RASA lapar sebenarnya mengandungi pelbagai faedah dan manfaat.
RASA lapar sebenarnya mengandungi pelbagai faedah dan manfaat.
Dr Mohd Khafidz Soroni

Berpuasa sinonim dengan perbuatan menahan lapar dan dahaga tanpa makan serta minum dalam tempoh masa tertentu. Namun, menurut sunah Nabi SAW, berpuasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi lebih daripada itu orang yang berpuasa perlu menahan hati, pancaindera serta anggota badan daripada segala perbuatan dosa. Pensyariatan berpuasa bagi umat Islam selama sebulan Ramadan mempunyai pelbagai hikmah dan faedah besar di sebaliknya.

Secara spesifik, berpuasa membabitkan latihan perut untuk tidak memproses makanan dalam jangka waktu tersebut. Ini kerana makanan yang masuk ke perut diketahui sering menjadi punca utama kepada pelbagai jenis penyakit. Sebab itu, masyhur di kalangan tabib terdahulu ungkapan berbunyi: 'Perut adalah rumah penyakit dan pencegahan adalah kepala penawarnya.' Malah, Nabi SAW mengibaratkan perut seperti sebuah bekas yang buruk. Al-Miqdam bin Ma'dikarib RA berkata: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: 'Tidaklah seorang anak Adam memenuhi sebuah bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Sedangkan memadai bagi anak Adam itu beberapa suapan yang dapat menegakkan tulang sulbinya. Sekiranya tidak boleh tidak, maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga untuk nafasnya.'" (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hadis hasan)

Jelasnya, perut perlu dikawal selia dengan melaksanakan beberapa langkah pencegahan. Antara langkah pencegahan utama ialah berpuasa menahan diri daripada makan dan minum. Ia pastinya menyebabkan rasa lapar bagi orang yang menjalani amalan berkenaan. Namun, rasa lapar ini sebenarnya mengandungi pelbagai faedah dan manfaat. Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumiddin menyebutkan 10 faedah berlapar.

Pertama, bersih hati, cerdas minda dan celik mata hati kerana kenyang boleh menyebabkan kebebalan, membutakan hati serta membanyakkan wap di otak yang mirip seperti rasa mabuk sehingga mencakupi asas pertimbangan pemikiran.

Kedua, lembut dan jernih hati yang melaluinya hati dapat bersedia untuk menikmati kelazatan menekuni dan terkesan dengan zikir.

Ketiga, rendah hati dan rasa hina serta hilang rasa sombong, seronok dan angkuh yang juga asas kepada sikap melampau serta lalai daripada Allah Taala.

Keempat, tidak akan lupa kepada bala dan azab Allah.

Kelima, dapat mematahkan kesemua syahwat kemaksiatan dan menguasai nafsu yang sentiasa menyuruh kepada keburukan.

Keenam, mengelakkan tidur dan dapat terus berjaga malam.

Ketujuh, mudah berterusan melakukan ibadah.

Kelapan, sihat tubuh badan dan dapat mengelak pelbagai penyakit.

Kesembilan, kurang berbelanja.

Kesepuluh, dapat mengutamakan orang lain serta bersedekah dengan lebihan barang makanan yang ada kepada anak yatim dan orang miskin. Langkah pencegahan lain ialah mengurangkan pengambilan makanan secara berlebihan. Nabi SAW sendiri pernah berdoa: "Ya Allah, jadikanlah rezeki keluarga Muhammad hanya sekadar qut (kadar yang dapat mengisi perut)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Aisyah RA berkata: "Keluarga Muhammad SAW tidak pernah kenyang makan roti barli selama dua hari berturut-turut sehinggalah baginda wafat." Dalam riwayat lain, Aisyah RA berkata: "Keluarga Muhammad SAW sejak tiba di Madinah tidak pernah kenyang daripada makanan gandum selama tiga malam berturut-turut sehinggalah baginda wafat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Namun, pengurangan pengambilan makanan oleh Nabi SAW dan keluarganya ini bukannya disebabkan kemiskinan kerana setelah berhijrah ke Madinah baginda SAW meraih banyak kejayaan demi kejayaan. Tetapi, ia mengandungi makna taqarrub kepada Allah, selain bertujuan menunjukkan contoh dan sebagai suri teladan tertinggi kepada umatnya. Makna ini pernah disuarakan baginda SAW kepada ahli suffah. Fadhalah bin Ubaid RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW apabila bersolat bersama-sama orang ramai, akan tersungkur beberapa orang lelaki dari tempat berdiri mereka semasa bersolat disebabkan terlalu lapar. Mereka itu adalah ahli suffah. Sehinggakan orang Arab Badwi berkata: "Mereka ini orang gila". Apabila Rasulullah SAW telah selesai solat, baginda berpaling menuju kepada mereka lalu berkata: 'Kalaulah kamu sekalian tahu apa yang disediakan bagi kamu di sisi Allah, nescaya kamu akan lebih suka lagi untuk menambahkan keadaan fakir dan amat memerlukan ini.'" (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi, katanya: Hadis hasan sahih)

Apa-apa pun, pengambilan makanan secara sederhana bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, malah dapat mengelakkan kesengsaraan berpanjangan di akhirat kelak. Ibn Umar RA berkata: "Pernah seorang lelaki sendawa di sisi Nabi SAW, lantas baginda bersabda: 'Jauhkanlah daripada kami sendawamu. Sesungguhnya orang yang paling kenyang di dunia adalah orang yang paling lapar pada hari kiamat kelak.'" (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hadis hasan gharib)


Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 6:00 AM