GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Shahrizal Nasir

MESKIPUN 1 Syawal sudah berlalu, kemeriahan hari raya masih terasa dengan amalan ziarah-menziarahi dan rumah terbuka.

Sepanjang Syawal ini, ramai yang ingin mengadakan majlis rumah terbuka. Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja jemputan jamuan raya, apatah lagi pada hujung minggu.

Amalan itu satu usaha yang baik untuk menjamu saudara, rakan, jiran dan orang ramai dengan juadah hari raya.

Bukan sahaja rumah, malah sekolah, pejabat kerajaan, swasta serta pelbagai institusi turut menganjurkan rumah terbuka.

Juadah yang disediakan pula semuanya lazat dengan kuantiti hidangan yang banyak. Di situlah perlunya setiap orang beringat ketika mengambil makanan.

Islam membuka ruang untuk makan selagi makanan itu halal dan baik. Walau bagaimanapun, pengambilan makanan perlu dikawal supaya tidak diambil berlebihan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf, ayat 31)

Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyatakan, sebahagian ulama salaf menyebut ayat itu menghimpunkan semua ilmu perubatan.

Kesihatan manusia sebenarnya amat berkait rapat dengan pemakanan. Sebab itu, orang yang tidak menjaga pemakanannya mudah menghidap pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya.

Shaykh Muhammad ‘Abd ar-Rahman al-Mubarakfuri dalam kitabnya Tuhfat al-Ahwazi ketika mensyarahkan Jami’ al-Tirmidzi menyatakan, perut yang penuh dengan makanan akan menyebabkan kerosakan agama dan dunia (tubuh badan).

Apabila perut terlalu kenyang, rasa malas mula menghantui diri termasuk malas untuk melakukan amal ibadat.

Sebab itu, Rasulullah SAW menunjukkan tatacara pengambilan makanan penuh sederhana.

“Tidak ada ruang yang diisi oleh manusia yang lebih buruk daripada perutnya, cukuplah baginya memakan beberapa suapan sekadar dapat menegakkan tulang punggungnya (memberikan tenaga). Jika tidak mampu, maka ia dapat memenuhkan perutnya dengan sepertiga makanan, sepertiga minuman dan sepertiga lagi untuk nafasnya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Begitulah aturan Islam yang mementingkan kesederhanaan dalam aspek pemakanan. Hakikatnya, semua perkara yang melampau dilarang dalam Islam kerana ia mendatangkan kemudaratan.

Sikap ketika mengambil juadah yang tersedia di depan mata juga menunjukkan akhlak diri. Jangan terlalu tamak ketika mengambil makanan kerana hakikatnya perut kita tidak dapat menghabiskan semuanya.

Akhirnya makanan terbuang begitu sahaja. Rasulullah SAW pernah menasihati seseorang tentang perihal makan.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai anak muda, sebutlah nama Allah (bismillah), makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah daripada apa-apa yang dekat denganmu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ketika berhadapan de-
ngan pelbagai juadah makanan juga dinasihatkan supaya tidak bercakap tentang makanan-makanan yang tidak disukai.

“Rasulullah SAW tidak pernah mencela makanan, apabila Baginda berselera, (menyukai makanan yang dihidangkan), Baginda memakannya dan jika Baginda tidak menyukainya, maka Baginda meninggalkannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Satu lagi perkara penting adalah memperbanyakkan minum air kosong. Kebanyakan majlis jamuan raya dan rumah terbuka menghidangkan pelbagai jenis minuman yang mempunyai kandungan gula, maka meminum air kosong perlu menjadi satu kemestian.

Kepentingan minum enam hingga lapan gelas air kosong setiap hari perlu bagi fungsi fisiologi dalam badan, mengawal suhu tubuh dan perkumuhan.

Selain itu, air kosong juga dapat melindungi organ dan tisu dalam badan manusia. Minumlah air kosong walaupun tidak berasa haus.

Islam bukan sahaja mementingkan makanan halal, tetapi makanan yang baik untuk kesihatan badan.

Maksud baik meliputi kadar makanan yang patut diambil supaya tidak berlaku kemudaratan pada kesihatan badan.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Apabila badan tidak sihat, pelbagai perancangan akan terjejas dan pergerakan menjadi amat terbatas.

Marilah sama-sama kita beringat agar kesihatan diri dapat dijaga bagi meneruskan misi kehidupan untuk memperoleh rahmat dan keredaan Allah SWT.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 7:30 AM