JUADAH kurma bersama mentega yang kini tular dan membanjiri pelbagai platform di media sosial. FOTO BERNAMA
JUADAH kurma bersama mentega yang kini tular dan membanjiri pelbagai platform di media sosial. FOTO BERNAMA
Dr Mohd Khafidz Soroni

Kurma tanaman komersial yang banyak tumbuh di kawasan Timur Tengah. Ia makanan yang diketahui umum mempunyai pelbagai khasiat dan manfaat. Ini yang dinyatakan oleh baginda Nabi SAW sebagai satu keberkatan. Malah, baginda SAW menyarankan agar kurma patut menjadi hidangan yang pertama ketika berbuka puasa. Daripada Salman bin Amir ad-Dhabbi RA daripada Nabi SAW sabdanya: "Apabila seseorang kamu berbuka puasa, maka berbukalah dengan buah kurma kerana ia adalah keberkatan. Sekiranya tidak jumpa, maka berbukalah dengan air kerana ia adalah penyuci." (Riwayat Ahmad, Abu Dawud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah. Hadis sahih)

Mengenai keberkatan pokok kurma, Ibnu Umar RA meriwayatkan: "Ketika kami duduk di sisi Nabi SAW, lalu kami pun dihidangkan dengan umbut pokok kurma, lalu Nabi SAW bersabda: 'Sesungguhnya terdapat sepohon pokok yang mempunyai keberkatan seperti keberkatan seorang Muslim.' Lantas, aku dapat mengagak bahawa pokok yang dimaksudkan itu adalah pokok kurma. Maka, aku pun teringin memberitahu baginda, 'Ia adalah pokok kurma, ya Rasulullah'. Kemudian aku menoleh, lalu aku menyedari bahawa aku adalah yang kesepuluh di antara sepuluh orang yang ada, iaitu akulah yang paling muda di antara mereka. Justeru, aku hanya mendiamkan diri. Lalu Nabi SAW bersabda: "Ia adalah pokok kurma.'" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Terdapat pelbagai jenis dan kualiti kurma yang dikenal pasti. Namun, antara kurma yang terbaik ialah kurma ajwah. Antara manfaatnya, ia dapat menjadi penawar daripada racun. Daripada Abu Hurairah RA katanya: "Rasulullah SAW bersabda: 'Kurma ajwah itu adalah dari syurga dan terdapat padanya penawar daripada racun.'" (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah dan ad-Darimi. Hadis sahih).

Dalam riwayat lain, daripada Saad bin Abi Waqqas RA katanya: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: 'Barangsiapa pada pagi hari makan tujuh biji kurma ajwah, maka pada hari itu dia tidak akan dapat dimudaratkan oleh sebarang racun mahupun sihir.'" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada aspek sunah, terdapat beberapa cara Nabi SAW menikmati kurma, baik kurma masak (rutab) mahupun kurma kering (tamr).

Pertama, makan timun qiththa' (jenis timun Jepun) dengan kurma masak. Daripada Abdullah bin Jaafar RA katanya: "Aku pernah melihat Rasulullah SAW makan timun qiththa' dengan kurma masak.'" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kedua, makan tembikai dengan kurma masak. Aisyah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah makan tembikai dengan kurma masak. (Riwayat at-Tirmizi dan Abu Dawud dengan sanad hasan)

Dalam riwayat Anas RA pula disebut, Nabi SAW makan kurma masak dengan tembikai susu. (Riwayat Ahmad dengan sanad sahih)

Secara realiti, menurut al-Hafiz Ibnu Hajar, tembikai susu lebih banyak tumbuh di bumi Hijaz berbanding tembikai hijau.

Ketiga, makan kurma dengan susu. Abu Khalid al-Bajali, seorang tabiin meriwayatkan: "Aku pernah bertamu kepada seorang lelaki dan beliau sedang makan kurma dengan susu, lalu katanya: 'Marilah dekat kerana sesungguhnya Rasulullah SAW menamakan kedua-duanya sebagai dua bahan terbaik.'" (Riwayat Ahmad dengan sanad hasan)

Keempat, makan mentega susu dengan kurma. Daripada Abdullah dan Atiyyah, dua anak Busr RA berkata: "Rasulullah SAW pernah bertamu kepada kami, lalu kami pun menghidangkan mentega susu (zubd) dan kurma. Baginda memang menggemari mentega susu dan kurma". (Riwayat Abu Dawud dengan sanad sahih)

Selain mentega susu, perkataan 'zubd' dalam hadis juga boleh diterjemahkan sebagai krim susu atau lemak susu. Ini kerana dalam bahasa Arab, 'zubd' juga disebut 'qisydah' dan 'zubdah' yang bermaksud mentega (butter) atau krim (cream).

Dalam semua syarah hadis dinyatakan, 'zubd' ialah suatu bahan makanan yang dihasilkan daripada susu kambing atau lembu melalui proses tertentu.

Ia tidak dicampur dengan bahan lain. Cara pembuatannya yang mudah ini telah pun diketahui manusia sejak ribuan tahun. Tentunya ini berbeza dengan mentega mirip marjerin yang diproses dengan campuran pelbagai bahan lain seperti minyak sayuran, garam, pengemulsi dan sebagainya. Justeru, berhati-hatilah ketika menikmati hidangan tular kurma yang dicampur dengan mentega.

Pastikan ia mentega asli dan bukan mentega yang diproses seperti marjerin.

Sebab itu, terdapat pihak yang berasa bimbang dengan hidangan tular ini, terutama apabila berlaku kekeliruan. Pastinya dikhuatiri ia membawa lebih banyak mudarat berbanding kebaikan kepada tubuh badan.

Pengambilan yang tidak tepat dan berlebihan tentunya boleh menyebabkan aras kolesterol jahat meningkat serta pelbagai risiko kesihatan.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 7:01 AM