Mohd Shahrizal Nasir

Sekarang semua orang berada dalam zaman siber. Teknologi dalam media sosial berkembang dengan pesat sehingga terdapat pelbagai platform secara percuma untuk dimanfaatkan oleh orang ramai. Tidak kira usia, semua orang terjebak dalam dunia teknologi masa kini kerana boleh dikatakan semuanya memiliki akaun media sosial tersendiri.

Dengan kepesatan teknologi tersebut, maka muncul golongan yang dikenali sebagai influencer. Berdasarkan carian ruangan Khidmat Nasihat dalam laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) kendalian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), perkataan influencer masih belum ada padanan bahasa Melayu secara rasmi. Walau bagaimanapun, pihak DBP mencadangkan agar perkataan influencer dipadankan dengan istilah pempengaruh dalam bahasa Melayu.

Apa pun yang pasti ramai individu yang diiktiraf oleh masyarakat sebagai influencer. Apakah perkara diketengahkan oleh mereka yang dikenali sebagai influencer kepada masyarakat? Inilah persoalan penting yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa khususnya dalam usaha memastikan anak-anak tidak terpengaruh dengan perkara negatif.

Jika ada golongan influencer yang kerjanya mengajak orang ramai melakukan kebaikan, maka usaha seperti itu perlu diberi pujian. Contohnya jika ada influencer yang mengajak orang ramai mengenakan pakaian yang sopan dan menutup aurat bagi orang Islam, ia satu usaha yang sangat baik. Orang yang dikenali sebagai influencer biasanya mempunyai pengikut yang ramai. Pengikut ini tidak semestinya turut melakukan apa sahaja yang dilakukan oleh influencer. Namun sedikit sebanyak, apabila sesuatu perkongsian baik ditunjukkan secara umum, maka pasti ramai orang yang akan mengikutinya.

Islam sememangnya menggalakkan usaha agar manusia mengajak orang lain melakukan kebaikan. Perbuatan mengajak orang lain melakukan kebaikan juga termasuk dalam usaha bertolong-tolongan dalam melakukan kebaikan. Dengan saranan, nasihat atau perbuatan baik yang ditunjukkan sehingga menyebabkan orang lain terkesan melihatnya lantas turut melakukan kebaikan dapat menyerlahkan usaha bantu-membantu melakukan kebaikan.

Maksud firman Allah SWT dalam al-Quran: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)." (Surah al-Ma'idah, ayat 2)

Menurut Tafsir as-Sa'di, perkataan al-birr yang diterjemahkan sebagai kebaikan pada ayat tersebut merujuk kepada kerja-kerja mengembangkan kebaikan serta usaha baik yang dapat memberikan kebaikan kepada manusia. Penjelasan ini mencerminkan betapa Islam amat menitikberatkan hal kebersamaan dalam melakukan kebaikan. Oleh itu, usaha mengajak orang lain agar melakukan kebaikan termasuk dalam aktiviti dakwah yang perlu dilakukan oleh setiap Muslim.

Orang yang berusaha mengajak manusia lain melakukan kebaikan mendapat ganjaran yang istimewa di sisi Islam. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW menerusi hadisnya yang bermaksud: "Sesiapa yang menunjukkan kepada sesuatu kebaikan maka baginya seperti pahala pelakunya." (Hadis riwayat Muslim)

Dengan kata lain, orang yang menunjukkan kebaikan kepada orang lain akan turut mendapat pahala kebaikan daripada perbuatan orang tersebut. Bagi ibu bapa pula, setiap didikan yang diberikan kepada anak-anak sehingga mereka menjadi insan soleh pasti akan memberi keuntungan di akhirat kelak.

Hal ini dapat dilihat apabila ibu bapa yang berjaya mendidik anak menjadi insan soleh sehingga akan mengalir baginya saham kebaikan meskipun ketika mereka sudah meninggal dunia. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Apabila matinya seorang insan akan terputus amalannya melainkan tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya." (Hadis riwayat Muslim)

Anak soleh lahir daripada didikan ibu bapa yang juga soleh. Setiap didikan ibu bapa akan membentuk keperibadian diri seseorang anak. Oleh itu, ibu bapa perlu menjadi influencer nombor satu dalam kehidupan anak bermula dari rumah. Anak ketika usia kecil sememangnya akan sentiasa menjadi pengikut setia bagi setiap saranan kedua ibu bapanya. Namun, hal ini mungkin dilihat sebagai satu cabaran apabila anak-anak meningkat dewasa. Mereka bertemu ramai orang lain yang lebih berpengaruh dan mempunyai ramai follower. Inilah cabaran yang perlu didepani oleh ibu bapa masa kini.

Sebagai Muslim, jangan sesekali menggalakkan orang lain melakukan keburukan. Mereka yang dikenali sebagai influencer perlu sedar bahawa mereka bertanggungjawab atas setiap tindak tanduk yang dilakukan. Kadang-kala ramai orang menjadi follower secara ikut-ikutan atau sekadar untuk berseronok sedangkan perkara yang diikuti itu diklasifikasikan sebagai buruk di sisi Islam.

Orang suka meniru trend semasa gaya pemakaian golongan influencer. Justeru, jangan sesekali mempromosikan pakaian yang mendedahkan aurat kerana perbuatan tersebut dilarang oleh Islam. Dari sudut kata-kata pula, jauhkan daripada mengungkapkan sesuatu yang negatif seperti perkataan lucah, tidak sopan dan berbohong walaupun untuk gurauan. Ingatlah bahawa setiap yang dilakukan oleh manusia, pasti akan dicatat oleh malaikat.

Firman Allah SWT bermaksud: "Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukan manusia) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)." (Surah Qaf, ayat 18)

Setiap orang perlu berusaha untuk menyebarkan kebaikan dan dalam masa sama menutup pintu kemungkaran. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang sentiasa diperhatikan oleh orang ramai. Mungkin diri tidak berniat agar setiap tindak-tanduk diperhatikan dan diikuti orang, namun realitinya jika sudah dikenali sebagai influencer, maka penampilan diri, kata-kata, kesukaan, malah apa sahaja yang dipertontonkan kepada khalayak akan dijadikan ikutan.

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa yang menyeru kepada sebuah petunjuk kebaikan, maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengikutinya, hal tersebut tidak mengurangi akan pahala mereka sedikit pun. Dan sesiapa yang menyeru kepada sebuah kesesatan, maka baginya dosa  seperti dosa yang mengikutinya, hal tersebut tidak mengurangi daripada dosa mereka sedikit pun." (Hadis riwayat Muslim)

Sesungguhnya Rasulullah SAW menyarankan kita agar menyampaikan ajaran Islam kepada orang ramai sepertimana yang dijelaskan oleh baginda. Semua yang ditunjukkan baginda adalah perkara baik yang sepatutnya dicontohi manusia. Influencer daripada kalangan Muslim sepatutnya mengajak orang ramai agar melakukan perkara yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Jika ini dapat dilakukan, pasti kehidupan umat Islam akan sentiasa berada dalam kebaikan. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya:  "Allah merahmati seseorang yang telah mendengar daripadaku (Rasulullah) sebuah hadis lalu ia menghafalnya  kemudian ia menyampaikannya kepada orang lain." (Hadis riwayat Ahmad)

Penulis Pensyarah  Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 8:51 AM