FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Dr Hazlina Abdullah

Terdapat banyak pepatah dan peribahasa Melayu yang dikaitkan dengan hati seperti jauh di mata dekat di hati, lain di mulut lain di hati, rambut sama hitam hati lain-lain, selain simpulan bahasa seperti ada hati, buah hati, besar hati, makan hati.

Perasaan manusia lahir pada hati. Oleh itu juga, hati berperanan menentukan sifat baik dan buruknya manusia. Justeru, menjaga kesucian dan kebersihan hati sangatlah penting. Hati turut diberi keutamaan dalam Islam. Di dalam al-Quran, perkataan 'hati' disebut oleh Allah SWT sebanyak 132 kali, yang sekali gus memberi gambaran jelas tentang peri pentingnya hati dalam kehidupan manusia.

Ini dibuktikan melalui Sabda Rasulullah SAW iaitu:  "Ketahuilah bahawa di dalam diri manusia itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh anggota badannya. Tetapi, sekiranya daging tersebut rosak, maka rosaklah seluruh anggotanya. Ketahuilah, daging yang dimaksudkan itu ialah hati." (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Menurut Imam al-Ghazali, hati membawa dua pengertian. Pertama, ia adalah berbentuk fizikal iaitu seketul daging seperti yang dijelaskan di atas. Keduanya, hati merujuk kepada sesuatu yang halus atau spiritual iaitu qalb yang berasal daripada kata dasar qalaba, qalban, yaqlibu yang bererti membalikkan atau memalingkan. 

Selari dengan konsep spiritual qalb yang berkaitan dengan perasaan batin dan tidak terlihat mata kasar, terdapat hadis yang menyatakan: "Sesungguhnya orang beriman itu jika melakukan dosa akan terbentuk bintik hitam di qalbunya." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Hati manusia juga dikatakan mudah berbolak-balik seperti firman Allah SWT yang menjelaskan bahawa hati manusia itu mudah berubah. Kadangkala di jalan yang benar dan adakalanya sering tersasar. Allah SWT berfirman: "Dan Kami bolak-balikkan hati mereka dan penglihatan mereka." (Surah al-An'am, ayat 110)

Sebagai seorang manusia biasa yang jauh daripada kesempurnaan, sememangnya bukan mudah untuk kita menjaga hati supaya sentiasa baik dan terpelihara. Kita perlu sentiasa ingat bahawa hati boleh diibaratkan sebagai raja atau ketua kepada diri kita. Jika baik hati kita, insya-Allah seluruh kehidupan kita akan turut menjadi baik dan penuh keberkatan.  

Oleh yang demikian, kita mesti sentiasa berusaha untuk memelihara hati. Walau bagaimanapun, memelihara hati bukanlah seperti menjaga anggota badan lain yang memerlukan kepada penjagaan fizikal. Hati lebih lembut (fragile) dan memerlukan kita mendapat keampunan serta meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Hanya hati yang sentiasa mengingati Allah akan sentiasa dirahmati dan dipelihara oleh Allah SWT. Ini bersesuaian dengan sabda Nabi SAW: "Sesungguhnya Allah tidak melihat bentuk badan dan paras rupamu tetapi Allah melihat kepada hatimu." (Hadis Riwayat Muslim)

Mempunyai hati yang 100 peratus berserah kepada Allah SWT akan dapat menyelamatkan kita pada Hari Kiamat seperti firman Allah SWT: "(Iaitu) di hari harta dan anak-pinak tidak berguna lagi, kecuali orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sihat sejahtera." (Surah As-syu'ara', ayat 88-89)

Di dalam kitab ringkasan Ihya Ulumuddin, Al-Ghazali menerangkan empat kategori hati iaitu:

1) Hati yang terang seperti lampu dan itulah hati orang Mukmin

2) Hati yang gelap dan terbalik, itulah hati orang kafir

3) Hati yang tertutup dan terikat pada tutupnya, itulah hati orang munafiq

4) Hati yang berlapis di mana terdapat iman dan sifat munafik.

Pelbagai penyakit hati seperti riak, ujub dan dengki boleh mengakibatkan seseorang berasa sombong dan takbur. Perkara ini mungkin berlarutan apabila mulut pula menyambung perkara tidak baik seperti memfitnah atau mengumpat lantaran hati yang kotor. Perkara ini ada disebut dalam sabda Nabi SAW: "Tidak akan lurus keimanan seorang hamba, sehingga lurus akan hatinya dan tidak lurus akan hatinya sehingga lurus akan lidahnya. Dan tidak akan masuk syurga seorang hamba selagi jirannya tidak aman daripada kejahatannya." (Hadis Riwayat at-Tabrani)

Penyakit hati akan mudah menimpa orang munafik yang seringkali terlupa untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman: "Di dalam hati mereka ada penyakit, maka Allah menambah penyakit tersebut dan mereka akan mendapatkan siksa yang pedih akibat apa yang mereka dustakan." (Surah al-Baqarah ayat 10)

Oleh itu, marilah kita sama-sama mencuba untuk mendapatkan hati yang sihat dan bukan sebaliknya. Hati adalah seperti cermin yang mana orang yang hatinya sentiasa dengan kebaikan akan terserlah melalui akhlak yang luhur. Orang yang mempunyai masalah hati turut terlihat melalui perbuatan buruk dan tidak membawa kebaikan kepada diri dan orang sekeliling. 

Semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang keras hatinya seperti yang dinyatakan dalam al-Quran: "Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang turun (kepada mereka) dan janganlah mereka seperti orang yang sebelumnya diturunkan al-kitab kepadanya kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang yang fasik." (Surah al-Hadid, ayat 16)

Sehubungan itu, antara perkara yang boleh kita lakukan untuk mendidik hati adalah melalui:

Mendekatkan diri dengan al-Quran.

Membiasakan diri dengan membaca dan mendengar ayat-ayat al-Quran.

Banyak bertaubat, beristighfar dan berdoa untuk membersihkan hati.

Mencintai dan mengutamakan Allah dan Rasul-Nya serta mengatasi keinginan duniawi dan mengutamakan akhirat.

Melatih jiwa ke arah perkara yang membawa kepada tujuan budi pekerti yang luhur sehingga membawa kepada watak dan tabiat seharian.

Bersikap tawaduk dan merendah diri.

Kesimpulannya, hati adalah amat penting serta memainkan peranan utama dalam menentukan sama ada seseorang cenderung melakukan kebaikan atau kejahatan.

Marilah kita sama-sama cuba sedaya mungkin untuk membersih dan melatih hati kita agar sentiasa terdorong untuk melakukan kebaikan serta meninggalkan larangan-Nya. Sebagaimana sabda Nabi SAW: "Wahai Allah yang membolak balik hati-hati, tetapkanlah hatiku agar sentiasa berada di atas landasan agama-Mu." (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Sesungguhnya Allah menjanjikan balasan kepada setiap apa yang kita lakukan seperti dalam firman-Nya: "Maka barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat debu, ia akan mengetahuinya dan barangsiapa yang mengerjakan keburukan seberat debu, juga akan mengetahuinya." (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Semoga kita disirami nur dan ditunjukkan jalan yang lurus oleh Allah sehingga terhindar daripada segala penyakit hati dan akhlak tercela. Amin Ya Rabbal 'alamin.

 

Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 8:59 AM