PELIHARALAH akhlak  baik lelaki mahupun perempuan kerana percakapan mencerminkan apa yang ada di dalam hati.
PELIHARALAH akhlak baik lelaki mahupun perempuan kerana percakapan mencerminkan apa yang ada di dalam hati.
Addin

Semakin berkembangnya era sains dan teknologi, kehidupan manusia semakin hari semakin berubah dan beraneka ragam jenisnya. Hal ini adalah kerana ada sebahagian manusia yang selama hidupnya dihabiskan untuk kesenangan dunia semata-mata tanpa memikirkan akhirat. Selain itu, ada juga yang menumpukan perhatian untuk beribadah di samping melaksanakan urusan kerja untuk memenuhi keperluan hidup dunia. Justeru, setiap manusia juga sewajibnya memiliki akhlak yang baik agar bermanfaat untuk manusia lain. Tidak ada yang mustahil jika manusia boleh berubah ke arah lebih baik bergantung kepada niat hati dan kesedaran masing-masing.

Akhlak itu sendiri adalah satu perilaku manusia dalam kehidupan sehari-hari yang telah melekat pada diri seseorang Muslim. Peri pentingnya peranan akhlak dalam kehidupan seseorang dapat dilihat dari corak pendidikannya. Kata akhlak berasal dari bahasa Arab jamak dari bentuk mufradatnya khalaqa. Al-khuluq yang bermaksud budi pekerti, perangai, tingkah laku dan tabiat. Sedangkan menurut istilah ialah ilmu pengetahuan yang menjelaskan mengenai baik dan buruk atau benar dan salah, mengatur pergaulan manusia dan menentukan tujuan akhir dari usaha dan pekerjaannya. 

Dalam Surah  al-Baqarah, ayat 83, Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya."

Dalam hadis Riwayat Tirmizi dan Ahmad juga menerangkan tentang akhlak. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Dan berakhlaklah dengan sesama manusia dengan akhlak yang baik."

Sehubungan dengan itu, manusia memang diciptakan oleh Allah SWT dengan sebaik-baik kejadian dan dilengkapi dengan akhlak yang baik. Namun, terkadang ada juga sebahagian daripada manusia yang mempunyai akhlak yang buruk kerana persekitaran hidup yang tidak menyokongnya untuk berbuat kebaikan. 

Ketika seorang Muslim berusaha untuk meneladani kekuatan dan kebesaran Ilahi, maka adalah perlu diingatkan  bahawa manusia adalah makhluk yang terdiri dari jasad dan roh, sehingga keduanya seharusnya saling menyokong antara satu sama lain. Kekuatan dan kebesaran ini sepatutnya diarahkan untuk membantu yang lemah dan tidak boleh digunakan untuk menyokong kejahatan atau kezaliman. 

Mutakhir ini, terdapat sebahagian manusia yang suka mengejek dan memalukan seseorang atau menghina fizikal iaitu bentuk tubuh, warna kulit, penampilan dan kekurangan individu. Terbaharu, kita telah disajikan dengan berita penularan seorang influencer telah mengejek orang kurang upaya (OKU) dan memaki-hamun secara terang-terangan di media sosial. Tidakkah dia sedar bahawa perbuatan menghina fizikal seseorang itu juga membawa kepada penghinaan kepada Allah yang menciptakannya?

Terdapat satu hadis yang mana secara ringkasnya telah diceritakan bahawa Baginda Nabi pernah menegur seorang sahabat yang mentertawakan Abdullah Ibnu Mas'ud yang memiliki betis yang kecil. Baginda Rasulullah bersabda dengan maksud: "Demi Dzat yang jiwaku berada di tangannya, sungguh kedua-dua betis itu lebih berat di atas timbangan daripada Gunung Uhud." (Hadis Riwayat Ahmad)

Hadis ini secara jelas menerangkan perbuatan menghina fizikal seseorang adalah dilarang dan ditegah sama sekali. Walhal sahabat tidak mengeluarkan kata-kata hinaan dan hanya ketawa sahaja. Ia adalah haram dan mereka terus ditegur oleh Rasulullah SAW. 

Ejekan tubuh, penghinaan dan makian adalah satu isu, isu lainnya bahasa yang digunakan adalah tidak enak didengar dan tidak menzahirkan peribadi Muslim yang baik. Peliharalah akhlak kita baik lelaki mahupun perempuan kerana percakapan mencerminkan apa yang ada di dalam hati. Hati yang baik akan menuntun lidahnya menuturkan bicara ke arah kebaikan.

Di dalam al-Quran, Allah SWT  berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri." (Surah Luqman, ayat 18)

Di dalam hadis Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa kamu, tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah memandang kepada hati kamu. Maka sesiapa memiliki hati suci bersih, nescaya Allah amat mencintai orang tersebut. Ketahuilah! Wahai Anak Adam bahawa orang yang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa dalam kalangan kamu." (Hadis riwayat Muslim)

Kritikan itu tidaklah menjadi satu kesalahan tetapi tegurlah seseorang itu dengan penuh hikmah dengan niat untuk perbaiki penampilan serta kebaikan mereka. Nilaian Allah dan nilaian manusia kepada manusia tidak akan pernah sama. Zahir rupa dan bentuk bukan menjadi taraf nilaian Allah kerana yang Allah pandang hanyalah hati dan amalan.

Berakhlak dalam Islam adalah menghiasi diri perilaku dengan sifat-sifat terpuji dan utama, serta menjauhkan diri dari sifat-sifat tercela dan hina. Imam Ibnul Qayyim RH menjelaskan bahawa hakikat adab dalam Islam adalah mengamalkan akhlak yang baik. Oleh kerana itulah adab menjadi refleksi dari kesempurnaan yang ada dalam tabiat seseorang dari perkataan hingga perbuatan. 

Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala) - (Surah al-Tahrim, ayat 6).  Ibnu Abbas RA mentafsirkan ayat di atas dengan katanya: "Semaikan adab Islam dan ajarilah mereka denagn akhlak Islam."

Dalam syariat Islam, terdapat beberapa bahagian adab iaitu adab Kepada Allah yang bermaksud  menegakkan penghambaan diri kepada Allah SWT secara utuh dengan berupaya mencapai kesempurnaan dalam ucapan dan perbuatan serta menjauhi sifat-sifat tercela dan dosa. Adab yang kedua ialah adab kepada Rasulullah SAW dengan mematuhi semua perintah Nabi SAW terutama tunduk kepada As-Sunnah dan meneladani sirah Baginda SAW. Terakhirnya, adab kepada manusia  diwujudkan melalui pergaulan dan muamalah sesama manusia dengan sesuatu yang layak atau sesuai bagi mereka kerana setiap orang memiliki personaliti yang berbeza sesuai dengan kedudukan dan derajat masing-masing.

Bukanlah satu kerugian besar jika kita menjaga terus akhlak baik dengan orang sekeliling kita dan dijauhkan dari sifat-sifat buruk yang boleh mempengaruhi akhlak, semoga kita semua terus mendapat perlindungan dari Allah SWT  dan malaikatnya. Jangan lupa untuk selalu menebarkan kebaikan dan berfikiran positif kerana itu adalah sumber kebahagiaan, ketenangan dan ketenteraman hati yang sebenarnya.

 

Penulis Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 7:00 AM