GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Datuk Mohd Ajib Ismail

Allah SWT merakamkan di dalam al-Quran tentang kisah seorang pemimpin atau raja bernama Zulqarnain yang dikurniakan kuasa pemerintahan meliputi timur dan barat berpaksikan keteguhan prinsip iman dan akhlak. Peristiwa tersebut menjadi sebuah ibrah penting yang boleh dijadikan teladan untuk umat Islam khususnya buat golongan yang bergelar pemimpin. Dalam al-Quran, Allah SWT menceritakan tentang kesungguhan Zulqarnain 'turun ke lapangan' bagi meninjau situasi dan kebajikan rakyat. Perkara tersebut dapat dirujuk dalam surah al-Kahf bermula ayat 86 hingga 96.

Sepanjang tempoh pemerintahan, Zulqarnain melaksanakan pelbagai usaha seperti menyampaikan peringatan kepada rakyat agar menjauhi kejahatan, menjejaki golongan miskin dan serba kekurangan serta melindungi rakyat yang lemah daripada ancaman Yakjuj dan Makjuj. Zulqarnain dikenali sebagai pemimpin yang tidak mengambil kesempatan atau memeras ugut rakyat serta dikurniakan petunjuk, ilmu pengetahuan, kebijaksanaan dan kelebihan yang membolehkannya memerintah dengan adil dan saksama.

Walaupun al-Quran tidak menjelaskan secara terperinci tentang Zulqarnain namun gambaran yang diberikan menunjukkan beliau adalah seorang tokoh pemerintah yang berperibadi mulia, adil, beriman kepada Allah, membebaskan masyarakat daripada kezaliman dan menegakkan keadilan. Firman Allah SWT dalam surah al-Kahf ayat 83 hingga 84 yang bermaksud: "Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: "Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu daripada Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya: "Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya." 

Zulqarnain membantu orang yang beriman, membanteras para penyembah berhala serta melaksanakan agenda yang mendatangkan keuntungan kepada rakyat dan berusaha menyebarkan kebaikan di segenap lapangan. Perkara tersebut dijelaskan dalam al-Quran surah al-Kahf ayat 94 hingga 96 yang bermaksud: Mereka berkata: "wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (daripada hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?" Dia menjawab: "(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (daripada bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. Bawalah kepadaku ketul-ketul besi" sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu" sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya."

Zulqarnain menunjukkan suri teladan bahawa pemimpin yang berkuasa tidak seharusnya alpa dengan kekuasaan serta tidak menggunakan kedudukan untuk menindas dan menzalimi orang lain. Sebaliknya pemimpin mesti sentiasa bersedia membantu rakyat, menyantuni masyarakat dengan kebaikan dan bersifat tegas terhadap golongan yang ingkar sekali gus menegakkan keadilan dalam pemerintahan. Seorang pemimpin hendaklah memelihara diri daripada mengambil kesempatan ke atas hak kepunyaan rakyat serta tidak menerima imbalan daripada pekerjaan yang dilakukan melainkan kelebihan yang telah diberikan. Sifat tersebut akan mengangkat martabat dan kehormatan serta menambahkan kecintaan rakyat kepada pemimpin. Zulqarnain dikenang dalam sejarah dengan kebaikan akhlak, keberanian, keluhuran cita-cita, menjaga kehormatan diri, keadilan dan usaha mengukuhkan keamanan, menyantuni kebajikan serta menjatuhkan hukuman terhadap kezaliman. 

Bagi mencapai kemaslahatan dan keamanan hidup bermasyarakat maka seorang pemimpin memerlukan sokongan daripada rakyat. Di dalam konteks Malaysia,  Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah pemimpin tertinggi yang menjadi ketua negara dan memayungi kedaulatan negara berlandaskan Perlembagaan. Baginda juga berperanan sebagai ketua agama khususnya dalam konteks Wilayah-Wilayah Persekutuan sepertimana dinyatakan dalam Perkara 3(5) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan: Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Justeru menjadi tanggungjawab kepada rakyat untuk menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada baginda sepertimana yang ditegaskan oleh ajaran Islam berkenaan kewajiban mentaati pemerintah selagi tidak menyalahi syarak. Firman Allah dalam surah an-Nisa' ayat 59 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada 'Ulil-Amri' (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu." Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah merupakan raja untuk semua rakyat Malaysia. Justeru sepanjang tempoh pemerintahan, baginda telah pun menzahirkan sepenuh keperihatinan terhadap kebajikan dan kemaslahatan ummah melalui sifat cakna dan empati ketika rakyat berhadapan beberapa situasi getir seperti kemalangan, bencana alam, dan pandemik Covid-19. Baginda juga mempamerkan kebijaksanaan yang amat tinggi sewaktu mendepani kemelut politik yang melanda negara demi mengekalkan kestabilan kerajaan. Pemimpin yang bijaksana melimpahkan rahmat kepada hamba rakyat sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bemaksud: "Jika Allah menghendaki kebaikan suatu kaum, dijadikan pemimpin-pemimpin mereka orang yang bijaksana dan dijadikan ulama-ulama mereka menangani hukum dan peradilan. Allah jadikan harta benda di tangan orang-orang yang dermawan. Namun, jika Allah menghendaki keburukan bagi suatu kaum, Dia menjadikan pemimpin mereka orang yang berakhlak rendah. Dijadikan-Nya orang-orang dungu yang menangani hukum dan peradilan, dan harta berada di tangan orang-orang kikir." (Riwayat ad-Dailami)

Pemimpin juga adalah golongan yang memainkan peranan penting dalam meninggikan syiar Islam kerana sebahagian besar tanggungjawab agama hanya dapat dilaksanakan dengan sempurna melalui pemerintahan yang adil. Justeru dalam sebuah hadis telah dinyatakan bahawa salah satu daripada 7 golongan yang mendapat naungan Allah pada Hari Kiamat kelak termasuklah pemimpin yang adil. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tujuh golongan yang akan diberi naungan oleh Allah SWT di Hari Akhirat kelak, yang tiada naungan melainkan naungannya (antaranya) ialah pemimpin yang adil." (Riwayat al-Bukhari). Gandingan antara pemimpin yang adil dan soleh serta rakyat yang mematuhi tuntutan syariat akan melahirkan negara yang makmur dan barakah sebagaimana firman Allah dalam al-Quran surah al-A'raf ayat 96 yang bermaksud: "Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi."

Sempena tamat penggal pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, seluruh hamba rakyat mendoakan kebaikan berpanjangan kepada baginda berdua serta kerabat Diraja selaras dengan saranan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Mereka (para pemerintah) mendoakan (kebaikan) untuk kamu dan kamu mendoakan (kebaikan) untuk mereka." (Riwayat Muslim)

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 7:01 AM