PEMIMPIN yang adil akan takut kepada Allah, mereka juga takut dengan kuasa dan amanah yang diberikan kerana tanggungjawab yang berat ini akan menyusahkan mereka di padang mahsyar.
PEMIMPIN yang adil akan takut kepada Allah, mereka juga takut dengan kuasa dan amanah yang diberikan kerana tanggungjawab yang berat ini akan menyusahkan mereka di padang mahsyar.
Fahimi Zakaria

 

Setiap Muslim wajib memahami keutamaan dalam pemilihan seorang pemimpin untuk menjaga agama, negara dan bangsa agar pemimpin itu mampu memberi manfaat kepada semua makhluk sama ada rakyat Muslim atau bukan Muslim, bahkan haiwan, tumbuhan dan seluruh alam mendapat rahmat kebaikan seorang pemimpin. Rasulullah SAW merupakan  qudwah hasanah  (contoh terbaik) dalam segenap aspek termasuklah dalam konteks kepemimpinan dan kenegaraan sehingga baginda berjaya meletakkan Islam sebagai  dustur  (perlembagaan) yang tertinggi khususnya pembentukan Madinah al-Munawwarah melalui penyatuan rakyat pelbagai agama, kabilah dan warna kulit. Keadilan yang ditonjolkan oleh baginda dengan panduan wahyu daripada Allah SWT akhirnya membuka lorong terusan kebanjiran manusia bersama agama Islam yang mulia.

Allah SWT mewajibkan kita memberi penyaksian (memilih) pemimpin yang adil seperti dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud: "Hendaklah kamu memberi penyaksian kepada mereka yang adil dan berpeganglah penyaksian itu (keputusan) kerana Allah semata-mata" - (Surah al-Talaq: 2). Menurut Ibnu al-Qayyim bahawa keadilan ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya dan ia berlawanan dengan kesamarataan. Keadilan bukan diukur dengan persamaan jumlah dan bilangan, tetapi ia mestilah selari dengan ketetapan syarak sama ada ia satu bentuk suruhan mahupun larangan. Jika Islam menyuruh umatnya memberikan hak-hak kepada rakyat seperti hak pendidikan, kesihatan dan keselesaan hidup, maka pemimpin yang adil wajib sama melaksanakannya seperti suruhan agama. Jika Islam mengharamkan rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah, maka pemimpin yang adil wajib sama mengharamkannya selari dengan larangan agama.  

Pemimpin yang adil ialah golongan pertama daripada tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di padang mahsyar (Riwayat al-Bukhari). Mereka sentiasa berusaha melaksanakan syariat agama, memberi sebanyak mungkin manfaat di samping menghapuskan kerosakan semaksimum yang boleh. Pemimpin seperti ini sentiasa membantu rakyat yang lemah dan susah tanpa mengharapkan sebarang bentuk balasan kerana mereka hanya mengharapkan balasan yang setimpal daripada Allah. Berkata Syeikh Zakariyya al-Ansari bahawa  al-Imam al-Adil dipilih sebagai golongan pertama disebabkan tugasnya yang berhubung kait dengan Allah dan makhluk. Makhluk bukan hanya manusia sahaja, tetapi ia merangkumi haiwan, tumbuhan dan ciptaan Allah yang tidak bernyawa kerana semuanya akan menuntut keadilan kepada pemimpin itu jika dia gagal memimpin dengan adil.

Hanya beberapa hari lagi rakyat Malaysia akan membuang kertas undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, rakyat khususnya pengundi Muslim hendaklah meyakini bahawa urusan memilih pemimpin adalah sebuah amanah dengan agama yang akan ditanya oleh Allah kelak. Hal ini kerana al-Quran menyatakan bahawa pada Hari Kiamat semua manusia akan diseru dengan nama pemimpin mereka (Surah al-Isra': 71). Menurut Imam al-Tabari bahawa perkataan  imamihim  pada ayat ini merujuk kepada pemimpin mereka ketika di dunia (Tafsir al-Tabari), oleh itu hubungan pemimpin dengan rakyat merupakan boleh menjadi satu ibadah atau maksiat di sisi agama bergantung kepada bagaimana rakyat yang memilih dan pemimpin yang dipilih.

Kerosakan yang berlaku hari ini seperti fahaman sesat, budaya hedonisme, aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), pembunuhan, kerakusan pemimpin dan salah faham agama antaranya berpunca daripada kelemahan kuasa Islam dan kekurangan pemimpin yang adil. Justeru, musuh Islam sentiasa mencari peluang untuk merosakkan umat Islam secara sedikit demi sedikit sehingga keadilan tiada tempat di dalam negara Islam. Firman Allah yang bermaksud: "Berlakulah adil! Kerana keadilan itu lebih hampir dengan ketakwaan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Dia maha mengetahui apa yang kamu kerjakan" - (Surah al-Maidah: 8). Pemimpin yang adil akan takut kepada Allah, mereka juga takut dengan kuasa dan amanah yang diberikan kerana tanggungjawab yang berat ini akan menyusahkan mereka di padang mahsyar nanti sekiranya mereka tidak berlaku adil.

Sebagai seorang Muslim dan rakyat yang beragama Islam, kita wajib mengutamakan pemimpin yang adil kerana hanya dengan keadilan semua makhluk akan merasai keselamatan dan mendapat hak-hak sebagai manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Rakyat bukan Islam juga akan mendapat keadilan sebagai rakyat yang hidup di bawah kepemimpinan seorang pemimpin yang adil. Pemimpin yang adil akan sentiasa dikasihi oleh Allah seperti jaminan-Nya dalam al-Quran iaitu negeri yang baik dan mendapat keampunan Tuhan (Surah Saba': 15). Semoga Allah mengurniakan kepada kita pemimpin yang adil dan mereka dapat membawa kita semua bersama-sama ke syurga-Nya yang kekal abadi. Insya-Allah.   

Penulis Pensyarah Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 6:01 AM