KETIKA dihantar mengerjakan umrah.
KETIKA dihantar mengerjakan umrah.
Nurul Husna Mahmud


TANGAN yang mengayun buaian mampu menggoncang dunia. Itulah gambaran mengenai kekuatan wanita yang bergelar ibu dalam membesarkan anak-anak sehingga menjadi orang berguna di sisi agama, bangsa dan negara.

Paling dekat, antara kisah ibu yang biasa tetapi mempunyai penceritaan hidup luar biasa iaitu Rajaah Musa apabila sanggup memikul peranan sebagai ibu 'ekspres' kepada empat daripada enam anak tirinya ketika usia 23 tahun.

Menurut Rajaah Musa, perkahwinan diaturkan†keluarga dengan suami, Mohd Jawi Bidin, selepas kematian isteri pertama, Zaleha Hitam tidak dirasakan suatu bebanan sebaliknya amanah penting.

"Sebaik mengahwini suami yang sedia maklum seorang duda dengan enam anak, saya sedar tanggungjawab cukup besar menjadi ibu segera kepada empat daripada enam anak tiri kerana dua darinya dipelihara abang dan adik suami.

"Mujurlah saya datang daripada keluarga besar iaitu anak sulung kepada 14 beradik dan sebelum itu sudah biasa hidup susah termasuklah bekerja pada usia muda bagi menyara adik-adik."Jadi, sebaik berkahwin dengan suami, ia tidak menjadi satu masalah apabila perlu memelihara anak tiri yang ketika itu masih kecil. Naluri ibu datang secara semula jadi kerana memikirkan mereka ini kehilangan ibu ketika masih kecil,"katanya.

Tidak pernah membezakan kasih sayang antara prinsip hidupnya apabila turut memiliki enam anak kandung hasil perkahwinan dengan suami itu menjadikan kehidupan Rajaah selama lebih 40 tahun menjadi ibu kepada 12 anak-anaknya tidak pernah sepi.

"Saya ini, baik anak sendiri atau anak daripada arwah isteri pertama layanan sama rata. Apabila mereka buat kesalahan, saya akan tegur dan marah. Andai mereka meminta nasihat atau pandangan apabila menghadapi masalah, saya akan dengar rungutan serta beri dorongan.

"Karakter saya dengan arwah suami ibarat 'langit dan bumi' yang mana saya ini lebih suka bergurau dan mengusik anak-anak seperti seorang kawan. Tetapi personaliti arwah suami sangat tegas dan garang dengan†anak-anak.

SERING dibawa pergi bercuti oleh anak-anak.
SERING dibawa pergi bercuti oleh anak-anak.

"Namun ketegasan arwah bersebab iaitu mahu anak mengecapi kejayaan baik dalam ilmu akhirat mahupun dunia termasuk akademik. Maklumlah arwah suami hanyalah penoreh getah dan mengusahakan kerja kampung. Dia tidak mahu anak-anaknya mengikut jejak langkahnya yang hidup susah.

"Arwah suami mementingkan akademik. Dia cukup pantang anak-anaknya ponteng atau culas menyiapkan kerja sekolah. Malah arwah juga sangat aktif dalam Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) di sekolah anak-anak. Saya ikut sama hormat dan mengambil langkah mendiamkan diri apabila suami memarahi anak-anak jika hal berkaitan pelajaran," katanya.

Kata Rajaah dalam didikan anak, sikap ibu perlu selaras dengan tindakan bapa baik ketika menegur atau memberi ganjaran terhadap anak-anak.

"Penting juga peranan saya sebagai ibu untuk mengajar anak-anak mengaji sehingga mereka khatam al -Quran meskipun sibuk membantu suami mencari nafkah. Maklumlah harapan suami cukup tinggi mahu melihat anak-anak melanjutkan pengajian sehingga peringkat universiti sanggup†mengusahakan bendang selain mengambil upah menoreh dan menjaga kebun orang," katanya.

Tidak terasa perit sebaliknya syukur apabila anak-anaknya berjaya dalam bidang masing-masing dengan lapan daripada 12 berjaya memasuki universiti dengan tiga daripadanya adalah bekas pelajar tajaan luar negara iaitu Melbourne dan Adelaide, Australia dan Ohio, Amerika Syarikat.

Anak kelapan Rajaah, Zamzairi Jawi berkata, antara yang menyatukan mereka adik-beradik ialah air tangan ibunya. Ibunya itu tidak pernah gagal menyediakan sarapan pagi selain sajian kegemaran sekeluarga iaitu laksa apabila anak bersekolah asrama pulang.

"Sikap adil ibu ini terhadap kami adik-beradik jelas terutama agihan kerja di rumah iaitu tidak kira lelaki atau perempuan perlu cuci baju atau pinggan sendiri. Bagitu juga kalau bab mengaji, semua wajib baca sampai khatam.

"Lagi satu sikap atau amalan ketika kami masih belajar dulu, asal ada sahaja antara kami menduduki ujian atau peperiksaan, ibu akan jamu makanan di masjid selain mengadakan majlis bacaan doa selamat. Nampak amalan ini remeh, pada saya itu mungkin juga antara tip membantu kami berjaya sehingga hari ini," katanya.

Sementara itu kisah guru agama di Sekolah Agama Ulum Syar'iyah Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, Perak, Aishah Abd Rahman juga boleh dijadikan tauladan apabila mampu melahirkan sembilan huffaz.

Katanya bukan mudah menyemai minat dalam diri setiap anak-anaknya supaya menjadi huffaz dan dekat dengan al-Quran.

"Mengikut teori dalam mendidik anak-anak di Barat, sejak dalam kandungan lagi janin sudah boleh didedahkan dengan pembacaan atau apa sahaja ilmu yang ingin disampaikan kepada anak-anak.

"Malah ada satu kajian bahawa ibu bapa yang memperdengarkan anak sejak dalam kandungan dengan pelbagai bahasa menjadikan anak itu lebih mudah menguasai pelbagai bahasa.

RAJAAH bukan sahaja membesarkan enam anak sendiri tetapi juga empat anak tiri dipelihara selepas isteri pertama meninggal.
RAJAAH bukan sahaja membesarkan enam anak sendiri tetapi juga empat anak tiri dipelihara selepas isteri pertama meninggal.

"Jadi, teknik yang sama saya gunakan pada anak-anak sejak mengandung yang sulung hinggalah kepada yang bongsu. Apabila mereka menginjak usia awal persekolahan sejak tadika, saya dapat lihat mereka lebih mudah menguasai pengajian al-Quran termasuklah menghafal.

"Anak-anak pula ramai, jadi mahu atau tidak memang kena tekadkan hati dan bersikap tegas dengan anak-anak bab mengaji Al-Quran. Berbanding dengan suami, Amran Ahmad, 62, bersikap tenang, saya sebagai ibu mereka mempunyai karakter lebih garang dengan anak-anak," katanya.

Tambah Aishah, selain berdoa, dia turut mempelbagaikan pendekatan seiring dengan peningkatan dan perbezaan karakter pada anak-anak.

"Setiap anak ada karenah sendiri, ketika mereka kecil ada nakalnya dan saya bertegas dengan mereka. Apabila anak menginjak usia remaja, saya rendahkan ego dengan mula meminta maaf kepada anak-anak. Anak-anak mudah lembut hati serta mudah akur.

"Saya juga seperti ibu yang lain tidak lari membuat kesilapan dan ada ketika beremosi. Ada masa terlepas marah atau lakukan perkara yang tidak disukai anak-anak.

"Tetapi apabila terpandang wajah polos ketika mereka tidur, saya jadi tersentuh dan rasa bersalah apabila berkasar dengan anak-anak. Selalu juga saya menangis sendiri sebab kesal dan selalu mendoakan kesejahteraan mereka supaya mudah menghafal selain dekat dengan al-Quran," katanya.

Tambah Aishah lagi, anak-anaknya itu disifatkan sangat baik dan boleh menerima serta memahami cara didikannya yang disifatkan mungkin ekstrim bagi sebahagian keluarga yang biasa.

"Ada juga terselit rasa simpati sebab anak terpaksa hidup cara berbeza dengan rakan sebaya mereka. Waktu itu mungkin lumrah anak kecil suka menonton televisyen dan bermain tetapi peluang itu tidak dinikmati pada anak-anak yang mana tiada kemudahan televisyen di rumah.

"Rutin mereka banyak dimanfaatkan untuk belajar selain menghafal al-Quran. Selain itu kehidupan anak-anak sejak masuk pusat tahfiz pula mereka mula mencari pendapatan sendiri apabila menjadi imam undangan bagi masjid-masjid selain mengajar.

"Sekarang ini dapat lihat didikan yang mana saya terapkan dahulu turut dipraktikkan pada anak-anak mereka. Cuma yang saya terkejut apabila lihat cara mereka dirasakan jauh lebih tegas. Mungkin apabila sudah berusia, saya juga berubah dan mudah lembut dengan cucu," katanya.

Tidak menolak pernah dikritik cara beliau membesarkan anak-anak kerana dikatakan pengajian bidang huffaz ini tiada masa depan.

"Memang dahulu ada yang perlekeh cara didikan ustazah iaitu mengutamakan pengajian menghafal al-Quran berbanding akademik. Tetapi melihat perkembangan anak apabila sudah biasa dengan menghafal al-Quran, mereka lebih cerdas.

"Lebih ketara perkembangan pada anak nombor enam apabila lemah dalam akademik tiba-tiba menjadi pelajar terbaik setelah mula menghafal al-Quran. Jadi percaya kaedah itu terbaik saya Istiqamah.

"Meskipun ada yang memilih cabang lain selain agama, mereka masih melengkapkan hafalan sehingga ke 30 juzuk termasuklah anak bongsu yang kini mengikuti pengajian di Matrikulasi Labuan dalam bidang pengajian Sains," katanya.

Kata nenek kepada lima orang cucu itu lagi, kini enam daripada anaknya bergelar guru tahfiz selain tiga daripadanya masih menyambung pengajian dalam bidang masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 1:00 AM