GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noor Mohamad Shakil Hameed

Alam semesta adalah ciptaan Allah SWT yang indah. Alam sekitar yang kita huni sekarang ini terdiri daripada banyak komponen. Antaranya ialah atmosfera, hidrosfera, pedosfera, litosfera dan biosfera. Manakala di dalam komponen itu pula terdapat pelbagai spesies sama ada yang telah dikenal pasti dan yang masih belum dikenal pasti. Setiap spesies ini saling memerlukan. Bahkan, sesuatu spesies akan terancam tanpa kehadiran yang lain sama ada kerana berkurangan ataupun pupus.

Allah menciptakan alam semesta untuk kegunaan makhluk terutamanya manusia. Malah, manusia adalah makhluk paling dominan dan sebaik-baik ciptaan Allah SWT. Tiada makhluk lain boleh menandingi kelebihan yang dikurniakan kepada manusia. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menciptakan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)." (Surah al-Tin, ayat 4)

Saban tahun dunia akan mengalami perubahan lantaran fenomena alam yang sentiasa berubah khususnya pertukaran musim dan cuaca. Tidak terkecuali juga Malaysia. Pada musim panas biasanya akan berlaku kemarau menyebabkan kekeringan dan memberi kesan kepada tumbuhan, haiwan dan manusia. Permukaan bumi yang kontang menyebabkan tumbuhan tidak dapat hidup subur. Haiwan pula akan menghadapi masalah mendapatkan sumber air minuman dan makanan daripda tumbuhan. Manakala manusia pula pasti akan menghadapi kesulitan apabila tiada sumber air dan sumber makanan terutamanya daripada tumbuhan dan haiwan. Kesemuanya berkait dan saling memerlukan untuk kelestarian hidup.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya? Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka dan sebahagian lagi mereka makan. Dan mereka beroleh pelbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur?" (Surah Yasin, ayat 71-72)

Jelas daripada ayat ini menggambarkan kehidupan makhluk di atas muka bumi ini saling memerlukan. Khususnya, kesemua makhluk di atas muka bumi ini dijadikan Allah untuk manusia. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan Dialah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki daripada limpah kurnia-Nya; dan supaya kamu bersyukur." (Surah al-Nahl, ayat 14)

Namun, seringkali berlaku perkara-perkara yang biasanya dikaitkan dengan fenomena alam. Dalam konteks negara kita, pada musim hujan berlaku fenomena banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan. Contohnya, setiap tahun akan berlaku fenomena hujan lebat yang menyebabkan banjir di beberapa negeri sama ada di Semenanjung ataupun Sabah dan Sarawak. Akibat banjir biasanya akan menyebabkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.

Fenomena alam seperti banjir biasanya hanya difahami daripada perspektif sains yang menganggap ia semata-mata kerana perubahan alam yang berlaku. Ia terjadi disebabkan proses-proses yang berlaku secara saintifik sahaja tanpa melihat kepada asbab lain. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Surah al-Rom, ayat 41)

Berdasarkan kepada ayat di atas, fenomena alam yang berlaku juga mungkin akibat perbuatan manusia. Perkara ini mestilah diambil serius oleh manusia kerana ia jelas disebut di dalam ayat di atas. Apatah lagi, manusia secara normalnya melakukan kesilapan atau dosa. Maka, manusia juga dituntut agar bertaubat daripada dosa agar kembali kepada fitrah sebagaimana disebutkan dalam hadis yang bermaksud: "Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua-dua ibu bapanyalah yang mencorakkanya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi." (Riwayat Bukhari)

Kemusnahan alam yang berlaku sama ada secara naturalnya di atas faktor alami atau tangan manusia, ia tetap takdir daripada Allah SWT. Apabila manusia mula melakukan dosa dan perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah, pasti akan ada balasan daripada-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan- perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu." (Surah al-Syura, ayat 30)

Kempen ke arah melestarikan alam sekitar banyak dijalankan oleh pelbagai pihak terutamanya melalui saluran di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa). Antaranya ialah Hari Alam Sekitar, program Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik (BEE) dan pertandingan bertema alam sekitar melibatkan penyertaan orang ramai. Di samping pelbagai program Jabatan Alam Sekitar (Jas) di peringkat negeri. Kempen itu pastinya bertujuan menjamin alam sekitar agar berada di dalam keadaan terbaik.

Jika manusia memahami konsep asas kejadian alam ciptaan Allah SWT ini dan mengaitkan perbuatan manusia dengan fenomena alam yang berlaku, pastinya kemurnian dan keindahan alam terpelihara.

Tegasnya, manusia haruslah kembali kepada tugas sebenar sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini. Tugas melestarikan alam sekitar ini menjadi tanggungjawab besar
di atas bahu semua manusia. Keadaan pencemaran dan fenomena alam yang berlaku janganlah semata-mata dilihat sebagai fenomena biasa yang berlaku secara saintifik. Malah, ia kemungkinan juga adalah balasan di atas pengabaian kepada tugas menjaga alam sekitar. Akhirnya, kesihatan dan keselamatan manusia juga yang terjejas.


Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 7:01 AM