, china doll, jaya, mini eden, kordes jubilee dan red baccara.

“Selain membelinya daripada rakan-rakan, ada sebahagian bunga ros yang ditanam itu diperolehi melalui sistem pertukaran anak benih dengan kenalan dari seluruh dunia termasuk New Zealand.

“Seronok apabila berada dalam komuniti bunga ros kerana berpeluang berkenalan dengan peminat bunga itu dari seluruh dunia menggunakan media sosial sebagai medan komunikasi antara kami,” katanya.

Menurutnya, bunga itu menjadi hiasan utama di kawasan rumah dan biasanya rakan yang berkunjung ke rumah akan menghabiskan masa di mini taman bunganya itu.

“Sebahagian daripada mereka ingin membeli bunga ros yang ditanam itu tetapi saya tidak menjualnya. Namun jika mereka bernasib baik saya akan menghadiahkan anak pokok yang diminati itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 12:02 PM