PERBANYAKKAN amal soleh sepanjang Rejab sebelum tibanya Ramadan.
PERBANYAKKAN amal soleh sepanjang Rejab sebelum tibanya Ramadan.
Dr Azri Bhari

Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah 12 bulan (yang ditetapkan) dalam kitab Allah semasa menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa"

Surah at-Taubah: 30

asyarakat Islam kini sedang berada dalam bulan Rejab iaitu satu daripada bulan haram (al-Asyhur al-Hurum) dalam Islam. Turutan susunan adalah bulan ketujuh dalam takwim atau kalendar Hijrah. Keistimewaan bulan ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan disusuli penjelasan yang lebih terperinci menerusi hadis Nabi SAW.

Firman Allah SWT yang bermaksud "Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah 12 bulan (yang ditetapkan) dalam kitab Allah semasa menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa." Surah at-Taubah: 36

Bulan haram ini terdiri daripada empat bulan dalam Islam iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Perkara ini dijelaskan di dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: "Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada 12 bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban." Riwayat al-Bukhari, Hadith 4054

Rejab dari sudut bahasa bermaksud membesarkan atau mengagungkan. Selain itu, ia dinamakan Rejab kerana mereka mengagungkan bulan ini ketika zaman jahiliah apabila meninggalkan peperangan, pembunuhan dan pertumpahan darah.

Menurut Ibn Kathir, Rejab adalah bulan yang haram kerana pada bulan ini diharamkan berperang dan juga disebut bulan suci kerana Allah SWT mengharamkan melakukan kezaliman. Setiap kezaliman yang dilakukan dalam bulan ini dosanya adalah lebih besar berbanding pada bulan lain. Begitu juga sebaliknya, amal soleh yang dilakukan adalah lebih besar pahalanya berbanding bulan lain. Tafsir Ibn Kathir, 4:130

Perlu difahami dan ditegaskan kepada masyarakat Islam bahawa bulan ini tidak mempunyai kelebihan yang khusus daripada hadis sahih berkaitan amalan ibadah tertentu.

Namun, tidak pula menghalang masyarakat Islam daripada terus melaksanakan amalan ibadah seperti biasa yang selalu diamalkan pada bulan lain dengan syarat tidak meyakini amalan berkenaan mempunyai kelebihan yang khusus atau tertentu.

Antara amalan soleh yang boleh dibiasakan dan diperbanyakkan pada bulan ini ialah berpuasa sunat, melaksanakan solat sunat, bersedekah, membaca al-Quran, berzikir serta pelbagai lagi amalan yang baik.

Masyarakat Islam sangat dianjurkan memperbanyakkan amalan itu dalam bulan ini kerana diganjarkan pahala yang lebih besar berbanding bulan lain. Hal ini disebabkan Rejab termasuk di dalam bulan haram yang telah diketahui akan kelebihan bulan haram berbanding bulan lain.

Seterusnya, beramal pada bulan ini juga adalah sebagai persiapan, persediaan dan latihan terbaik untuk membiasakan diri dengan amalan soleh sebelum memasuki Ramadan nanti.

Sempena Rejab ini, marilah bersama mempertingkatkan amalan ibadah dan soleh. Semoga Allah SWT sentiasa memberi kita taufik dan hidayah-Nya dalam setiap amalan yang dilakukan agar tidak bercanggah dengan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 5:59 AM