SEGALA bentuk kegembiraan dan kemeriahan dalam  sambutan Aidilfitri adalah sebahagian dari tuntutan ajaran Islam.
SEGALA bentuk kegembiraan dan kemeriahan dalam sambutan Aidilfitri adalah sebahagian dari tuntutan ajaran Islam.
Datuk Mohd Ajib Ismail

Tradisi Rumah Terbuka Aidilfitri yang menjadi budaya dan amalan dalam kalangan Keluarga Malaysia kini kembali memeriahkan suasana selepas 2 tahun wabak pandemik Covid-19 melanda negara. Acara tersebut dianjurkan oleh pelbagai pihak sama ada di rumah, pejabat mahupun lokasi yang lain terutama sekembalinya orang ramai ke bandar dan tempat kerja masing-masing selepas pulang menyambut hari raya di kampung halaman. Tradisi tersebut adalah salah satu cara untuk menzahirkan perasaan gembira dan bersyukur atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT setelah sebulan umat Islam memberikan tumpuan sepenuhnya bagi melaksanakan ibadah dalam bulan Ramadan. Segala bentuk kegembiraan dan kemeriahan dalam suasana sambutan Aidilfitri adalah sebahagian dari tuntutan ajaran Islam selagi bersesuaian dan selaras dengan panduan syariat. 

Rasulullah SAW sendiri membenarkan penduduk Madinah bergembira apabila tiba hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik RA berkata yang bermaksud: "Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: "Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliah. Sabdanya lagi: "Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri." (Hadis riwayat al-Nasa'i)

Tradisi menganjurkan acara rumah terbuka dari sudut pandangan Islam mengandungi beberapa amalan mulia seperti menjamu makanan, mengeratkan hubungan silaturahim, ziarah-menziarahi, menghulurkan sedekah serta memuliakan dan meraikan tetamu. Dalam hal memberikan makanan kepada orang lain, perkara tersebut dianggap sebagai amalan sedekah yang dituntut oleh agama sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh 'Abdullah bin 'Amru RA bercerita, bahawasanya ada seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: "Apakah amalan yang paling baik dalam Islam? Beliau menjawab: "Engkau memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang engkau kenal mahupun kepada orang yang tidak engkau kenal." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Hadis tersebut menjelaskan tentang kelebihan amalan memberikan makanan kerana menjadi tanda kemurahan hati dan akhlak yang terpuji serta dapat memberikan manfaat kepada golongan yang memerlukan dan kelaparan.

Selain itu, budaya meraikan dan memuliakan tetamu pula adalah perbuatan yang mulia sepertimana maksud sebuah hadis daripada Abi Syuraih al-K'bi, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaknya ia memuliakan tetamunya di bahagian istimewanya iaitu hari dan malam pertama. Menghormati tetamu itu yang wajib tiga hari, lebih daripada itu adalah sedekah baginya dan tidak boleh seorang tetamu tinggal lama sehingga membebankan tuan rumah. (hingga mengeluarkannya)." (Riwayat Al-Bukhari)

Amalan menghubungkan silaturahim dalam kalangan ahli keluarga dan masyarakat juga mempunyai fadilat yang besar sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturahim." (Riwayat al-Bukhari)

Suasana kemeriahan majlis rumah terbuka juga lebih bermakna apabila orang ramai kembali dapat berjabat tangan dan bersalaman memohon kemaafan. Dalam sebuah hadis daripada Al Bara` ia berkata: Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Tidaklah dua orang muslim bertemu lalu berjabat tangan kecuali Allah akan memberi ampunan kepada keduanya sebelum mereka berpisah." (Riwayat Abu Daud)

Walaubagaimanapun, beberapa perkara perlu dielakkan ketika kesibukan menganjurkan acara rumah terbuka seperti amalan pembaziran, makan secara berlebihan, tidak menghormati tuan rumah, meminta-minta hidangan dan menjalankan aktiviti hiburan yang keterlaluan. Perlu diingat bahawa rumah terbuka bukanlah amalan yang diwajibkan tetapi digalakkan mengikut kemampuan masing-masing. Justeru tidak perlulah sibuk bertanya jika tidak dipelawa. Namun menjamu orang makan dan memuliakan tetamu itu adalah amalan yang disukai. Adab-adab bertamu ke majlis rumah terbuka mestilah dipelihara pada setiap masa. Hindarilah perbuatan berebut-rebut makanan dan tamak, makan secara berlebihan dan elakkan berada terlalu lama di rumah atau sesuatu majlis. Ingatlah bahawa hidangan yang disediakan adalah untuk dikongsi bersama orang lain. Selain itu, dalam kesibukan meraikan atau menganjurkan acara rumah terbuka, puasa sunat enam hari di bulan Syawal jangan pula dilupakan di penghujung hari yang masih berbaki. Rasulullah SAW mengingatkan dalam sebuah hadis tentang kelebihan amalan tersebut dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun." (Riwayat Muslim)

Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri sehingga kini masih terasa. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sewaktu mengulas isu berkaitan meraikan Syawal sepanjang sebulan, menyatakan bahawa Aidilfitri merupakan hari bergembira seluruh umat Islam. Amalan ziarah-menziarahi, menjamu makan, bermaaf-maafan dan bertukar-tukar hadiah sepanjang bulan Syawal adalah harus hukumnya. Ia sekadar suatu tradisi yang diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia. Oleh itu marilah kita bersama-sama mengambil kesempatan ini untuk kembali menyatukan hati serta menyuburkan perasaan saling mencintai dan menyayangi dalam segenap lapisan masyarakat. Di Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut mengambil inisiatif menganjurkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri@Dataran Merdeka yang menghimpunkan masjid dan surau Jumaat bagi menyediakan gerai jamuan pelbagai juadah untuk disajikan kepada masyarakat yang terdiri dari pelbagai latar belakang bangsa, budaya dan agama. Penganjuran program tersebut diharapkan dapat menjalinkan silaturahim dalam kalangan Keluarga Malaysia khususnya masyarakat sekitar Wilayah Persekutuan, membentuk semangat kerjasama dan persaudaraan dalam kalangan Jawatankuasa Masjid di Wilayah Persekutuan, menyemai sifat cakna dan prihatin terhadap golongan yang kurang berkemampuan, serta memasyarakatkan dan mempromosikan masjid-masjid di Wilayah Persekutuan sebagai pusat penyatuan ummah.


Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 11:08 AM