ILMU yang bermanfaat untuk kehidupan manusia semuanya berfaedah dan dituntut agar dipelajari.
ILMU yang bermanfaat untuk kehidupan manusia semuanya berfaedah dan dituntut agar dipelajari.
Oleh Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Hari ini kita diperlihatkan ramainya cerdik pandai yang dilahirkan. Adakah manusia sudah tiba kepada saat ilmu berkembang sepenuhnya?

Tidak dinafikan, hari ini ramai pelajar dilahirkan sama ada melalui institusi seperti sekolah, universiti atau institusi pondok sendiri yang dilihat sebagai satu manifestasi ke arah perkembangan ilmu yang positif.

Hasilnya dapat dilihat pada hari ini apabila pelajar-pelajar dilihat cepat matang dalam sesuatu perkara sehingga mampu membezakan perkara yang perlu diutamakan dan dikemudiankan.

Jika persoalannya adalah ilmu sudah berkembang sepenuhnya, jawapan yang sesuai mungkin boleh dikatakan ilmu terbabit sebagai pelengkap sahaja. Ini kerana masih banyak disiplin ilmu yang belum dikuasai. Buktinya, banyak isu yang sepatutnya dijawab dalam konteks ilmiah tidak dapat dihuraikan dengan baik disebabkan ilmu yang diperoleh adalah sekadar maklumat umum sahaja dan bukan mendalam sebagaimana yang terdapat pada dada-dada ulama terdahulu.

Semakin ramai alim ulama meninggal dunia mutakhir ini, adalah ia memberi impak kepada perkembangan ilmu semasa?

Kematian ulama adalah salah satu tanda daripada tanda hampirnya kiamat. Pada hari ini, seluruh dunia memperkatakan mengenai kemunculan ramai ilmuan dan cerdik pandai dalam pelbagai disiplin ilmu. Namun, baginda Nabi SAW mengingatkan semua manusia bahawa pada satu ketika nanti ilmu akan diangkat oleh Allah SWT sebagai tanda hampirnya kiamat.

Nabi SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu sekali gus daripada hamba-Nya, tetapi Dia mencabut ilmu itu dengan mematikan para ulama, sehingga tiada lagi ulama yang tinggal. Pada saat itu, manusia akan mengangkat pemimpin daripada kalangan orang yang bodoh. Dan ketika pemimpin itu ditanya sesuatu, maka akan keluar daripadanya fatwa yang tidak berasaskan ilmu sehingga mereka tersesat dan menyesatkan." (Hadis Riwayat al-Bukhari) 

Berdasarkan hadis itu, terdapat satu bentuk gambaran yang besar mengenai situasi ilmu yang sedang pesat berkembang pada hari ini. Menghampiri kepada tibanya hari kiamat, ilmu berkaitan dengan agama dan syariah akan diangkat oleh Allah SWT melalui guru, pendidik dan ulama yang dimatikan bersama ilmu yang ada padanya.

Kenapa ilmu daripada ulama tidak sampai kepada generasi akan datang?

Ilmu merupakan suatu maklumat dan pengetahuan yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi yang seterusnya. Namun, sekiranya pewaris keilmuan itu belum bersedia menerima ilmu disebabkan kelekaan dengan perkara lain, maka ilmu itu hanya akan terhenti pada generasi sebelum itu sahaja. 

Dengan terhentinya keilmuan dan matinya pendukung ilmu itu, manusia akan mula tersasar dan menghampiri kesesatan.

Dalam hadis yang lain, Baginda Nabi SAW mengisyaratkan: "Di antara tanda-tanda akan datangnya kiamat ialah dihilangkan ilmu (mengenai agama) dan tetapkan kejahilan." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Hari ini, manusia berlumba-lumba untuk menuntut ilmu sama ada melalui sekolah, pondok, universiti dan sebagainya. Namun, tujuan menuntut ilmu itu perlu diperjelaskan kerana ramai antara mereka yang berjaya dalam bidang pengajian masing-masing, tetapi tidak dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk diperturunkan kepada generasi akan datang.

Apakah yang dimaksudkan dengan ilmu yang diangkat?

Yusuf al-Wabil dalam kitab tanda-tanda kiamat menjelaskan dimaksudkan dengan ilmu yang diangkat ini adalah membabitkan sumber daripada al-Quran dan as-Sunah. Ilmu ini adalah warisan nabi yang disampaikan oleh kalangan ulama sehingga sampai kepada kita hari ini. 

Dengan lenyapnya ulama, pasti ilmu akan turut hilang sedikit demi sedikit sehingga sunah mati, bidaah muncul dan kejahilan berleluasa.

Dalam riwayat lain, baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: "Di antara tanda-tanda Hari Kiamat adalah ilmu yang dipelajari daripada orang-orang kecil." (Hadis Riwayat Ibnu Mubarak) 

Berdasarkan hadis ini, lafaz al-Asaghir (kecil) membawa maksud orang yang rendah ilmu pengetahuan atau orang bodoh. Gambaran hadis ini jelas menunjukkan manusia akan mula mencari ilmu dengan mereka yang bukan ahlinya. 

Satu sebab utama adalah guru dan ulama sudah dimatikan Allah SWT dan generasi selepasnya tidak memanfaatkan ilmu yang terdapat padanya. 

Pada masa sama, manusia pada ketika itu lebih gemar mencari hiburan dalam ilmu berbanding diskusi agama yang lebih bermanfaat.

Ilmu yang disampaikan adalah terhad namun jenaka dan cerita yang tiada asas yang kukuh diperdengarkan sehingga manusia yang mendengar menjadikan hujah berkenaan sebagai kalam utama yang dituturkan oleh ulama. 

Lebih teruk lagi, ada cerita palsu disebarkan dan dinyatakan sebagai hadis dan perkataan daripada baginda Nabi SAW. Penyebaran ilmu ini tidak setakat ilmu yang tidak bermanfaat bahkan menjangkau hadis palsu yang dijadikan hujah utama golongan bawahan dalam penyampaian ilmu mereka.

Apakah kepentingan ilmu kepada manusia khususnya umat Islam?

Islam amat menekankan aspek pendidikan sehingga meletakkan golongan berilmu pada tempat yang amat istimewa.  Golongan penuntut ilmu dikurniakan pelbagai keistimewaan termasuk dimudahkan baginya jalan menuju syurga.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  "Sesiapa menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan menuju ke syurga." (Hadis riwayat Abu Daud)

Ilmu yang bermanfaat untuk kehidupan manusia semuanya berfaedah dan dituntut supaya dipelajari.  Islam tidak pernah sama sekali mengetepikan kepentingan mempelajari ilmu yang dapat membantu manusia mencapai kehidupan yang baik di dunia.

Ilmu perlu dituntut dan dipelajari walaupun seseorang itu berjaya dalam sesuatu disiplin ilmu. Ulama terdahulu tidak berhenti mempelajari dan mengkaji sesuatu sehingga mereka meninggal dunia. Hasilnya, banyak karya yang bermanfaat yang ditinggalkan sebagai harta wakaf ilmu yang sangat bermanfaat untuk generasi akan datang.

Justeru, tuntut ilmu selagi masih ada ulama yang berbaki umur mereka atas dunia ini. Jangan mudah berpuas hati dengan ilmu yang dipelajari, teruskan mengkaji dengan membuat penelitian dalam sesuatu disiplin dengan teliti. Jangan berkata-kata sekiranya kita hanya memahami asas ilmu semata-mata, jangan menjawab sekiranya kita tidak betul-betul mengetahui dan memahami sesuatu ilmu terbabit.

Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 8:06 AM