SEMOGA rahmat Allah sentiasa menaungi kehidupan kita dengan berasbabkan utuhnya hubungan persaudaraan sesama kita.
SEMOGA rahmat Allah sentiasa menaungi kehidupan kita dengan berasbabkan utuhnya hubungan persaudaraan sesama kita.
Mohd Rizal Azman Rifin

BERI pentingnya ikatan ukhuwah sesama ummah jelas terpapar melalui pelbagai pesanan yang pernah disampaikan oleh Nabi SAW ini. Antaranya, pesanan ini sebagaimana sabda Baginda SAW, "Tidak (sempurna) iman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya (sesama Muslim) sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Nasa'i)

Berdasarkan hadis ini fahamlah kita bahawa membina perpaduan sesama Muslim menjadi sebahagian daripada kesempurnaan iman. Tetapi cubalah kita lihat senario semasa yang bukan sedikit berlakunya perpecahan sesama Muslim yang hanya bersebabkan perbezaan pendapat dan aliran fahaman politik. Sepatutnya keadaan itu tidak wujud.

Kejayaan Rasulullah SAW membina ketamadunan Islam dahulu banyak bertolak kepada terbina ikatan padu ummah dan keadaan mereka saling bertolong-tolongan dalam perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan dan mengikut kehendak agama. Lantas muncullah era kegemilangan umat Islam sepanjang zaman Nabi SAW, khulafa ar-Rasyidin, Kerajaan Bani Umaiyah, Abasiyah dan kemudiannya Kerajaan Turki Uthmaniyah. Akan tetapi selepas kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyah masyarakat Islam semakin parah dilanda perpecahan sesama sendiri sehingga dengan mudah diperkotak-katikkan oleh musuh.

Sebenarnya Rasulullah SAW telah meninggalkan pedoman dan bimbingan yang lengkap bagaimana untuk hidup dalam keadaan yang diredai Allah. Namun asas-asas yang diperingatkan Baginda SAW semakin dilupai dan akibatnya umat Islam semakin bergolak dengan krisis nilai dan goyah jati diri sebagai seorang mukmin yang sebenar.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah SAW ada mengatakan, "Hak seorang Muslim kepada Muslim lainnya ada enam perkara; Apabila engkau bertemu dengannya ucapkanlah salam. Apabila ia mengundang, maka kabulkanlah. Apabila ia minta nasihat kepadamu, hendaklah kamu nasihatinya. Apabila ia bersin, lalu mengucapkan Alhamdulillah, maka hendaklah kamu sambut dengan Yarhamukalah. Apabila ia sakit, hendaklah kamu ziarah dan membantunya. Apabila ia meninggal dunia, hendaklah kamu hantarkan jenazahnya hingga ke kubur." Hadis ini menggariskan akan hak-hak individu dalam Islam yang sewajibnya dilaksanakan oleh setiap mukmin.

Sungguh indah pesanan Nabi SAW itu yang jika kita perhalusi dengan mendalam akan terpancar hikmah murni dan mengupayakan umat Islam membentuk kehidupan yang harmoni dan dinamik.

Baiklah, kita tinjau pesanan Nabi SAW yang pertama berdasarkan hadis tersebut, iaitu menyebarkan salam sesama mukmin. Sebagaimana yang kita ketahui ucapan salam merupakan suatu doa kesejahteraan dan keselamatan yang dilafazkan ketika seorang Muslim bertemu dengan Muslim yang lain.

Menyebarkan salam menjadi sunnah Rasulullah SAW dengan tujuan membina ikatan ukhuwah dalam kalangan umat Islam. Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud, "Apakah kamu mahu aku tunjukkan sesuatu apabila kamu lakukan kamu bersatu padu dan berkasih sayang, iaitu sebarkan ucapan assalamu'alaikum di antara kamu." (Hadis riwayat Muslim) Nabi SAW juga melalui satu lagi hadisnya ada berpesan, "Wahai manusia, sebarkanlah salam (ucapan assalamu'alaikum), berikan makanan, hubungkan silaturahim, kamu akan masuk syurga dengan selamatnya." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan At-Tirmidzi).

Jadi, berdasarkan dua hadis Rasulullah SAW itu jelaslah kepada kita bahawa asas kepada kemantapan ukhuwah ummah ialah melalui pengamalan budaya salam. Tokoh Sufi tersohor, Ibrahim bin Adham ada mengatakan, "Ucapan salam yang ikhlas akan menghindarkan kita daripada kejahatan dan musibah sebagaimana ucapan fitnah akan menimbulkan dosa dan mala petaka." Justeru, kita seharusnya menebalkan amalan memberi salam sesama umat ini dan janganlah terhad kepada yang kita kenali sahaja. Sebarkan seluasnya dengan ikhlas kerana Allah demi membina satu kesatuan ummah yang padu.

Pesanan kedua Rasulullah SAW ialah menerima undangan orang mukmin seperti kenduri-kendara yang dilakukan. Terima dan hadirkan diri dengan penampilan wajah berseri sebagai meraikan undangan. Indah sungguh pesanan Nabi SAW ini dalam merangka satu jalur kehidupan bersosial yang harmoni. Dari hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a Rasulullah SAW ada mengatakan, "Apabila salah seorang dari kamu diundang kepada walimah, maka ia hendaklah mendatanginya." Inilah pesanan Nabi SAW kepada kita dengan hikmah untuk mencorakkan budaya murni dalam kalangan umat Islam.

Kemudian dalam pesanan ketiga Nabi SAW seterusnya menyarankan kepada kita agar bersedia untuk memberi nasihat kepada mukmin yang lain apabila diminta berbuat demikian. Sikap saling nasihat-menasihati jika dibudayakan secara ikhlas dan jujur sudah pasti dapat menyemai rasa keakraban yang jitu dan memautkan ikatan ukhwah secara padu dalam kalangan umat Islam.

Di sini bermaksud menasihati dalam hal-hal yang bermanfaat dan mengikut kehendak agama. Mungkin ada sahabat-sahabat kita yang sedang berhadapan dengan masalah tertentu, jadi dengan nasihat yang diberikan itu mungkin sedikit sebanyak dapat melegakan perasaannya dan seterusnya memberikan kesegaran berfikir dan bertindak.

Seterusnya kita diperintahkan apabila seseorang mukmin yang lain bersin, maka jawablah bersinnya itu dengan menyebut 'Yarhamukallah'. Ini sesuai dengan satu pesanan Nabi SAW yang hadis yang lain bermaksud, "Sesungguhnya Allah menyukai bersin daan tidak menyukai menguap. Apabila salah seorang kamu bersin dan dia memuji Allah tentu keharusan bagi setiap Muslim yang mendengarnya untuk mengucapkan 'Yarkamukallah' (Hadis riwayat Bukhari) Begitulah indahnya pesanan Nabi SAW kepada umatnya demi memelihara keharmanonian hubungan sesama ummah.

Perkara kelima yang diwasiatkan ialah menziarahi orang mukmin yang sakit. Sebenarnya amalan menziarahi orang sakit adalah ibadah yang sangat dituntut dalam Islam dan sesiapa yang berbuat demikian dijamin ganjaran pahala yang besar daripada Allah.

Nabi SAW ada mengatakan, "Barang siapa mengunjungi orang sakit atau menziarahi saudaranya yang seagama, maka memanggil akan dia oleh malaikat: Baik engkau dan baik perjalanan engkau dan sesungguhnya engkau telah menempati di dalam syurga suatu tempat yang baik." (Hadis riwayat At-Tirmidzi)

Manakala perkara keenam yang dipesankan kepada kita ialah mengurus dan menghantarkan jenazah saudara kita seagama yang meninggal dunia ke kubur. Ini juga amalan yang menjadi sunah Nabi SAW dan kita semua disarankan mengambil berat urusan jenazah saudara seagama.

Semoga 'payung rahmat' Allah sentiasa menaungi kehidupan kita dengan berasbabkan utuhnya hubungan persaudaraan. Biar apapun agenda dan  acara kehidupan yang kita lakukan, ikatan persaudaraan usah sesekali dicabut dan tercabut. 

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 5:59 AM