ROS Jepun merah jambu, merah terang, putih, kuning, ungu, oren dan campuran warna jadi pilihan ramai.
ROS Jepun merah jambu, merah terang, putih, kuning, ungu, oren dan campuran warna jadi pilihan ramai.
Teks dan gambar Norsharuddin Sapian

Bagi yang inginkan landskap kediaman penuh berwarna-warni, tanaman bunga ros Jepun atau nama saintifiknya Portulaca Grandiflora antara pilihan utama.

Tumbuhan hiasan yang menjalar atau turut dikenali sebagai bunga kembang petang, pukul sepuluh, moss rose, rose moss, sun plant atau bunga gelang ini bukan sahaja menarik, malah mudah ditanam dan dijaga.

Terdapat pelbagai warna, antaranya merah jambu, merah terang, putih, kuning, ungu dan oren, selain campuran warna seperti merah jambu dan putih.

Pokok hiasan ini sejenis tumbuhan herba dan sesuai ditanam di tanah poros dan bersaliran baik.

Tumbuhan ini dikatakan berasal dari selatan Brazil yang beriklim panas, selain Uruguay dan Argentina Utara.

Ia boleh mencapai saiz hingga 15 sentimeter (sm) tinggi dan menjalar hingga 30 sm.

Bunga yang berkembang seperti ros ini agak kecil berbanding bunga ros sebenar.

Ia mudah membiak melalui jalaran akar dan dibiakkan dengan keratan batang.

Tanaman ini mengeluarkan bunga yang ba­nyak jika mendapat pendedahan sepenuhnya kepada cahaya matahari.

Bunganya berkembang sepenuhnya pada pukul 10 hingga 11 pagi. Daunnya hijau, tapi boleh bertukar menjadi keperangan jika menerima cahaya matahari berlebihan.

Lebih menarik, tanaman ini dikatakan mempunyai khasiat perubatan termasuk daunnya yang boleh digunakan bagi merawat luka kecil.

Malah, ia mudah membiak melalui akarnya yang menjalar selain boleh dibiakkan melalui keratan batang.

Cuma perlu cucuk sahaja ke tanah, pasti hidup! Ia juga boleh dibiakkan melalui biji benih.

Bagaimanapun, ia antara tanaman yang memerlukan cahaya matahari sepenuhnya. Bunga berkembang dengan banyak jika mendapat cahaya matahari secukupnya.

Justeru, dedahkanlah tanaman berkenaan pada cahaya matahari pada ruang terbuka di taman dan elakkan berada di tempat teduh.

Apabila ditanam di atas tanah, ia sesuai sebagai tanaman tutup bumi selain boleh dijadikan tanaman gantung.

Tanah yang tidak menakung air termasuk campuran tanah peroi, tanah gambut (boleh diganti dengan baja organik) dan pasir sungai antara yang sesuai. Akar boleh reput jika tanahnya menakung air.

Namun, ia perlu disiram dua kali sehari pagi dan petang serta pucuknya perlu kerap dipangkas bagi menggalakkan pertumbuhan ranting atau bunga.

Bagi pembajaan pula, sebaiknya gunalah baja cecair kerana baja biji boleh mencederakan batang pokok.

Sementara itu, seorang guru Kamariah Hanafi tidak menyangka minat menanam beberapa jenis pokok hiasan itu sebagai hobi akhirnya membuahkan situasi menarik.

Landskap tamannya meriah dengan warna-warni ros Jepun.

Menurutnya, buat masa ini dia mempunyai lebih 50 varieti tanaman hiasan menjalar.

Ia termasuk 50 jenis bunga selapis dan tujuh jenis berlapis.

“Dulu, saya hanya menjadikan tanaman berkenaan sebagai hiasan di persekitaran rumah, tapi kini bersedia berkongsi keindahan bunga itu kepada peminat ros Jepun.

“Apatah lagi suami pun berkongsi minat sama,” katanya yang bangga kerana suaminya, Ridzuan Chu Abd Rani turut memberikan sokongan moral.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2016 @ 9:56 AM