Oleh Prof Madya Dr Mohd Ashrof Zako Yaakob

Agama Islam mempunyai kedudukan yang istimewa dalam sistem perundangan di tanah air kita. Islam adalah agama persekutuan dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Agama Islam bagi Malaysia. Institusi beraja di tanah Melayu merupakan kesinambungan sejarah kepemimpinan warisan negara dan lambang perpaduan umat Islam khususnya di Malaysia.

Sejarah Kerajaan Kesultanan Melayu di Malaysia telah bermula dari Kerajaan Langkasuka Purba dan Kerajaan Melayu Melaka. Kebanyakan Kesultanan negeri di Malaysia berakar dari Kerajaan Melayu Melaka yang diasaskan oleh Parameswara pada tahun 1400 masihi manakala jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan hasil daripada Perakuan Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan. Cadangan jawatan Yang di-Pertuan Agong timbul berikutan tentangan terhadap penubuhan Malayan Union yang dilihat cuba menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu.

Pada Ogos 1957, Majlis Raja-Raja telah bersidang untuk mengundi pemegang takhta yang pertama bagi menggunakan gelaran Yang di-Pertuan Agong. Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan, yang menaiki takhta pada tahun 1933, telah dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong Pertama bagi Persekutuan Tanah Melayu.

Sehingga kini, institusi Yang di-Pertuan Agong semakin bertapak kukuh, kekal relevan serta menjadi tunggak kepada kerajaan Melayu-Islam di Malaysia.

Agama Islam sangat menitik beratkan soal perpaduan, terutamanya perpaduan dalam kalangan rakyat dan Islam menolak sebarang bentuk perpecahan, perselisihan dan permusuhan.

Institusi Raja dan perpaduan sesama umat Islam boleh digambarkan sebagai satu binaan yang kukuh sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy'ari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Orang mukmin itu bagi mukmin lainnya seperti satu bangunan, sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain." (Hadith Riwayat al-Bukhari).

Perpaduan ummah dapat diambil iktibar dalam sejarah peperangan Badar yang berlaku pada tahun kedua hijrah. Umat Islam yang berjumlah tiga ratus tiga belas orang sahaja mampu menewaskan tentera Musyrikin yang berjumlah seramai seribu orang. Ini membuktikan kukuhnya perpaduan antara umat Islam walaupun bilangan mereka dalam jumlah yang kecil. Perpaduan tersebut pula didasari oleh keteguhan kepercayaan kepada kepemimpinan yang diketuai Rasulullah SAW sebagai tunggak utama.

Sebaliknya ketika jumlah tentera Islam yang ramai dalam peperangan Hunain pada tahun kelapan hijrah, mereka hampir tewas pada peringkat awal disebabkan sikap terlalu yakin dengan kemenangan dan tiadanya perpaduan sesama mereka. Sikap tidak mematuhi arahan pucuk pimpinan juga menjadi antara punca bibit awal kekalahan tersebut.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Taubah ayat 25: "Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri."

Namun dengan sikap tenang seorang pemimpin, Rasulullah SAW mengatur kembali strategi dan kembali bangkit meniupkan semangat jihad memerangi musuh Allah SWT.

Natijahnya, kemenangan kembali berpihak kepada umat Islam apabila mereka mula sedar peri pentingnya perpaduan dan kepatuhan kepada pemimpin yang telah dilantik. Dalam konteks pembinaan sesebuah negara, semangat perpaduan seperti yang terkandung dalam penggubalan Piagam Madinah boleh dijadikan asas dan panduan dalam menegakkan sesebuah negara.

Hak dan keistimewaan penduduk asal dijamin sepenuhnya tanpa kompromi, namun pada masa yang masa perlembagaan negara turut menjamin dan memelihara hak semua bangsa dan agama lain atas dasar kemanusiaan sejagat.

Peranan kepemimpinan utama negara sangat signifikan dalam memastikan perpaduan dalam sesebuah negara dicapai. Dalam konteks Malaysia, Yang di-Pertuan Agong telah memainkan peranan yang amat besar bagi memastikan kestabilan politik terjaga sekaligus memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat jelata.

Tunggak utama negara yang terpenting ini menjadi teras dalam memastikan usaha perpaduan dilaksanakan dengan tegas, sesuai dengan jaminan yang termaktub di dalam perlembagaan negara.

Asas kepada semua ini ialah kesediaan semua pihak untuk bersikap terbuka, berlapang dada, berbaik sangka serta saling menghormati antara satu dengan yang lain. Sesungguhnya perpaduan boleh mendatangkan banyak manfaat.

Peribahasa melayu mengatakan bahawa dengan perpaduan, gunung yang tinggi dapat diratakan, begitu juga bersatu teguh bercerai roboh dan bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat.

Ini semua menunjukkan bahawa perpaduan akan menjadikan kerja yang berat menjadi ringan dan masalah yang merumitkan akan dapat dirungkai dengan jayanya.

Sejarah Islam telah membuktikan bahawa umat Islam telah berjaya menjatuhkan dua kuasa besar dunia iaitu Rom dan Parsi. Mereka bukan menjatuhkan dua kuasa besar tersebut dengan menggunakan senjata yang lebih canggih daripada senjata musuh-musuh mereka, sebaliknya mereka berjaya menjatuhkan dua kuasa besar dunia itu dengan semangat perpaduan yang berjaya diterapkan dalam jiwa umat Islam disamping roh jihad yang tersemat kukuh dalam sanubari mereka. Ini menunjukkan betapa pentingnya perpaduan kerana dengan bersatu-padulah umat Islam boleh menjadi kuat walaupun jumlah mereka sedikit. Perpaduan seperti inilah yang perlu ada dalam kalangan rakyat supaya Raja kita dapat melaksanakan peranannya sebagai ketua agama dan melindungi rakyat jelata.

Allah SWT mengingatkan kita akan bahaya perselisihan dan perpecahan menerusi Firman-Nya dalam surah al-Anfal ayat 46: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati), sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar."

Ajaran Islam dengan tegas mewajibkan penganutnya supaya bersatu-padu dan mengelakkan perpecahan. Sekiranya umat Islam berpecah belah dan bercerai berai, ini menunjukkan bahawa mereka telah mengabaikan ajaran agama mereka sendiri.

Perpaduan yang terjalin perlu tertegak melalui kepemimpinan yang teguh dan utuh. Kombinasi kedua-duanya mampu membantu negara mengorak langkah dan melonjakkan negara menjadi semakin maju ke hadapan.

Secara tuntasnya, umat Islam wajib bersatu padu dan mentaati Raja atau pemimpin dalam perkara yang tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Segala sifat yang mengundang kepada perpecahan hendaklah dijauhi, antaranya yang berpunca daripada sikap suka berhasad dengki, bersangka buruk, mengadu-domba, saling memfitnah dan seumpamanya yang akibatnya sangatlah buruk.

Hubungan mesra antara Raja dan rakyat jelata yang sudah sekian lama terjalin ini perlu dikekalkan dan diperkukuhkan lagi. Raja khususnya Yang di-Pertuan Agong merupakan tonggak kepada bangsa Melayu dan lambang perpaduan rakyat serta menjadi Ketua Agama Islam yang wajib kita pertahankan.

Allah SWT pasti akan membantu dengan taufiq dan inayah-Nya kepada pemimpin dan ketua agama bagi negara kita dalam memastikan perpaduan rakyat sentiasa terpelihara, sebagaimana firmanNya dalam surah al-Anfal ayat 62-63, "Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman. Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu).

"Kalaulah Engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya Engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Penulis Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 6:31 AM