FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Ilmu lambang kemegahan dan kejayaan di dunia dan akhirat. Bagi sesebuah negara maju pastinya mempunyai tahap keilmuan warganya yang tinggi. Setiap warganegara menggalas tanggungjawab besar untuk membawa negara ke mercu kejayaan dalam semua bidang kehidupan.

Minggu ini kita menyaksikan kegembiraan dan kebanggaan ibu bapa apabila berjaya mendidik anak-anak hingga dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading. Pelbagai kesukaran dan halangan diharungi demi memastikan anak-anak dapat melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi. Banyak juga laporan di media berkaitan pengorbanan ibu bapa yang kurang mampu dan terpaksa berjalan dari stesen bas ke universiti untuk mendaftarkan anak. Malah, ada ibu bapa yang tidak dapat menghantar anak ke universiti kerana kekurangan dihadapi.

Dalam konteks Islam, menuntut ilmu menjadi kewajipan Muslim. Bukan sahaja ilmu berkaitan ilmu syarak (ulum syar'iyyah) sahaja yang dititik-beratkan, bahkan ilmu keduniaan juga wajib dituntut. Bagi umat Islam, Rasulullah SAW menjadi inspirasi menuntut ilmu. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 143)

Ilmu sangat penting supaya manusia dapat mengetahui hakikat sesuatu perkara. Ilmu pelbagai cabang mestilah dikuasai dengan sebaiknya supaya dapat membantu dalam pembangunan dan kemajuan negara. Pusat pengajian tinggi, khususnya universiti menyediakan peluang kepada pelajar menyambung pelajaran dalam bidang penting seperti sains dan teknologi.

Peluang yang disediakan kerajaan kepada rakyat untuk mendapat pendidikan yang terbaik mesti digunakan sebaiknya untuk menambahkan ilmu dan pengetahuan. Penguasaan ilmu terkini menjadi antara keperluan asas kehidupan. Setiap hari sentiasa ada kajian dan penemuan baharu dalam pelbagai bidang. Bahkan, masih banyak ruang dan bidang kajian yang mendapat perhatian para penyelidik di negara kita. Semuanya memerlukan pembabitan pelajar di IPT untuk menyumbang kepakaran.

Dalam Islam, menuntut ilmu bukan semata-mata kerana keperluan dunia dan akhirat. Ia kewajipan ke atas setiap Muslim. Oleh itu, tugas menuntut ilmu dan menguasai ilmu terpenting menjadi tanggungjawab utama orang Islam. Bermakna, umat Islam pada dasarnya adalah umat terbaik. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Menuntut ilmu satu kewajipan ke atas setiap Muslim." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Oleh itu, sebagai seorang yang terpilih untuk menyambung pelajaran di universiti dan dianugerahkan Allah SWT kelebihan dari segi daya intelektual mesti mengambil peranan penting untuk bersungguh-sungguh belajar dan menguasai bidang masing-masing. Guna peluang keemasan ini untuk menjadi yang terbaik. Apatah lagi dengan segala kemudahan dan bantuan kerajaan untuk belajar dalam suasana kondusif.

Memenuhi tanggungjawab menuntut ilmu adalah suatu kelebihan kepada seorang Muslim. Bahkan, akan dinaikkan lagi darjat mereka di sisi Allah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan." (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Dengan ilmu manusia akan mencapai kemuliaan dalam kehidupannya. Dengan ilmu juga Islam akan mendapat kekuatan dan mencipta keagungan. Orang yang berilmu dimuliakan Allah SWT. Bahkan, disebut pada kedudukan ketiga dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbir (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah Ali-Imran, ayat 18)

Tegasnya, menuntut ilmu adalah tugas yang sangat penting. Ilmu wajib dituntut. Sama ada ilmu agama mahupun ilmu dunia. Manakala, generasi muda adalah kumpulan paling penting kerana mereka pelapis kepemimpinan. Mereka juga kumpulan paling berpotensi menguasai ilmu dengan sebaiknya. Sebagaimana kata-kata Imam al-Shafei yang bermaksud: "Barang siapa yang menginginkan dunia hendaklah dengan ilmu, barang siapa yang menginginkan akhirat, maka hendaklah dengan ilmu, barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, maka hendaklah dengan ilmu." (Manaqib al-Shafie: (2/139)

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semua (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada setiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah- mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah)." (Surah al-Taubah, ayat 123)

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 6:30 AM