SESUNGGUHNYA Islam menekankan kepentingan menjaga maruah sesama insan dan hal ini satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap Muslim.
SESUNGGUHNYA Islam menekankan kepentingan menjaga maruah sesama insan dan hal ini satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap Muslim.
Mohd Shahrizal Nasir

AIR muka' boleh difahami sebagai maruah dan harga diri. Setiap orang mesti berusaha untuk menjaga 'air muka' sendiri dan orang lain. Ini kerana Allah SWT mencipta manusia sebagai makhluk yang mulia. Justeru, sebarang bentuk keadaan yang dilihat merendah-rendahkan maruah diri adalah termasuk dalam perkara yang dilarang oleh Islam.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud:  "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)."  (Surah at-Tin, ayat 4)

Setiap Muslim berkewajipan menjaga 'air muka' sendiri. Setiap orang dilarang mendedahkan keaiban diri sendiri di depan orang ramai. Apatah lagi sekiranya diri mendedahkan dosa yang dilakukan oleh diri sendiri untuk tujuan berbangga dengan kemungkaran tersebut. Haram bagi seseorang individu berasa bangga dengan dosa kesalahan yang dilakukan.

Sesungguhnya dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Muslim merupakan punca datangnya kemurkaan Allah SWT terhadap dirinya. Neraka adalah tempat yang disediakan oleh Allah SWT untuk membalas kejahatan yang dilakukan oleh hamba yang tidak kembali bertaubat kepada-Nya. Allah SWT berfirman yang maksudnya:  "Sesungguhnya neraka Jahanam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk."  (Surah al-Furqan, ayat 66)

Perbuatan mendedahkan dosa kesalahan sendiri kepada khalayak ramai dilarang kerana ia menutup pintu rahmat Allah SWT yang sangat luas kepada para hamba-Nya. Allah SWT akan mengampunkan semua kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam selagimana tidak terjebak dalam dosa syirik atau menyekutukan Allah SWT. Sesiapa sahaja boleh kembali kepada Allah SWT sekiranya benar-benar ingin membersihkan diri daripada dosa dan kesalahan.

Justeru, orang yang membuka keaiban diri sendiri hanya akan membuka pintu kemudaratan terhadap dirinya sendiri. Manusia akan terus memandang serong terhadap diri orang yang mendedahkan kesalahan sendiri. Inilah satu perbuatan yang dilihat menjatuhkan 'air muka' sendiri tanpa orang lain berbuat demikian terhadapnya. 

Sedangkan setiap orang mengetahui tentang sifat Allah SWT yang Maha Pengampun. Sesiapa sahaja yang ingin kembali kepada-Nya, maka Allah SWT menghamparkan peluang yang sangat puas kepada golongan yang bertaubat. Allah SWT menjelaskan hal ini menerusi firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni dosa yang selain daripada (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar."  (Surah an-Nisa, ayat 48)

Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah  SWT juga menegaskan keluasan rahmat-Nya dalam memberi keampunan kepada hamba-Nya selama tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu daripada kalangan makhluk-Nya.  "Wahai anak Adam, jika Engkau mendatangi-Ku dengan dosa sepenuh bumi, kemudian Engkau tidak berbuat syirik pada-Ku dengan sesuatu apa pun, maka Aku akan mendatangimu dengan ampunan sepenuh bumi itu pula."  (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Kecanggihan dunia teknologi hari ini membuka ruang yang luas kepada manusia untuk membuka keaiban diri sendiri. Semua orang boleh terjebak dalam perbuatan buruk ini. Tanpa perlu dipaksa, ada orang yang sanggup mendedahkan perbuatan buruknya menerusi media sosial akaun miliknya sendiri. Semua orang dibenarkan untuk menyaksikan perbuatan dirinya yang dilarang oleh Allah SWT. Lebih menyedihkan apabila tiada sesiapa pun yang berani menegur perbuatan tersebut kerana ia ditunjukkan dalam akaun media sosial milik peribadi. Kunci penting untuk menjaga 'air muka' sendiri ialah sifat malu. Tanpa sifat malu dalam diri, manusia sanggup melakukan apa sahaja termasuk menjatuhkan maruah atau 'air muka' sendiri. Ada yang berpuas hati dengan perbuatan-perbuatan keji yang dilakukan tatkala dapat ditonton oleh orang lain. Kepentingan sifat malu pernah dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis baginda yang bermaksud:  "Apabila engkau tidak malu maka kerjakanlah apa yang engkau kehendaki."  (Hadis riwayat al-Bukhari)Umat Islam bukan sahaja dituntut untuk menjaga air muka sendiri, tetapi juga air muka orang lain. Kadang kala kita tidak sedar bahawa perbuatan ataupun pertuturan kita menjadi punca jatuh air muka orang lain. Ada juga yang menjadikan maruah orang lain sebagai bahan untuk ketawa dan bergurau secara berlebihan.Selain itu, perbuatan menyebarkan kisah peribadi orang lain kepada khalayak umum juga merupakan perkara yang dilarang dalam Islam. Lebih-lebih lagi kisah melibatkan rumah tangga orang lain. Keadaan semasa hari ini, orang suka mendengar kisah pergolakan rumah tangga orang lain. Tiada sebarang bentuk faedah pun yang diperoleh daripada perbuatan tersebut selain daripada ingin menyedapkan telinga masing-masing. 

Terdapat juga orang yang menjadikan kisah pergolakan rumah tangga antara suami dan isteri sebagai 'content' untuk dimuatnaik dalam akaun sosial media masing-masing. Ini semua perbuatan yang boleh membuka keaiban peribadi orang lain dan ia mengundang dosa.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis bermaksud:  "Barang siapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya."  (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Tindakan sesetengah pihak yang bertelagah dalam media sosial juga perlu dihentikan. Ada kalanya keadaan ini melibatkan tokoh-tokoh agama dan pengikut masing-masing yang cuba mempertahankan pandangan masing-masing menerusi saluran media sosial. Keadaan ini perlu dibendung kerana kelak ia mencerminkan longgarnya ikatan persaudaraan sesama Muslim yang sepatutnya diselubungi dengan keharmonian, kasih sayang serta saling hormat-menghormati.

Sesungguhnya Islam menekankan kepentingan menjaga maruah sesama insan dan hal ini adalah satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap Muslim. Sebagaimana kita tidak suka sesuatu perkara yang tidak baik berlaku kepada diri sendiri, begitulah juga yang sepatutnya dihindari agar tidak berlaku kepada orang lain.

Rasulullah SAW mengingatkan seluruh umat Islam agar saling mengasihi antara satu sama lain berdasarkan peringatan baginda yang bermaksud:  "Tidak beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri."  (Muttafaq 'alaih)

Sebuah lagi hadis Rasulullah SAW tentang hal yang sama maksudnya:  "Janganlah kalian saling dengki, saling menipu, saling marah dan saling memutuskan hubungan. Dan janganlah kalian menjual sesuatu yang telah dijual kepada orang lain. Jadilah kalian para hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lainnya, (dia) tidak menzaliminya dan tidak mengabaikannya, tidak mendustakannya dan tidak menghinanya." (Hadis riwayat Muslim)

Penulis Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 5:59 AM