BAGINDA SAW bukan sahaja diiktiraf bumi, bahkan di langit.
BAGINDA SAW bukan sahaja diiktiraf bumi, bahkan di langit.
Bersama Fatimah Syarha Mohd Noordin

NABI Muhammad SAW sangat sayang kepada umatnya. Namun, masih ada orang tergamak menghinanya.

Pepatah Arab menyatakan, manusia suka memusuhi apa yang dia tidak kenal.

Rasulullah SAW sentiasa menjadi ikutan. Baginda SAW bukan sahaja diiktiraf bumi, bahkan di langit.

Terdapat orang bukan Islam yang membuat kajian mengenai Rasulullah mengakui ketokohan Baginda SAW.

Seorang ahli sejarah dan penulis buku tersohor dari Amerika Syarikat (AS), Michael H Hart meletakkan Baginda sebagai individu nombor satu paling berpengaruh di dunia mengalahkan 100 tokoh lain.

Ini kerana Baginda SAW adalah individu berpengaruh dan diikuti ramai dalam urusan dunia dan juga agama.

Ajaran Baginda dalam masa singkat saja menguasai dua pertiga dunia dan kekal berpengaruh sehingga kini.

Orang yang mengikuti ajarannya akan terkesan dengan cara hidupnya.

Bermula daripada bangun tidur sehingga tidur semula. Selain itu, perkara sekecil memotong kuku, cara menyembelih haiwan ternakan serta saat bayi dilahirkan sehingga mereka dikembalikan ke perut bumi.

Pengikut Baginda sanggup hidup dan mati demi agama yang dibawa. Ia seimbang dan berada di pertengahan.

Itulah kunci keindahan ajarannya. Baginda SAW serius menjalani kehidupan. Baginda juga ‘tokoh senyuman’ sehingga sahabat Baginda menjadi saksi, “Saya tidak pernah melihat seseorang yang lebih banyak senyuman daripada Rasulullah.” (Riwayat Tirmidzi dan Ahmad)

Dalam bersahabat, Baginda mengingatkan dahsyatnya neraka dan muhasabah diri sehingga sahabat sering menangis setelah bertemu Baginda.

Baginda juga membawa berita gembira mengenai keindahan syurga sehingga mengundang hiburan di jiwa semua.

Ketika bersendirian pada sepertiga malam, Rasulullah SAW melaksanakan solat dengan asyik dan khusyuk sambil menangis sehingga pernah kedua-dua kakinya bengkak.

Baginda fokus saat bersama Allah SWT.

Namun, dalam kehidupan bersama-sama orang lain dan sahabat, Baginda adalah seorang yang manusiawi, menyukai kebaikan, berwajah cerah, tersenyum, bergurau dan tidak mengatakan sesuatu melainkan yang benar. (Al-Halal wa Al-Haram, Dr Yusuf Al-Qardhawi, halaman 272)

Diriwayatkan daripada Simak bin Harb, beliau berkata: “Aku berkata kepada Jabir bin Samurah, “Adakah tuan pernah duduk bersama Rasulullah SAW?”

Dia menjawab, “Ya, Baginda lebih suka diam. Sahabat bersyair di sampingnya, mereka menyebut pelbagai peristiwa pada masa jahiliah, mereka ketawa dan Rasulullah SAW tersenyum.” (Hadis Sahih Muslim - 670), Kitab Al-Masajid wa Mawadhi’ Ash-Shalat)

Dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, daripada Jabir bin Abdillah Al-Bajali, beliau berkata: “Rasulullah tidak pernah melarangku untuk menemuinya sejak aku masuk Islam dan Rasulullah tidak pernah melihatku melainkan Baginda tersenyum kepadaku. Aku pernah mengadu kepadanya bahawa aku tidak pandai menunggang kuda, lalu Baginda menepuk tangannya ke dadaku sambil berdoa, “Ya Allah, teguhkanlah dia dan jadikanlah dia pemberi petunjuk dan diberi petunjuk.” (Muttafaq Alaih: Al-Bukhari (3036), Kitab Al-Jihad wa As-Siyar, Muslim (2475), Kitab Fadha’il As-Sahabah)

Antara karakter Rasulullah SAW paling memberi kesan kepada hati sahabat adalah wajah Baginda selalu berseri-seri sambil menguntum senyuman penuh ikhlas.

Hal itu disebut oleh sahabat Nabi yang menjadi saksi Baginda adalah seorang yang selalu menampakkan wajah berseri sambil tersenyum setiap kali bertemu dengan mereka.

Seorang sahabat mendatangi Rasulullah SAW dan meminta agar membantunya mencari unta bagi memindahkan barangnya.

Rasulullah SAW berkata, “Kalau begitu kamu pindahkan barang-barangmu itu ke anak unta di seberang sana.”

Sahabat hairan dan berfikir bagaimana seekor anak unta dapat memikul beban yang berat.

Dia bertanya, “Ya Rasulullah, apakah tidak ada unta dewasa yang boleh memikul barang-barangku ini?”

Rasulullah SAW pun menjawab, “Aku tidak mengatakan anak unta itu masih kecil, yang jelas dia adalah anak unta.

“Tidak mungkin seekor anak unta lahir daripada ibu selain unta,” sahabat itu tersenyum dan dia mengerti gurauan Rasulullah SAW. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud dan al-Tirmidzi)

Suatu ketika, seorang wanita tua bertanya Rasulullah SAW, “Wahai utusan Allah, apakah perempuan seperti aku layak masuk syurga?” Rasulullah menjawab, “Ya Ummi, sesungguhnya di syurga tidak ada perempuan tua.”

Mendengar jawapan itu, wanita tua itu menangis mengenangkan nasibnya. Kemudian Rasulullah SAW menjelaskan dengan mengutip salah satu firman Allah dalam Surah al-Wa-qi’ah, ayat 35-37: “Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umur.” (Riwa-yat al-Tirmidzi)

Antara sifat mulia Rasulullah SAW adalah Baginda suka bergaul dengan segenap lapisan masyarakat sama ada masyarakat di kota atau di kawasan pedalaman.

Rasulullah SAW tidak pernah membezakan warna kulit atau status sosial dalam bersahabat.

Dalam satu riwayat daripada Anas, terdapat seorang lelaki Badwi bernama Zahir. Ketika datang ke Madinah, dia sering mengunjungi Rasulullah SAW sambil membawa pelbagai hadiah dari kawasan desa.

Ketika hendak pulang, Rasulullah SAW juga membekalkan hadiah kepadanya. Terjalin satu ikatan kasih sayang antara mereka.

Sahabat bernama Zahir itu daya fikirnya agak lemah. Wajahnya agak buruk dan kulitnya sangat hitam.

Zahir sering menyendiri menghabiskan hari-harinya di gurun pasir sehingga Rasulullah SAW berkata, “Zahir ini adalah lelaki padang pasir dan kita semua tinggal di kota.”

Suatu hari ketika Rasulullah SAW ke pasar, dia melihat Zahir sedang berdiri sambil menjual barang dagangannya.

Tiba-tiba Rasulullah SAW memeluk Zahir dari belakang dengan erat. Tanpa mengetahui orang yang memeluknya adalah Rasulullah SAW, Zahir berkata, “Lepaskan aku! Siapa kau?” Zahir cuba meronta dan menoleh ke belakang.

Rupa-rupanya orang yang memeluknya adalah Rasulullah SAW. Zahir segera menyandarkan tubuhnya ke arah Nabi SAW supaya pelukan Rasulullah SAW lebih erat.

Rasulullah berkata: “Wahai umat manusia, siapa yang mahu membeli budak ini?” Kata Zahir, “Ya Rasulullah, kalau demikian aku tidak bernilai.”

Rasulullah SAW berkata, “Tetapi pada pandangan Allah, engkau sungguh bernilai.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Hibban)

Penulis pendakwah dan penulis buku

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 12:26 PM