SEMUA bentuk kebaikan yang dilakukan orang Islam akan diberi ganjaran selayaknya oleh Allah SWT.
SEMUA bentuk kebaikan yang dilakukan orang Islam akan diberi ganjaran selayaknya oleh Allah SWT.
Mohd Shahrizal Nasir

SETIAP orang pasti ada melakukan kebaikan. Muslim yang melakukan kebaikan akan menerima ganjaran daripada Allah SWT. Cumanya pandangan manusia berbeza-beza terhadap sesuatu amalan kebaikan. Ada yang melihat sesuatu amalan itu sangat kecil jika dibandingkan dengan amalan lain yang baginya lebih besar. Hakikatnya pandangan manusia tidak boleh dijadikan asas dalam menentukan nilai amalan di sisi Allah SWT.

Allah SWT menjelaskan bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh manusia akan dinilai di sisi-Nya. Sama ada ia kecil mahupun besar, penilaian daripada Allah SWT adalah yang paling adil untuk manusia.

Firman Allah SWT bermaksud: "Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)." (Surah az-Zalzalah, ayat 7-8)

Dalam usaha melakukan kebaikan, usah sesekali memandang remeh terhadap amalan yang dilihat kecil oleh mata kasar. Sesungguhnya Allah SWT menilai amalan yang dilakukan oleh seseorang hamba dengan pandangan rahmat-Nya. Keadaan setiap orang berbeza-beza ketika melakukan kebaikan.

Ada orang mungkin hanya mampu bersedekah dengan hanya RM1 daripada keseluruhan duit yang ada padanya bernilai RM10. Perbuatan terbabit tidak boleh dilihat kecil atau disamakan dengan orang yang juga bersedekah dengan RM1 daripada ribuan wang yang dimilikinya. Pastinya nilaian ganjaran yang diberikan oleh Allah SWT juga melihat kepada niat dan keadaan seseorang ketika melakukan kebaikan.

Sebab itu, kita tidak boleh memandang remeh terhadap amalan baik yang dilakukan orang lain. Keadaan setiap insan berbeza-beza ketika melakukan kebaikan mengikut kemampuan masing-masing. Ada dalam kalangan hamba Allah SWT yang mendapat ganjaran yang luar biasa daripada amalannya yang mungkin dilihat sebagai biasa-biasa sahaja.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Pada ketika seorang lelaki sedang berjalan, tiba-tiba dia mendapati ada satu dahan berduri yang menghalangi jalan. Kemudian dia menyingkirkannya (dari jalan tersebut). Maka Allah menyukai perbuatannya dan mengampuni dosa-dosanya." (Muttafaq 'alaih)

Penjelasan yang diberikan oleh Rasulullah SAW terbabit menunjukkan bahawa Allah SWT dengan rahmat-Nya berkuasa untuk menentukan ganjaran yang selayaknya atas usaha hamba-Nya yang melakukan kebaikan. Setiap amalan yang dilakukan oleh seseorang Muslim akan diberi ganjaran oleh Allah SWT dan tidak sesekali dipersiakan.

Menginsafi hakikat terbabit, sebagai seorang Muslim yang beriman kepada kekuasaan Allah serta kasih sayang-Nya, kita tidak boleh meremehkan amalan yang dilakukan orang lain. Ini kerana kita tidak mengetahui nilai sebenar amalan terbabit di sisi Allah SWT.

Terdapat orang yang mampu membantu saudara seislam yang sedang dizalimi dengan pergi sendiri ke tempat terbabit. Namun, ada orang yang mampu mengeluarkan sedikit daripada rezekinya untuk disumbangkan kepada saudara seagama yang memerlukan bantuan kewangan. Ada juga orang yang mampu berdoa supaya saudaranya diberi perlindungan oleh Allah SWT dan terselamat daripada serangan musuh Islam.

Semua bentuk kebaikan yang dilakukan orang Islam akan diberi ganjaran selayaknya oleh Allah SWT. Justeru, tidak boleh ada dalam kalangan umat Islam sendiri yang merendah-rendahkan usaha saudaranya dalam melakukan kebaikan. Asalkan perbuatan baik yang dilakukan berasaskan niat murni serta dengan rasa ikhlas kepada Allah SWT, pasti ia akan menjadi sebab dikurniakan ganjaran istimewa oleh-Nya.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Sungguh aku (Rasulullah) telah melihat seseorang yang merasai kenikmatan di syurga dengan sebab satu dahan pohon yang mengganggu manusia, maka dipotongnya (untuk disingkirkan) dari tengah jalan." (Hadis riwayat Muslim)

Dalam kitab Siyar A'lam an-Nubala' dinukilkan riwayat seorang ahli ibadah bernama Abdullah al-Umari yang mengirim surat kepada Imam Malik yang ketika itu sibuk mengajar hadis supaya lebih banyak menyendiri dan melakukan amal soleh.

Maka Imam Malik membalas surat terbabit dan berkata: "Sesungguhnya Allah telah membahagi-bahagikan amalan sebagaimana pembahagian rezeki. Ada orang yang dimudahkan untuk memperbanyak solat, namun tidak dimudahkan untuk mengerjakan puasa. Ada juga orang yang dimudahkan untuk memperbanyakkan sedekah, namun tidak dimudahkan untuk memperbanyak puasa.

"Ada juga orang yang dimudahkan untuk berjihad (namun tidak dimudahkan dalam amal lainnya). Menyebarkan ilmu merupakan salah satu amal kebaikan yang paling utama. Aku reda dengan apa yang Allah mudahkan untuk diriku. Aku juga memandang amalanku ini tidaklah lebih rendah daripada amalanmu dan aku berharap semoga kita berdua selalu dalam kebaikan dan ketaatan."

Setiap orang yang melakukan kebaikan pasti akan diberikan ganjaran sebaiknya oleh Allah SWT. Ada kalanya kita merasakan apa yang dilakukan itulah yang paling terbaik, sedangkan orang lain juga sebenarnya sedang melakukan kebaikan yang sama menerusi amalan yang berbeza.

Buat kebaikan sebanyak-banyaknya meskipun ia membabitkan amalan yang dilihat kecil oleh sesetengah orang. Ini kerana tidak ada seorang pun yang mengetahui amalan yang manakah akan diterima oleh Allah SWT sebagai amalan terbaik untuk dirinya.

Amalan baik yang mungkin kelihatan kecil, biasanya sering diabaikan sedangkan ia juga mendatangkan ganjaran pahala daripada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Jangan sekali-kali kalian menganggap remeh suatu kebajikan meskipun hanya menunjukkan keceriaan wajah ketika bertemu dengan sahabatmu." (Hadis riwayat Muslim)

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menggesa kita melakukan kebaikan. Kebaikan itu pula tidak dihadkan kepada amalan-amalan tertentu sahaja, sebaliknya Allah SWT mengiktiraf semua jenis kebaikan selagimana ia dibenarkan oleh syarak. Peluang untuk melakukan kebaikan dan amal soleh juga terbuka kepada sama ada lelaki ataupun perempuan.

Ini dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya bermaksud: "Sesiapa yang beramal soleh, daripada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih daripada apa yang mereka telah kerjakan." (Surah an-Nahl, ayat 97)

Malah, Allah SWT juga berkuasa untuk mengampuni setiap hamba-Nya yang melakukan kesilapan dengan syarat mereka bertaubat dan melakukan amal soleh. Justeru, dapat difahami bahawa amalan soleh boleh menjadi sebab segala rekod kejahatan digantikan dengan kebaikan. Semuanya atas rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: "Akan digandakan baginya azab seksa pada Hari Kiamat dan dia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan. Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Furqan, ayat 69-70)

Penulis Pensyarah  Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa Dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 5:59 AM