M Hifzudin Ikhsan dan Muhammad Mustakim Ramli dan Dziyaul Afnan Abdul Rahman


KERAJAAN bercadang menjadikan Ahad minggu pertama Julai setiap tahun sebagai Hari Ibu dan Bapa bagi membolehkan sambutannya disambut serentak di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, hanya satu sambutan akan diadakan bagi menghargai komitmen ibu dan bapa mendidik dan membesarkan anak-anak.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, sebelum ini, sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa diasingkan sedangkan peranan kedua-dua individu itu dalam membimbing anak-anak adalah sama penting.

"Kesungguhan dan komitmen ibu bapa ini yang berjaya membentuk keluarga menjadi bahagia dan sejahtera.

"Sehubungan itu, minggu pertama Julai setiap tahun akan menjadi minggu sambutan Hari Ibu dan Bapa mengikut peringkat masing-masing," katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Ibu Bapa Peringkat Kebangsaan 2018 di Kangar, hari ini.

Majlis bertemakan 'Ibu dan Bapa Anugerah Terindah' disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Turut berangkat, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dr Wan Azizah berkata, sambutan Hari Ibu dan Bapa pada tahun ini memberi fokus kepada pengukuhan institusi kekeluargaan melalui aktiviti interaktif kekeluargaan bagi mendidik pelbagai lapisan masyarakat.

"Dalam sambutan kali ini, aktiviti ‘Art Therapy’ terbesar bertemakan ‘Therapeutic Expressive Arts Inspiration for Mom and Dad’ akan menjadi tumpuan utama dalam usaha kita menjalin ikatan kasih sayang yang erat antara ibu, bapa dan anak.

"Marilah bersama-sama kita menghargai jasa dan pengorbanan insan bergelar ibu dan bapa, hargailah mereka walaupun hanya melalui perbualan telefon, ucapan sayang, pelukan, ciuman keluarga dan ingatan kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 6:22 PM