SEKARANG   masa untuk sama-sama berganding bahu membangunkan negara dan bukannya sibuk berpolitik.
SEKARANG masa untuk sama-sama berganding bahu membangunkan negara dan bukannya sibuk berpolitik.
Mohd Rizal Azman Rifin

Alhamdulillah syukur, segala kemelut pelantikan Perdana Menteri Ke-10 sudah pun selesai. Kalau sebelum ini situasi dalam negara dibayangi ketidaktentuan yang bukan sedikit mengganggu kehidupan masyarakat. Masing-masing memilih topik yang sama iaitu kemelut pelantikan PM.

Kini, yang dikemelutkan sudah dileraikan dengan pertimbangan Yang di-Pertuan Agong dan berkat kerjasama semua pihak. Ada yang gembira sakan kerana pihak disokong memperoleh kemenangan dan tidak kurang juga pihak yang mungkin berasa hiba dengan keputusan tidak berpihak kepada mereka.

Namun, usahlah dipanjangkan lagi kemelut politik kerana kita sebagai rakyat masih perlu meneruskan agenda kehidupan harian dalam keadaan yang aman harmoni. Kepada yang beroleh kejayaan penuhi jiwa dengan rasa bersyukur dan bersedia memikul segala amanah dalam memastikan kelangsungan hidup masyarakat, negara dan agama tetap kekal sejahtera.

Kepada yang kurang bernasib baik, usahlah terlalu beremosi kerana hari ini kalah, tidak mustahil pada hari lain takdir kemenangan akan diperoleh. Perlulah semua pihak kembali menghayati apa yang pernah difirmankan Allah sebagai terkandung dalam Surah ali-Imran ayat 26 yang bermaksud: "Katakanlah: 'Wahai Allah, pemilik sebenar kerajaan, Engkau memberi kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau mencabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki. Engkau memuliakan siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau menghinakan siapa yang Engkau kehendaki. Di tangan-Mu semua kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu.'"

Jadikanlah ayat Allah ini sebagai ubat penyejuk rasa kecewa sekali gus untuk bersedia menerima apa sahaja takdir Allah dengan berlapang dada dan bersikap rasional dengan memikirkan keutamaan kepada bangsa, negara dan agama.

Khalifah ar-Rasyidin kedua, Saidina Umar al-Khattab ada memberikan tip yang mungkin mampu meredakan emosi hati tatkala kita tidak memperoleh sesuatu yang dihajati. Kata beliau: "Hatiku sentiasa tenang kerana mengetahui apa yang melepasiku tidak akan menjadi takdirku. Dan apa yang menjadi takdirku, tidak akan melepasi diriku."

Hulurkan tangan untuk bermaaf-maafan antara satu sama lain kerana selama musim berkempen dan semasa menanti pelantikan PM pelbagai sifat buruk telah dijelmakan. Mungkin dalam emosi yang tidak bersandarkan rasional membuatkan ada pihak mengeluarkan bicara tutur yang menyinggung perasaan orang lain.

Pemimpin baik dalam peringkat apa sekalipun seharusnya memberikan teladan terlebih dahulu untuk menjadi insan pemaaf atas sebarang kekhilafan yang lalu. Bak kata Imam al-Ghazali: "Memberi contoh dengan perbuatan adalah lebih baik daripada memberi contoh dengan perkataan."

Dalam Surah asy-Sura ayat 40 Allah ada memberikan panduan hidup yang lebih harmoni dan menjadi hamba-Nya yang bersifat pemaaf sebagaimana maksud ayat-Nya: "Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang setimpal, tetapi barangsiapa memaafkan dan berbuat baik (kepada orang yang berbuat jahat), maka pahalanya daripada Allah. Sungguh, Dia tidak menyukai orang zalim."

Biarpun terselit jua hati yang luka, namun bermaafan tidak seharusnya dilupa. Biarpun mungkin ada yang terhiris rasa, namun ikatan ukhuwah perlu terus disimpul. Kitakan satu akidah. Kitakan satu kiblat. Jadi, buat apa berpaling muka tanpa salam dan bermasam muka?

Oleh yang demikian mengapa kita perlu memilih jalan yang salah dengan berterusan bersengketa sesama Muslim sedangkan baginda Rasulullah SAW sendiri amat mengharapkan agar kita tetap kukuh menguatkan ukhuwah. Buangkanlah segala ego hati sebaliknya pilihlah jalan hidup yang diredai Ilahi. Ingatlah sentiasa harapan baginda SAW yang begitu impikan kita menjadi umat bersatu hati dan berdiri kukuh bak sebuah bangunan.

Baginda mengingatkan kita dengan ingatan penuh tulus: 'Seorang Mukmin terhadap Mukmin yang lain adalah seperti satu bangunan dengan bahagian yang satu menguatkan bahagian yang lain.' Lalu kemudiannya baginda menyusupkan antara jari- jemarinya sebagai lambang eratnya hubungan sesama Muslim. (Riwayat Imam Bukhari)

Begitulah bersemangatnya Nabi kita dalam aspek mewujudkan persaudaraan Muslim yang teguh dan saling intim sesama sendiri. Kita seharusnya menganggap setiap langkah dan usaha untuk membina sebuah masyarakat yang erat perpaduan sebagai penyambung tugas Nabi. Binalah kembali situasi kehidupan yang segala emosi benci diketepi, bererat sepadu diutamakan.

Baginda SAW juga ada meninggalkan pesannya: "Janganlah kamu saling memutuskan hubungan silaturahim, janganlah kamu saling membelakangi, janganlah kamu saling membenci dan janganlah kamu saling hasad dengki, (sebaliknya) jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memboikot saudaranya (yang Muslim) melebihi tiga hari." (Hadis sahih ini dicatat oleh ramai perawi berwibawa seperti Imam Bukhari, Imam Malik, Abu Daud, at-Tirmizi dan an-Nasai)

Justeru, perbuatan yang Nabi sebut 'jangan' itu usahlah kita lakukan. Seandainya mungkin sebelum ada yang kita terlanjur lakukan, maka insaflah untuk kembali menyahut seruan Nabi kita agar setiap babak kehidupan duniawi kita berada di landasan yang diredai Allah.

Sebenarnya kita amat bertuah kerana Nabi kita telah pun memberikan pakej panduan hidup yang cukup sempurna dengan menyenaraikan apa sahaja yang digalakkan untuk kita perbuatkan dan apa yang tidak wajar dilakukan. Hal itu termasuk dalam rangka untuk membina masyarakat dan negara yang aman serta sejahtera harmoni.

Kita jangan terlalu taasub 'bermain politik' sehingga sanggup meninggalkan amanat dan seruan Nabi SAW. Nabi kita tentu kecewa dengan apa yang selama ini telah dan sedang berlaku dalam masyarakat umatnya yang tidak pernah bernoktah berbalah. Sedangkan baginda berpesan: "Kamu melihat orang yang beriman dalam berkasih sayang, hubungan cinta mereka dan saling berbuat baik sesama mereka adalah seperti satu tubuh. Apabila ada bahagian tubuh yang berasa sakit, maka bahagian tubuh yang lain ikut tidak boleh tidur dan merasa demam." (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Jadi, mengapakah kita sendiri sanggup menggagalkan misi Nabi dalam merencanakan kehidupan umat yang bersatu padu? Tergamakkah kita berterusan bersengketa tanpa sudah, sedang perilaku buruk amat ditegah Allah? Jadi, hulurkan tangan, bermaafanlah.

 


Penulis Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 7:00 AM