INDIVIDU yang mempunyai iman pasti mempunyai sifat malu kerana malu itulah yang memelihara diri daripada maksiat. FOTO Arkib NSTP
INDIVIDU yang mempunyai iman pasti mempunyai sifat malu kerana malu itulah yang memelihara diri daripada maksiat. FOTO Arkib NSTP
Ustaz Hafiz Za'farani

Pada zaman Jahiliah, maksiat dibangga-banggakan sehingga orang paling jahat dalam kalangan mereka orang yang paling dihormati. Ketika itu, untuk bertemu seseorang yang baik budi pekerti dan amanah amat susah sehingga ketika muda Nabi Muhammad yang terkenal dengan akhlaknya digelar al-Amin kerana akhlak seperti itu amat rare pada zaman itu. Pendek kata, masyarakat sekeliling amat jauh untuk dikatakan berakhlak dan bertamadun. Namun agama Islam datang menanam iman di hati agar ia sedar akan kejijikan maksiat dan kehinaan derhaka pada Allah. Oleh yang demikian, bangsa Arab yang asalnya dikenali sebagai bangsa paling teruk menjadi mulia kerana agama Islam.

Nabi Muhammad pernah bersabda yang menggambarkan bagaimana Islam bermula seperti riwayat berikut: "Islam itu bermula dalam keadaan asing dan Islam akan kembali asing maka ketika itu beruntunglah bagi orang yang asing." (HR Muslim)

Hadis ini termasuk mukjizat Nabi kerana ia menyebutkan tentang apa yang akan berlaku pada masa depan. Hakikatnya, tiada sesiapa yang mengetahui masa depan melainkan para rasul yang sudah dimaklumkan oleh Allah melalui wahyu. Justeru, Nabi mengkhabarkan kepada kita bahawa Islam akan kembali kepada asing iaitu seperti mula-mula nabi menyebarkan dakwah dalam kegelapan jahiliah. Demikian juga di akhir zaman, Islam dan hukum-hukumnya menjadi asing, tetapi maksiat dibangga-banggakan. Sedangkan seseorang yang mempunyai iman dalam hati pasti mempunyai sifat malu kerana malu itulah yang memelihara diri daripada maksiat. Seperti Nabi pernah bersabda: "Malu itu sebahagian daripada iman." (HR al-Bukhari)

Masyarakat jahiliah tidak mempunyai iman maka mereka tidak ada perasaan malu atas maksiat yang dilakukan. Maka apabila Nabi mengisyaratkan bahawa Islam akan menjadi asing, itu bermaksud akan sampai masanya Islam dilihat asing, tetapi maksiat dibangga-banggakan seperti yang berlaku pada zaman Jahiliah.

Hal ini dapat dilihat di Malaysia sekarang apabila ada suami daripada kalangan artis atau pempengaruh mengamalkan poligami, maka seluruh warganet mengecam tindakan itu walaupun ia tidak menjadi masalah bagi isteri pertama mereka. Mereka begitu alergik dengan poligami yang sememangnya dibenarkan dalam syarak. Mereka begitu benci dengan hukum poligami dan sesiapa sahaja yang mengamalkan poligami seolah-olah ia tidak patut dibenarkan oleh Allah. Suami-suami yang memilih untuk berkahwin seorang lagi dilihat seperti pengkhianat kepada isteri pertama mereka. Begitu dasyat pandangan masyarakat awam kepada kelompok ini.

Anehnya, apabila Malaysia dikejutkan dengan seorang lelaki yang mempunyai wanita simpanan dan menjual video hubungan mereka ditangkap, ramai pula yang mendoakan seperti keep strong, "semoga dipermudahkan urusan," "tabahlah' dan pelbagai kata-kata positif daripada warganet yang dahulu sangat mengecam tindakan sesiapa sahaja yang berpoligami. Kepincangan apakah ini? Adakah manusia di era ini telah gagal membezakan yang mana halal dan yang mana haram?

Demikianlah Nabi menyebut tentang umat akhir zaman dalam sabdanya: "Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah." (HR Ibnu Majah)

Hadis ini menunjukkan manusia yang hidup di zaman itu mengalami kepincangan yang melampau sehingga pendusta dibenarkan dan pengkhianat diberikan amanah. Dalam bahasa mudah, di zaman itu seperti kita memberikan pisau kepada pembunuh dan memberikan pistol kepada perompak. Masyarakat tidak dapat membezakan baik dan buruk. Bahkan mereka seperti menggalakkan kejahatan dan maksiat. Inilah zaman yang kita hidup, penuh fitnah dan tipu daya seperti yang disabdakan oleh Nabi.

Melakukan maksiat satu dosa namun berbangga dengan dosa adalah dosa yang lebih parah. Mudah bagi Allah mengampunkan dosa zina jika pelaku benar-benar bertaubat, tetapi Allah tidak akan mudah mengampunkan dosa orang yang menunjuk-nunjukkan dosanya. Hal ini selari seperti yang disabdakan Nabi: "Setiap umatku (akan) diampunkan (dosanya) kecuali mereka yang menunjuk- nunjuknya dan sesungguhnya antara cara menunjuk- nunjukkan (dosa) adalah seorang hamba yang melakukan suatu dosa di waktu malam. Sementara Allah telah menutupinya, kemudian di waktu pagi dia berkata: "Wahai fulan semalam aku telah melakukan ini dan itu, padahal pada malam harinya (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya. Ia pun bermalam dalam keadaan (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya dan di pagi harinya ia menyingkap apa yang telah ditutupi oleh Allah." (HR al-Bukhari)

Allah tidak akan mengampunkan dosa pelaku maksiat yang berbangga dengan maksiatnya. Namun ajaibnya masyarakat akhir zaman mereka memuji pelaku maksiat kerana ketabahannya dan mendoakan supaya bersabar dengan tindakan pihak berwajib. Bukankah sikap ini patut ada pada perkara yang halal dan bukan perkara yang jelas haram seperti itu? Inilah bukti kepincangan masyarakat jahiliah terdahulu mula sebati dengan sebahagian manusia di abad ini. Semoga kita dilindungi daripada kelompok seperti ini.

Penulis Pengurus Pusat Kajian Syariah Darul Fitri

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 7:01 AM