MEMPERSENDA agama termasuk mempermainkan syariat Islam, meremehkan ayat al-Quran dan mengejek gaya hidup umat Islam.
MEMPERSENDA agama termasuk mempermainkan syariat Islam, meremehkan ayat al-Quran dan mengejek gaya hidup umat Islam.
Oleh Amirulhakim Ahmad Nadzri

Dalam pepatah Inggeris ada menyebut laughter is the best medicine yang menyifatkan bahawa terdapat penawar pada ketawa. Ia tidak dinafikan dari sudut psikologi ketawa dapat mengubat hati yang resah dan sedih menjadi gembira. Oleh itu, ketawa boleh menjadi ubat kepada kesakitan emosi yang bersifat dalaman.

Agama Islam tidak melarang umatnya daripada berjenaka dan tertawa. Nabi Muhammad SAW mempunyai sifat fitrah seperti manusia lain yang cenderung kepada terhibur lantas tertawa dengan jenaka orang lain. Bagaimanapun, berjenaka ini perlu dibatasi dalam ruang lingkup tertentu supaya tidak keterlaluan.

Dewasa ini, terdapat ramai orang yang menampilkan bakat dalam seni komedi yang menjadikan jenaka sebagai kandungan tema sesuatu filem atau drama, malah individu juga menampilkan jenaka dalam media sosial masing-masing sekali gus dapat menarik ramai pengikut. Kemampuan dalam menghasilkan idea kreatif dalam berjenaka menjadikan pempengaruh ini menjadi ikon dalam dunia jenaka.

Namun, kadangkala kandungan dalam berjenaka ini tersasar daripada batas yang sepatutnya. Hal ini tanpa disedari berlakunya persendaan kepada agama. Trend menggunakan agama sebagai bahan jenaka sebenarnya menjadi kebiasaan di negara Barat melalui filem, rancangan televisyen, nyanyian dan pentas komedi. Lahirnya trend ini kesan pengaruh sekularisme menjadikan agama bukan lagi sebagai suatu yang suci.

Dalam al-Quran ada menjelaskan berkaitan kedudukan orang yang mempersendakan dan mengejek-ejek agama seperti dalam Surah at-Taubah ayat 65 yang bermaksud: "Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: 'Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main. Katakanlah: Patutkah nama Allah dan ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok serta mengejeknya."

Prof Dr Wahbah al-Zuhaili dalam kitab Tafsir al-Munir mengatakan perbuatan mempersendakan agama adalah dilarang dalam mana-mana syariat sebelum ini. Orang yang suka mempersendakan agama tidak lain tidak bukan adalah orang yang hatinya cintakan keduniaan dan tidak mengetahui apa pun selain keduniaan. Ia menjadi lebih parah apabila perbuatan ini menjerumuskan pelaku ke dalam lembah kekafiran dek terhalang daripada melakukan kebaikan yang lain.

Menurut Ibn Hajar al-Haitami, perbuatan mempersendakan agama suatu bentuk dosa besar. Perbuatan ini termasuk mempersendakan nama Allah SWT atau Nabi SAW dan mempermainkan perintah dan larangan-Nya. Ia boleh dicontohkan apabila seseorang itu berkata: "Jika Allah memerintahkan kepadaku begini dan begitu maka tidak akan aku lakukan" atau "Jika kiblat arahnya sedemikian tidak akan aku solat menghadapnya" dan sebagainya daripada bentuk yang mempersendakan agama. Selain itu, Imam an-Nawawi mengutarakan pandangan yang keras dalam mempersendakan agama iaitu mereka yang melakukannya boleh membawa kepada murtad.

Oleh itu, dalam kesempatan ini, penulis menampilkan batas berjenaka yang digariskan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) yang boleh dijadikan panduan bersama. Antara batas berjenaka yang pertama adalah tidak menjadikan Allah SWT dan agama-Nya sebagai bahan jenaka sehingga ia kelihatan memperolok dan menghina. Ia termasuk mempermainkan syariat Islam, meremehkan ayat al-Quran dan mengejek gaya hidup umat Islam. Perlu diperhatikan juga, larangan ini juga tidak terhad kepada mempersendakan agama Islam sahaja, ia termasuk agama lain seperti yang dinyatakan dalam Surah al-An'an ayat 108 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu cerca benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan ilmu."

Batas yang kedua adalah komedi atau parodi yang yang dilakukan tidak sampai menghina atau mengejek orang lain. Hal ini termasuk menjadikan peribadi, warna kulit, bentuk tubuh dan bangsa sebagai bahan jenaka.

Batas yang terakhir adalah segala dalam aksi, penulisan dan ilustrasi komedi, penggiat seni perlu mengelak daripada bentuk yang berunsurkan penipuan serta rekaan. Hal ini termasuk mereka-reka cerita yang tidak wujud tentang orang lain, menyampaikan cerita dusta dan tidak benar tentang sesuatu isu yang berlaku. Hal ini seperti dalam hadis baginda SAW daripada Riwayat Abu Daud yang bermaksud: "Celakalah buat seseorang yang menceritakan sesuatu cerita dengan tujuan membuat sesuatu kaum ketawa maka dia berdusta. Celakalah buatnya, celakalah buatnya."

Kesimpulannya, dalam dunia yang tiada sempadan ini, sempadanilah diri dengan batasan yang digariskan syarak terutama dalam aktiviti berjenaka. Walaupun jenaka yang kita lakukan itu tidak berniat untuk mempersendakan agama, namun perbuatan yang lahir itu mempersendakan agama dan ia amat dilarang sama sekali. Justeru, kita perlu berhati-hati dalam mengeluarkan satu kandungan dalam berjenaka agar tidak jatuh ke lembah dosa, fitnah dan yang lebih berat adalah murtad. Dikhuatiri jika tidak dibendung, masyarakat akan menormalisasikan jenaka dalam perkara yang dilarang khususnya dalam mempersendakan agama.

Penulis Ketua Jabatan Syariah Islamiyah, Kolej Islam As Sofa

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 6:00 AM