DOSA rasuah cuba disembunyikan kejelikannya dengan nama baharu bagi memastikan perbuatan terkutuk tersebut kelihatan suci.
DOSA rasuah cuba disembunyikan kejelikannya dengan nama baharu bagi memastikan perbuatan terkutuk tersebut kelihatan suci.
Mohd Shahrizal Nasir

KETETAPAN Islam mengenai pahala dan dosa adalah jelas. Sebab itu sesiapa yang melakukan kebaikan maka dia akan menerima pahala. Manakala orang yang melakukan kemungkaran pasti mendapat dosa. Semua balasan atas setiap perbuatan manusia akan diberikan secara adil dalam perhitungan Allah di akhirat nanti.

Penjelasan tentang hal ini dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran bermaksud:  "(Ingatlah) hari Kami menyeru setiap kumpulan manusia dengan nama imamnya; kemudian sesiapa diberikan kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita) dan mereka tidak dikurangkan (pahala amalnya yang baik) sedikitpun."  (Surah al-Isra', ayat 71)

Firman Allah dalam ayat lain bermaksud:  "Adapun orang yang diberikan menerima kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka dia akan berkata (dengan sesalnya): 'Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan kitab amalku.'"  (Surah al-Haqqah, ayat 25)

Justeru,  ketetapan Allah tentang perkara yang halal dan haram tidak boleh diragui. Keraguan mengenai perbuatan baik dan buruk hanya terjadi dalam fikiran orang yang hatinya tidak berasa takut dengan janji Allah. Golongan seperti ini bukannya tidak tahu mengenai perbuatan dosa yang dilakukannya, malah tahu bahawa perbuatannya mengundang kemurkaan Allah. Namun kerana akur terhadap tuntutan hawa nafsu, maka mereka buat-buat keliru tentang halal dan haram dalam Islam.

Lihatlah dalam isu rasuah yang sememangnya dihukumkan haram di sisi Islam. Masih ada dalam kalangan umat Islam yang terjebak dalam rasuah. Kita semua dapat menyaksikan adanya kes yang dilaporkan dalam media massa tentang individu yang disyaki terlibat dengan rasuah. Ada juga yang dijatuhkan hukuman tertentu disebabkan perbuatan rasuah dilakukan.

Meskipun begitu, kesalahan rasuah masih terus berlaku. Malah hari ini dosa rasuah cuba disembunyikan kejelekannya dengan nama lain seperti hadiah saguhati, duit kopi, komisen, pelincir,   angpau,  kautim,  under table  dan seumpamanya. Penjenamaan rasuah dengan nama baharu ini bertujuan menghalalkan rasuah, sekali gus untuk memastikan perbuatan terkutuk tersebut kelihatan suci.

Sebenarnya hal ini sudahpun dijelaskan dalam al-Quran. Allah menjelaskan perihal Ratu Saba' yang memberi 'hadiah' kepada Nabi Sulaiman setelah baginda mengutus surat mengajak pemimpin wanita tersebut mengesakan Allah, sekali gus meninggalkan perbuatan syiriknya menyembah matahari.

Ratu Saba' membalas surat Nabi Sulaiman dengan mengirim bersamanya hadiah. Apakah tujuan pemberian hadiah tersebut? Hadiah tersebut dikirimkan untuk Nabi Sulaiman agar baginda menerimanya dan menghentikan dakwah baginda agar ratu tersebut menerima Allah sebagai Tuhan yang selayaknya disembah.

Peristiwa ini dirakam Allah dengan menyatakan ayat Ratu Saba' bermaksud:  "Dan bahawa aku (Ratu Saba') hendak menghantarkan hadiah kepada mereka kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh para utusan kita."  (Surah an-Naml, ayat 35)

Walau bagaimanapun, hadiah yang dikirimkan Ratu Saba' kepada Nabi Sulaiman ditolak oleh baginda. Ini membuktikan Nabi Sulaiman menyedari tujuan pemberian hadiah tersebut yang hakikatnya adalah satu bentuk rasuah. Hadiah itu menuntut agar baginda tidak meneruskan dakwahnya kepada pemerintah wanita tersebut.

Nabi Sulaiman memberi respons terhadap perbuatan Ratu Saba' dengan berkata:  "Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang menghadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): 'Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang telah diberikan-Nya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah).'"  (Surah an-Naml, ayat 36)

Bukan setakat pemberian Ratu Saba' ditolak oleh Nabi Sulaiman, malah baginda memberi amaran yang keras:  "Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman), maka demi sesungguhnya Kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba' dalam keadaan hina menjadi orang tawanan." (Surah an-Naml, ayat 37)

Menurut Sheikh Solah 'Abdul Fattah Al-Khalidi dalam kitabnya Lata'if Qur'aniyyah, Ratu Saba' adalah orang pertama yang cuba menggunakan istilah hadiah bagi menutup kemungkaran rasuah. Walau apa pun nama yang cuba diberikan bagi mengaburi kesalahan rasuah, perbuatan tersebut tetap dilarang Allah SWT.

Ketegasan Nabi Sulaiman dalam menolak pemberian rasuah patut dicontohi setiap Muslim. Sesungguhnya hukum memberi mahupun menerima rasuah adalah haram. Rasuah termasuk dalam perbuatan dosa berat kerana pelakunya dilaknat Allah dan Rasul-Nya. Daripada Abdullah bin 'Amr, dia berkata:  "Rasulullah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah."  (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Perbuatan rasuah menyebabkan berlakunya banyak kezaliman. Rasuah dapat menafikan hak sebenar orang ramai, menzalimi golongan yang tidak berdosa, menjadi punca tergadainya maruah negara, membuka ruang permusuhan antara sesama manusia, menyebabkan kemungkaran berleluasa, memusnahkan nilai integriti dalam diri dan seumpamanya.

Sebagai contoh apabila ada pihak yang diberi tanggungjawab untuk memastikan tidak ada kegiatan judi dalam masyarakat, namun disebabkan rasuah maka kegiatan mungkar tersebut terus berleluasa. Pihak yang terlibat dengan jenayah tersebut juga tidak akan berasa khuatir dengan sebarang tindakan pihak berkuasa.

Begitu juga sekiranya sesuatu projek melibatkan peruntukan wang yang besar dibuat secara tender terbuka namun dengan wujudnya rasuah maka peluang orang ramai untuk terlibat dalam projek tersebut terus tertutup. Pihak yang memberi rasuah pula akhirnya tidak mampu untuk merealisasikan projek yang diberikan sehingga akhirnya projek terbengkalai. Inilah keburukan daripada perbuatan memberi dan menerima rasuah.

Duit daripada sumber rasuah termasuk kategori duit haram. Oleh itu, makan daripada hasil perbuatan rasuah menyebabkan diri tergolong dalam kalangan orang yang memakan hasil daripada sumber yang batil.

Firman Allah bermaksud: "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)."  (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Jadilah masyarakat yang menolak rasuah serta membenci perbuatan buruk tersebut. Orang yang terlibat dengan amalan rasuah sememangnya sedar akan perbuatan buruk dilakukannya. Sebab itu golongan seperti ini akan melakukan perbuatan rasuah secara tersembunyi. Ditambah pula dengan usaha melabel perbuatan rasuah dengan nama yang cuba untuk mengaburi kesalahan tersebut.

Rasulullah mengingatkan umatnya perihal dosa yang juga termasuk di dalamnya rasuah:  "Dan dosa adalah apa yang menggetarkan jiwa dan kamu tidak suka jika (perbuatan dosa tersebut) diketahui oleh manusia."  (Hadis riwayat Muslim)

Penulis Pensyarah  Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 5:59 AM