GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Mohd Shukri Hanapi

Kemantapan dan keutuhan sesebuah masyarakat bergantung kepada ketinggian budi pekerti. Dengan adanya adab-adab kesopanan dan budi pekerti tinggi menjadikan seseorang manusia itu dihormati serta disegani dalam masyarakat.

Sudah menjadi lumrah manusia yang hidup di muka bumi ini saling memerlukan antara satu sama lain. Justeru, demi kepentingan hidup yang boleh menjamin ketenteraman dan kebahagiaan, maka Islam menggariskan beberapa peraturan dalam hidup bermasyarakat. Antara peraturan hidup yang sepatutnya disemai dalam diri setiap anggota masyarakat ialah menghormati dan berbuat baik kepada jiran tetangga.

Jiran merangkumi mereka yang tinggal di sekeliling kita, tidak kira Islam atau bukan Islam, orang yang taat beribadah atau orang fasik, sahabat atau musuh, warganegara atau bukan warganegara, saudara atau bukan saudara dan yang paling dekat atau jauh.

Imam al-Bayhaqi menyebutkan satu riwayat dalam karyanya al-Sunan al-Kubra bahawa isteri Nabi SAW iaitu Aisyah RA meriwayatkan bahawa beliau pernah bertanya kepada Nabi SAW yang bermaksud "Wahai Rasulullah berapakah had kejiranan? Baginda menjawab: empat puluh buah rumah." (Riwayat al-Bayhaqi, 12611).

Sebagai jiran yang baik seseorang itu seharusnya mengenali siapa yang tinggal di kiri, kanan, belakang, hadapan dan juga sekitar rumahnya. Melalui kaedah ini, seseorang itu akan lebih peka dengan masalah dan situasi yang dihadapi oleh jiran. Kesusahan yang ditanggung oleh jiran mereka hendaklah dibantu semampu mungkin. Pertolongan yang diberikan akan memberikan seribu rahmat kepada mereka yang berada dalam kesusahan.

Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan ini kerana ia adalah salah satu daripada cara hidup Islam. Jadi umat Islam berkewajipan mengekalkan hubungan baik dengan jiran, demi mewujudkan kehidupan setempat yang aman dan harmoni.

Hal ini secara tidak langsung memberi kemudahan dan menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul.

Tuntutan supaya berbuat baik dengan jiran dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh." (Surah al-Nisa' ayat 36)

Perkara ini juga telah dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku mengenai jiran tetangga sehingga aku menyangka bahawa beliau (iaitu jiran) tersebut yang akan mewarisinya (pusaka)." (Riwayat al-Bukhari, 6015)

Usaha mewujudkan suasana kerukunan hidup berjiran pada masa kini menghadapi sedikit cabaran.

Ia berikutan realiti kehidupan kini dikelilingi oleh manusia yang mempunyai pelbagai pandangan, gaya, sikap, akhlak, perangai, bahasa, budaya dan politik yang berbeza-beza. Jenis dan ragam manusia yang bermacam-macam ini ditambah lagi tidak semua mereka memiliki hati yang suci dan luhur.

 Bagaimanapun, perkara ini dapat diatasi jika masing-masing mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling faham memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar-tukar pendapat, mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh hikmah dan kasih-sayang.

Di samping itu, sikap negatif seperti buruk sangka, irihati, dengki, fitnah dan sebagainya perlulah dikikis dan dijauhkan. Sememangnya diakui bahawa usaha memupuk semangat kejiranan perlu dilakukan dengan gigih dan berterusan.

Betapa pentingnya hubungan kejiranan itu, apabila ia dikaitkan dengan iman.

Keimanan seseorang yang tidak menghormati dan kasih jirannya adalah masih belum sempurna. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud: "Tidak sempurna iman seseorang itu, sebelum dia kasihkan jiran tetangganya, sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri." (Riwayat Muslim, 64)

 Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Begitu juga sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya." (Riwayat Muslim, 77)

Jelas di sini bahawa keimanan seseorang itu tidak sempurna jika dia menyakiti jirannya sama ada melalui celaan, fitnah, berburuk sangka dan sifat keji lain. Mencegah daripada menyakiti dan melakukan penganiayaan terhadap jiran adalah antara hak jiran perlu dijaga.

Bagi memantapkan hubungan kejiranan dalam masyarakat, maka kita perlulah melihat kelebihan hidup berjiran. Antaranya ialah saling bantu-membantu ketika berlaku kecemasan atau ditimpa musibah.

Sebagaimana dijelaskan, jiran adalah orang yang tinggal paling hampir dengan rumah kita. Segala perkara yang berlaku ke atas diri kita, ahli keluarga, harta benda dan sebagainya terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh itu, jiran adalah orang yang paling dekat untuk memohon pertolongan ketika ditimpa musibah, seperti ke bakaran, kecurian, kematian dan lain-lain lagi.

Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan ketika kecemasan sementara menunggu bantuan pihak-pihak berwajib atau sanak saudara datang. Hanya hubungan yang kuat antara jiran dapat melahirkan suasana seperti ini. Melindungi jiran daripada sebarang kesusahan atau penganiayaan, adalah antara hak jiran dan budi pekerti tinggi pada pandangan Islam.

Selain itu, hidup berjiran dapat mempertingkatkan lagi pengetahuan dan kenalan antara masyarakat. Hal ini berikutan jiran yang tinggal berhampiran dengan tempat tinggal kita mempunyai latar belakang yang berbeza, seperti pekerjaan, pendidikan, agama, bangsa, keturunan, budaya, adat resam dan sebagainya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat ayat 13)

Mempunyai ramai kenalan rapat, lebih-lebih lagi dalam konteks hidup berjiran banyak memberi manfaat kepada kita. Antaranya mendapat tunjuk ajar jika berjirankan seorang guru atau pensyarah; mendapat nasihat kesihatan jika berjirankan seorang doktor;  membaiki kerosakan rumah dan kenderaan jika berjirankan seorang mekanik dan begitulah seterusnya.

Berikutnya, jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan kawasan setempat daripada ancaman kecurian, pecah rumah, samseng dan sebagainya.

Perkara ini dapat dilakukan sama ada melalui pembentukan rukun tetangga, jawatankuasa keselamatan kawasan atau kempen kesedaran. Budaya bantu membantu seperti inilah yang sangat digalakkan oleh Islam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketakwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan." (Surah al-Ma'idah ayat 2)

Maka dengan ini, jelaslah betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara.

Impian mempunyai jiran yang baik tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi seorang jiran yang baik terlebih dulu. Walau sebesar mana sekalipun arus perubahan melanda, namun semangat kejiranan tetap menjadi keutamaan.

Kekuatan hubungan kejiranan yang sempurna dan harmoni ini sebenarnta mampu mengukuhkan ikatan persaudaraan Islam dan kasih sayang yang kadangkala melebihi daripada keluarga kita sendiri.

Kehidupan yang mendapat keberkatan daripada Allah SWT adalah kehidupan yang sentiasa dikelilingi dengan kebaikan dan kesejahteraan serta jauh daripada sebarang anasir kerosakan dan kebinasaan.


Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 6:00 AM