GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Fadly Samsudin

Ramadan hampir menjelang. Acap-kali kita mendengar pesanan daripada guru-guru supaya mengambil kesempatan selama sebulan dalam Ramadan untuk mendapatkan keampunan serta menyucikan diri daripada segala penyakit rohani.

Penyakit rohani itulah yang menyebabkan ibadat kita jadi kurang sempurna. Sehubungan itu, persiapkan diri kita untuk menyambut ‘tetamu’ yang hebat dan penuh kemuliaan itu dengan melakukan persiapan terbaik.

Ibnu Rajab al-Hambali berkata, salafus soleh termasuk para sahabat mereka berdoa enam bulan sebelum kedatangan Ramadan.

Apa yang mereka doakan adalah supaya dipanjangkan usia untuk bertemu dan beribadat pada Ramadan.

Antara doanya adalah daripada Yahya Abi Kathir iaitu: ”Allahumma sallimni ila ramadan, wa sallimli Ramadan, wa tasallamhu minni mutaqabbalaa” yang bermaksud “Ya Allah, sampaikan aku ke bulan Ramadan dan serahkanlah Ramadan kepadaku dan ambillah Ramadan dengan Engkau menerima segala amalanku.”

Semoga kita semua menjadi orang yang berhati lapang untuk menerima kedatangan Ramadan ini.

Dalam satu hadis dinyatakan, apabila tibanya Ramadan, maka akan dibukakan pintu-pintu syurga, pintu-pintu neraka ditutupi dan syaitan-syaitan dibelenggu.

Bagi menunjukkan rasa rindu, gembira dan bersyukur dengan kedatangan Ramadan ini, kita perlu meneliti semula segala rukun, syarat, lafaz niat, adab serta perkara yang membatalkan puasa supaya kita lebih bersedia, seterusnya dapat melakukan ibadat dengan lebih sempurna.

Amat penting kita menanamkan tekad serta menjaga amalan yang disemai agar ia tidak cacat rosak.

Selain itu, kita perlu berusaha menghapuskan adat kebiasaan yang bertentangan dengan Islam seperti amalan pembaziran ketika membeli juadah di bazar Ramadan.

Sasaran puasa kita sudah pasti ingin mencapai puasa khawasil khawas iaitu puasa orang khusus.

Untuk mencapai matlamat berpuasa orang khusus, beberapa perkara perlu diberi perhatian. Antaranya menjaga pancaindera daripada melakukan perkara yang dilarang syariat.

Mata perlu dijaga daripada banyak melihat perkara maksiat. Telinga tidak mendengar umpatan atau kejian, lidah tidak boleh lancang mengumpat, memaki-hamun serta berbohong.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan masih lagi berbohong, maka Allah sama sekali tidak berhajat kepada hasil puasanya walaupun dia berlapar dan berdahaga.” (Riwayat Bukhari)

Sebab itu, ketika sedang berpuasa apabila ada yang diajak bertengkar atau bergaduh, katakan kita sedang berpuasa walaupun hujah yang ingin kita sampaikan itu benar.

Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT berfirman: “Semua amal perbuatan anak Adam adalah untuknya kecuali puasa, ia untuk-Ku dan Aku akan membalasnya. Puasa itu adalah perisai. Jika salah seorang daripada kalian berada pada hari puasa, maka tidak boleh melakukan rafats (berkata kotor dan lain-lain) dan tidak boleh membuat pergaduhan. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya, maka hendaklah ia mengatakan, ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa.’ Dan, demi Zat yang jiwa Muhammad ada di tanganNya, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat daripada minyak kasturi.” (Hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah dan Sa'id Musayyab)

Seterusnya, berusahalah untuk menjamu makanan kepada orang ketika berbuka puasa. Golongan salafus soleh sangat prihatin dan gemar menjamu makanan kepada orang lain.

Sudah pasti apabila hati kita benar-benar ikhlas untuk mendapat keredaan Allah SWT menerusi amalan itu, ia akan menimbulkan kasih sayang serta semangat persaudaraan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia, sebarkan salam, jamulah makanan, sambungkan silaturahim, solatlah ketika orang lain sedang tidur, nescaya kamu akan memasuki syurga dengan selamat.” (Riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Dalam satu hadis lain dinyatakan, sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa, maka pahalanya sama seperti pahala orang yang berpuasa.

Pastikan juga pada tahun ini, kita tidak meninggalkan amalan sunat seperti bangun bersahur, melaksanakan solat sunat Tarawih serta bersedekah wang ringgit.

Anjuran bersahur sunat bagi orang berpuasa. Walaupun puasa seseorang itu sah sekiranya tidak bersahur, tetapi Rasulullah SAW sangat menitikberatkan amalan itu.

Dalam riwayat Abu Sa’id al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Makan sahur itu berkat, oleh sebab itu jangan kamu meninggalkannya walaupun salah seorang daripada kamu hanya meneguk seteguk air. Maka sesungguhnya Allah SWT dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang bersahur.” (Riwayat Imam Ahmad)

Malah, bersahur juga membezakan puasa umat Islam dengan orang Yahudi dan Nasrani.

Begitu juga melaksanakan solat sunat Tarawih. Jangan kita meninggalkannya walaupun sehari dengan sengaja walaupun sibuk dengan tugas harian di pejabat.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 9:04 AM