SATU cara menjadi azimat terbaik mengubati segala penyakit hati ialah dengan sentiasa mengingati Allah.
SATU cara menjadi azimat terbaik mengubati segala penyakit hati ialah dengan sentiasa mengingati Allah.
Mohd Rizal Azman Rifin

Mulut yang berlidah memang sedia kita mengetahuinya dan sering diperingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya digunakan anugerah lidah untuk berkata yang keji. Lidah yang berada di dalam rongga mulut itu ada ketikanya menjadi penyebab tercetus pelbagai konflik sesama manusia.

Bagaimana halnya dengan 'mulut hati'? Ya hati kita sebenarnya seakan-akan serupa dengan organ mulut yang berlidah. Cuma mulut hati tidak memiliki lidah, namun sangat cepat meluncur bisik kata yang mungkin tanpa disedari mengakibatkan seseorang itu dipenuhi dengan aneka sifat mazmumah yang dimurkai Allah.

Benarlah apa yang pernah diwasiatkan oleh baginda Rasulullah SAW dengan sabdanya: "Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh manusia terdapat segumpal daging. Jika ia baik, seluruh tubuh baik. Jika ia rosak, seluruh tubuh juga rosak. Ketahuilah (segumpal daging) itu ialah hati." (Riwayat Imam Muslim)

Sesungguhnya hati seumpama raja bagi seluruh anggota tubuh dan ketua dalam segala bentuk kehidupan kita sebagai manusia. Jika baik hati itu, baiklah kehidupan kita, tetapi jika buruk atau rosak hati itu maka punah seluruh anggota tubuh dan kehidupan kita sebagai seorang Mukmin. Maka sentiasa berdoa agar dikurniakan hati yang bersih dan terpelihara.

Begitulah kedudukan hati kepada seseorang manusia. Meskipun apa yang tersimpan dalam hati hanya orang itu dan Allah sahaja mengetahuinya, tetapi isyarat baik serta buruknya hati orang itu akan terpancar menerusi setiap gerak geri perilaku dan perkataan dibicarakannya.

Hinggakan Imam Ibnu Qayyim mengatakan bahawa, "Lidah seseorang dapat menggambarkan bagaimanakah hatinya." Justeru, berdasarkan apa yang ulama tersohor itu memberitahu, ia membolehkan kita mengerti bahawa apa yang disembunyikan oleh hati, pasti terzahir juga melalui perilaku seseorang menerusi tutur kata diluahkan.

Allah sendiri melihat dan memberikankan 'markah amalan' dengan melihat kepada hati dan tidak kepada perilaku yang terzahir. Jadi, seseorang yang begitu tekun beribadah dengan penuh istiqamah, tetapi sekiranya semasa bersama masyarakat dia sarat dengan unsur mazmumah keji seperti mengumpat, menutur perkataan kesat dan bernada maki hamun, bermakna segala timbunan amal ibadah serta amalan kebaikannya laksana debu berterbangan ditiup angin.

Baginda Nabi SAW mengingatkan kita dengan bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad kamu dan tidak pula rupa kamu, tetapi Allah melihat kepada hati kamu dan amalan kamu." (Riwayat Imam Muslim)

Maka, hendaknya kita sentiasa berhati-hati kerana hati kita sukar dikunci sebaliknya sentiasa berbolak-balik dengan pelbagai 'wajah' yang ada ketika penuh unsur terlarang. Kita boleh lihat kepada mereka yang bersifat pendendam dan sukar memaafkan orang lain. Ini menunjukkan seseorang itu sedang menghidap 'penyakit hati' yang berbahaya yang bukan sahaja kesannya dirasakan di atas dunia, tetapi akan lebih malang di akhirat kelak.

Begitulah juga keadaannya dengan perbuatan saling mendengki. Perasaan dengki itu sebenarnya menandakan kroniknya penyakit hati yang sedang ditanggung. Sedarilah apabila kita membiarkan hati bersarang dengan perasaan dengki bermakna kita sedang 'merelakan' hati kita untuk ditembusi oleh iblis dan syaitan.

Iblis dan syaitan amat 'meminati hati' kita kerana seandainya mereka dapat menguasai hati, peluang menjadi sangat terbuka untuk menjadikan seseorang itu derhaka kepada Allah dengan berperilaku yang dilarang agama. Justeru, berwaspadalah dan berusahalah supaya hati menjadi tembok kebal' yang sukar ditembusi oleh makhluk yang Allah laknat itu. Caranya tidak lain, hanyalah dengan kita sentiasa ingat kepada Allah. Ya, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram dan tenang. Hanya dengan mengingati Allah, perasaan keji yang ingin bertapak di lantai hati sukar untuk menghuni di dalam hati.

Sepupu Nabi SAW, Saidina Ali bin Abi Talib yang juga menantu baginda pernah mengingatkan kita dengan berpesan: "Penyakit hati jauh lebih berbahaya daripada penyakit fizikal." Ya memang benar pesanannya itu itu kerana penyakit hatilah yang menjadi punca segala keburukan dan huru-hara kehidupan manusia.

Sebutlah apa sahaja kejadian buruk lagi keji yang sering berlaku, segalanya bertitik-tolak daripada penyakit hati. Hati busuk, hati kotor itulah yang menyebabkan seseorang itu terjerumus ke kancah mungkar zahir dan maksiat hati.

"Hati adalah raja dan anggota badan yang lain adalah tenteranya. Maka apabila rajanya baik, baiklah seluruh tenteranya. Apabila buruk rajanya maka buruklah seluruh tenteranya." Ini bukannya hadis, tetapi kata-kata yang diperingatkan oleh sahabat Rasulullah, Abu Hurairah. Beliau nyata begitu arif tentang 'biologi hati' yang mampu memporak-perandakan kehidupan manusia.

Pesanan beliau itu juga seolah-olah mengajak kita semua agar sentiasa memelihara dan menjaga 'raja' kita dengan sebaik-baiknya agar tidak memudaratkan kehidupan di dunia ini. Hanya satu cara menjadi azimat terbaik untuk mengubati segala penyakit hati iaitu sentiasa mengingati Allah.

Ketahuilah bahawa mendidik hati bukan jalan yang mudah kerana hati sangat 'liar' yang sentiasa menjadi intipan Iblis, syaitan dan nafsu liar. Hal itu diakui sendiri oleh al-Imam al-Ghazali yang antara lain beliau berkata, 'Aku mengubati dan membaiki hati selama 10 tahun. Aku juga membaiki lisan dan nafsuku selama 10 tahun. Di antara ketiga-tiga perkara tersebut, hatilah yang paling sukar untuk diperbaiki. Oleh kerana itu, ambillah dan amalkanlah ilmu ini.'

Semoga Allah sentiasa mengurniakan kita dengan hati yang hidup iaitu hati yang sentiasa bersih dan suci daripada titik noda serta dosa. Hati perlu dididik dengan sifat mahmudah seperti ikhlas, rendah diri dan zuhud agar ia tidak mudah dipengaruhi oleh hawa nafsu. Dengan zikrullah dapat merawat hati agar kita tidak mudah dihinggapi penyakit hati busuk yang penuh anasir keji. Insya-Allah.


Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 6:01 AM