GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

APABILA memasuki Ogos setiap tahun, kita akan menyambut bulan kemerdekaan. Pepatah Arab ada menyatakan:  "Tiada perkara yang paling berharga dalam hidup ini selain kemerdekaan." Ini bermakna kemerdekaan memang amat bernilai harganya kerana untuk memperolehnya, ia memerlukan perjuangan dan pengorbanan yang banyak, sama ada harta ataupun nyawa sekali pun.

Segala puji bagi Allah Yang Maha Berkuasa, kita telah pun 64 tahun merdeka daripada penjajahan berbentuk fizikal selama berabad-abad lamanya. Ia berlaku sejak 1511 iaitu penjajahan Portugis ke atas Melaka diikuti penjajahan Belanda, Jepun, komunis dan berterusan sehingga penjajahan terakhir iaitu British ke atas tanah air kita sebelum mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Akan tetapi adakah kita masih terbebas dan merdeka secara mutlak? Adakah kita benar-benar membersihkan jiwa dan hati kita daripada sifat tercela, keji dan hina? Adakah kita sudah benar-benar merdeka daripada belenggu syaitan dan iblis yang saban hari menggoda manusia melakukan maksiat dan kemungkaran secara lisan dan perbuatan? Adakah kita benar-benar menghijrahkan diri kita ke arah keredaan Allah secara keseluruhan?

Melalui manhaj rabbani yang suci, kita dapat melihat sama ada kita sudah merdeka atau tidak. Sebagai contoh kemerdekaan jiwa seseorang Muslim terhadap Muslim yang lain. Sebagai seorang Muslim seseorang itu hendaklah memelihara lidahnya dan juga anggota badannya daripada menyakiti saudara Muslim yang lain. Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Amru  RA,  beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Seorang Muslim itu adalah mereka yang membuatkan Muslim yang lain selamat daripada kejahatan lidahnya dan juga tangannya" - (Hadis Riwayat al-Bukhari). Dalam menerangkan hadis ini, Imam Ibn Battal dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata: "Apa yang dimaksudkan dengan hadis ini adalah tuntutan supaya meninggalkan perbuatan menyakiti umat Islam dengan lidah, tangan dan juga semua perkara yang menyakitkan hati mereka." (Syarah Sahih Al-Bukhari, Ibn Battal (1/62)

Oleh itu kita sedia maklum bahawa musuh kekal kemerdekaan ini ialah penjajahan, sama ada berbentuk penjajahan fizikal, penjajahan kedaulatan sesuatu kawasan atau negara, malahan yang lebih dahsyat penjajahan budaya dan hati naluri. Penjajahan hati oleh hawa nafsu yang dipengaruhi oleh syaitan adalah penjajahan paling berbahaya kerana dapat menyesatkan manusia dari jalan yang benar seperti yang digariskan dalam al-Quran dan sunah walaupun mereka menyedarinya.

Namun demikian, kemerdekaan yang paling bermakna bagi hidup manusia ialah kemerdekaan hati. Ini kerana hati  adalah pusat penentu segala kebaikan dan keburukan dalam kehidupan seseorang Muslim. Dari situlah penilaian kehidupan manusia yang merdeka atau  masih terjajah akan dapat ditentukan.

Sabda Nabi SAW: "Sesungguhnya dalam diri manusia itu terdapat segumpal daging. Jika daging itu baik, maka seluruh tubuhnya (perilakunya) akan baik. Sebaliknya, jika ia buruk, maka seluruh tubuhnya (perilakunya) menjadi buruk. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu ialah hati." (Hadis Riwayat Muslim)

Apabila diimbas misi risalah suci yang dibawa oleh anbia dan rasul pilihan Allah SWT pada dasarnya adalah untuk memerdekakan hati daripada segala bentuk penyakit batiniah dan penjajahan hati.  Ada dalam kalangan manusia ada yang hatinya berpenyakit iri, dengki, bersangka buruk, dendam kesumat, suka mencuri hak orang lain, menganiaya orang yang lemah, berasakan diri hebat dan melakukan rasuah serta penyelewengan.

Namun begitu, penjajahan hati paling berbahaya adalah hati yang bersikap syirik (mempersekutukan) kepada Allah SWT tanpa sedar atau dengan kesedaran mereka sendiri. Hati yang diliputi syirik sentiasa akan menjauhkan manusia daripada  Tauhid  (pengakuan terhadap keesaan Allah SWT). Oleh sebab itulah Allah SWT mengutuskan Nabi-Nya agar memerdekakan hati umat manusia daripada segala bentuk kemusyrikan dan kekufuran. Allah SWT berfirman melalui kisah agung Luqman dan anakandanya dalam Surah Luqman ayat 12 yang maksudnya: "Jangan kamu mensyirikkan Allah kerana sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang amat besar (kesannya)."

Di samping itu, al-Quran menceritakan bagaimana Nabi Ibrahim AS mencari Tuhan yang sebenar (sebagai strategi berdakwah dan mencari kebenaran terhadap umatnya) dan berdialog dengan makhluk yang ada dalam alam sejagat sehingga akhirnya baginda menemukan tauhid sejati. Pada permulaannya baginda melihat bintang serta bulan, dan menganggap kedua-duanya sebagai Tuhan. Namun, disebabkan kedua-duanya lenyap dari pandangan mata, baginda tidak lagi mempercayainya sebagai Tuhan (sebagai perbandingan dan manhaj dakwah). Setelah itu, baginda melihat matahari dan dianggapnya sebagai Tuhan kerana matahari jauh lebih besar dari bintang dan bulan. Akan tetapi kerana semua makhluk itu terbit dan terbenam, baginda telah membuat kesimpulan semuanya bukan Tuhan. Akan tetapi Tuhan yang sebenarnya adalah Allah SWT Maha Pencipta langit dan bumi berikut isinya sepertimana yang tercatat dalam surah Al-An'am  ayat 75-78.

Ketika menemukan kebenaran tauhid yang agung itu, baginda mengisytiharkan diri baginda bebas dan merdeka daripada sifat mensyirikkan Allah SWT melalui firman-Nya: "Sesungguhnya aku merdeka (terbebas) daripada apa yang mereka sekutukan. Maka sesungguhnya aku hadapkan hidupku (aku hadapkan wajahku) kepada Yang Mencipta langit dan bumi dengan penuh kejujuran hati untuk menerima kebenaran dan aku sekali-kali tidaklah termasuk orang  yang menyekutukan Allah." (Surah al-An'am: 78-79).

Oleh itu, kemerdekaan yang hakiki adalah kemerdekaan hati dari kemusyrikan terhadap Tuhan Sekalian Alam, seterusnya membawa kepada kebahagiaan dunia dan akhirat. Lihatlah kisah golongan penentang Rasul, seperti kaum Luth, kaum Hud, Fir'aun, Qarun, sehinggalah Abu Jahal dan Abu Lahab memberi pengajaran yang jelas kepada kita bahawa  hati mereka itu telah terbelenggu dan terpenjara oleh penjajahan keegoan, kesombongan diri, kekufuran dan kemusyrikan.

Jika manusia dapat memerdekakan hati daripada penjajahan kemusyrikan,  kedengkian, amarah, kerakusan, ketamakan, kesombongan, pecah amanah, rasuah, penyelewengan dan sebagainya, nescaya hidupnya akan penuh kemuliaan, kedamaian, kemerdekaan dan kebahagiaan yang hakiki. Nabi SAW bersabda: "Yang disebut orang yang kaya bukanlah kerana kaya harta, tetapi kaya hati. Dan orang yang kuat bukanlah kerana kuat tenaga fizikalnya, tetapi kuat mengendalikan diri (hati)nya." (Hadis Riwayat at-Tabrani) 

Justeru, mari kita sama-sama memerdekakan jiwa dan hati kita dengan erti kata yang sebenar dari segala penyakit hati, sehingga kita dapat mewujudkan hidup bahagia yang sejati. Merdeka diri, merdeka peribadi, merdeka daripada penyakit hati.

Penulis Profesor Madya Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 7:36 AM