UMAT Islam di Malaysia perlu menginsafi nasib saudara kita di Gaza yang sering berhadapan dengan kelaparan akibat serangan Israel sejak Oktober tahun lalu.
UMAT Islam di Malaysia perlu menginsafi nasib saudara kita di Gaza yang sering berhadapan dengan kelaparan akibat serangan Israel sejak Oktober tahun lalu.
Oleh Nor Asree Mohd Noh

Syarak mengajar umatnya sentiasa bersederhana. Ia merangkumi segala perkara dalam kehidupan seorang Muslim termasuk ketika sambutan Aidilfitri. Sebaik sahaja tibanya Syawal, golongan ibu mungkin runsing dalam menentukan juadah untuk disediakan pada hari raya. Ini mungkin keluar dari mulut mereka: "Juadah apa nak buat masak raya ni?", "Kuih apa lagi tak cukup?", "Macam tak raya kalau makanan ni tak ada!", "Tetamu kita ramai, kena ada sekurang-kurangnya tiga juadah berat" dan pelbagai macam dialog seakan-akan dengannya.

Islam agama yang bersifat syumul, ia datang dengan panduan lengkap menerusi wahyu. Soal makan minum juga tidak dikecualikan. Isu halal dan haram disebut secara jelas dalam al-Quran dan sunah, apa yang dibolehkan atau sebaliknya. Namun, perlu diingatkan madrasah Ramadan mendidik umat supaya menginsafi dan mengenang segala kekurangan orang lain. Hikmah berlapar selama sebulan ialah supaya menjadi latihan dan tersemat di dalam sanubari seseorang Muslim agar sentiasa bersyukur dan menjiwai kesulitan orang lain.

Krisis di Palestin sehingga kini masih hangat dibicarakan. Sudah hampir enam bulan peperangan berlaku sejak Oktober 2023 lalu dengan kebuluran di merata tempat. Ada yang terpaksa mengutipkan sisa makanan terbuang, makan bangkai, memasak rumput dan bermacam lain keadaan bagi meneruskan kehidupan. Ubat-ubatan dan kelengkapan hospital tidak mencukupi. Bantuan kemanusiaan kebanyakannya tidak sampai dan disekat. Kematian kian meningkat.

Di Malaysia, rakyatnya dikurnia dengan pelbagai nikmat. Tidak perlu dipersoalkan mengenai makan minum. Ia bukan sahaja cukup bahkan lambakan, kadangkala sesuatu yang berlebihan serta cenderung berlaku pembaziran. Pengaruh media sosial antara sebab menjadikan kegilaan segelintir manusia untuk mendapatkan habuan tekak dan perut mereka.

Dalam ilmu penyucian jiwa, perut sememangnya ujian terbesar. Nafsu dan kehendak untuk makan sentiasa meminta, berkeinginan dan mendorong melakukan apa sahaja bagi melunaskan kepuasan diri. Bahkan alim ulama seperti al-Ghazali dalam kitabnya Bidayatul Hidayah mengkritik golongan yang makan sehingga kenyang. Hal ini kerana kekenyangan boleh menyebabkan badan menjadi berat untuk beribadah dan meningkatkan nafsu syahwat. Keadaan ini digemari oleh syaitan dan mudah bagi seseorang terjerumus ke lembah maksiat.

Hari ini masyarakat tidak melihat isu pembaziran sesuatu yang sensitif. Ia menjadi perkara biasa dalam apa jua keadaan termasuk makanan.

Ramadan lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri FadillahYusof mengingatkan umat Islam di negara ini supaya tidak menjadikan bulan itu bulan pembaziran makanan. Beliau turut mengajak umat Islam menggandakan ibadah bagi meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamumemberitahu: 'Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepadamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras." (Surah Ibrahim: 7)

Syukur bukan mudah untuk dilaksanakan, apabila ia memerlukan pengorbanan dan kesungguhan. Namun, orang yang mengaku diri mereka Mukmin, pasti yakind engan janji Allah tentang syukur. Mereka berpada-pada dan tidak melampau semasa makan dan minum, sentiasa sedar dalam memikir hal ehwal orang lebih daif.

Sabda Rasulullah SAW: "Lihatlah kepada orang yang di bawah kalian dan janganlah melihat orang yang di atas kalian. Selayaknya hal itu akan membuat kalian tidak meremehkan nikmat Allah kepada kalian." (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pengajaran rakyat di Palestin menjadi sandaran dan bukti keimanan mereka. Refleksi daripada kesedaran ini, nikmat yang kecil sekalipun tidak dipandang enteng apatah lagi dikufuri, walaupun sebiji nasi atau sisa kepingan roti yang berguguran di atas meja.

Hal ini kerana ia mungkin besar buat orang yang tidak memilikinya, contohnya mereka di Palestin sekarang ini. Begitulah ciri orang beriman atau mukmin.

Kedatangan Syawal sepatutnya menjadi hasil tuaian yang terbit daripada tarbiah Ramadan lalu. Hal ini kerana syukur sangat berkait rapat dengan takwa. Ibnu Abi Hatim meriwayatkan bahawaMuhammad bin Ka'ab al-Qurazhi berkata: "Syukur adalah takwa kepada Allah SWT dan beramal soleh." (Tafsir al-Quran al-'Azim)

Maka segala tindakan seseorang ketika ingin membuatkeputusan, perlu lahir daripada ingatan dan perasaan terhadap orang lain yang lebih susah daripada dirinya. Dalam apa sahaja apabila terasa untukmembeli yang boleh menyebabkan pembaziran, ingatlah sahabat yang berada di Palestin dan negara lain yang dalam kesusahan. Rakyat di sana sedang diuji dengan serba kekurangan untuk sabar manakala penduduk di tempat lain seperti Malaysia diuji dengan nikmat untuk syukur.

Sebab itu Nabi SAW memuji perihal orang Mukmin dalam sabdanya: "Sungguh ajaib urusan orang Mukmin, semua urusannya adalah baik dan tidak ada seperti itu melainkan Mukmin sahaja. Jika ditimpa kesenangan dia bersyukur, itu baik baginya. Jika ditimpa kesusahan pula dia bersabar maka itu baik juga untuknya." (Hadis Riwayat Muslim).

Oleh sedemikian itu, penulis melihat bahawa budaya makan yang melampau atau tidak kawal perlu diubah, baik di peringkat individu atau komuniti yang mencakup ibadan, institusi dan sebagainya.

Kadang-kadang, jamuan yang diadakan di masjid atau surau turut tidak terlepas daripada pembaziran walaupun pada asalnya penyediaan makanan tersebut atas sebab acara keagamaan. Ia perlu diuruskan dengan baik.

Kalau di rumah individu tinggal bersendirian, tidak perlu diperkatakan lagi malah mustahil tiada pembaziran. Allah SWT mengecam orang yang membazir seperti firman-Nya: "Sesungguhnya orang yang membazir itu saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya."(Surah al-Isra': 27)

Penulis Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar & alumni Universiti Islam Melaka (Unimel)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 7:01 AM