JULIANA menyifatkan solekan mata paling rumit untuk dapatkan hasil baik.
JULIANA menyifatkan solekan mata paling rumit untuk dapatkan hasil baik.
Nurul Husna Mahmud


DALAM solekan wajah, bahagian mata memainkan peranan penting kerana ia menjadi tumpuan setiap kali orang memandang.

Merias mata dengan kaedah yang betul akan membantu memberi kelebihan iaitu pesona 'sedap mata' memandang dan membina imej yang baik.

Dalam solekan mata, adalah penting anda mengenal pasti jenis solekan yang sesuai supaya tidak keterlaluan sehingga membuatkan wajah lebih tua dari usia sebenar.

Jika seseorang bijak atau pandai mengadun warna pada bahagian itu, hasil solekan boleh memberi 'efek' wajah kelihatan lebih cantik dan tampak lebih muda.

Itulah kelebihan bagi mereka yang mahir mengendalikan solekan mata terutama dalam merias wajah sendiri.

Perkara itu dikongsi Jurusolek Ara Ari Empire Juliana Johari, 33, yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang dandanan dan solekan.

Kata Juliana, kebiasaannya solekan boleh membantu memberi visual menarik pada alur mata selain menjadi 'penyelamat' kepada isu seperti mata kusam dan lebam bawah mata.

"Solekan mata boleh membantu dalam banyak aspek untuk cantikkan wajah. Kalau ada mata yang tampak tidak bermaya atau penat, penggunaan warna tertentu boleh kurangkan masalah terbabit.

"Masalah lain termasuklah kurangkan kesan ketara kedutan bawah mata yang tidak terlalu serius dan penting juga dalam isu lebam bawah mata atau 'mata panda.'

"Tetapi untuk masalah bengkak bawah mata seperti ada bantal atau dipanggil 'eye bag.' Masalah itu tidak dapat ditutup dengan solekan sebaliknya perlu pembedahan sebagai rawatan," katanya.

Tip lain yang turut disarankan Juliana, ialah mengenakan rutin penjagaan mata iaitu tidur mencukupi dan pengambilan makanan sihat.

Malah bagi penjagaan lebih baik, gunakan juga krim mata sebelum tidur supaya mata tidak tampak kusam dan solekan juga menjadi mudah terutama dalam penggunaan 'primer.'

Penggunaan timun dan ais sebagai terapi bahagian mata juga boleh membantu memberi kesegaran pada bahagian terlindung itu.

Dalam solekan harian pula, Juliana berkongsi beberapa tip yang boleh diikuti pembaca bagi mendapatkan hasil yang menyenangkan pada bahagian mata.

Berikut langkah-langkah secara urutan dalam solekan mata sesuai untuk kasual atau majlis yang santai:

SEBELUM disolek.
SEBELUM disolek.

RAPIKAN kening menggunakan celak pensel kerana ia lebih mudah digunakan dan kemas.
RAPIKAN kening menggunakan celak pensel kerana ia lebih mudah digunakan dan kemas.

Langkah Pertama : Pemakaian primer

Sapukan primer pada bahagian kelopak mata supaya bahan itu boleh membantu lekapan lebih baik apabila mengenakan pembayang mata.

Ratakan dengan tipis dan adunkan dengan baik pada bahagian kelopak serta bawah mata supaya tidak terlalu tebal atau melekit.

Kesilapan kebanyakan orang pada bahagian primer ialah mereka tidak adun dengan baik atau pastikan bahagian asas ini betul tampak serasi dengan tona kulit dan bedak muka nanti. Kesan daripada itu akan ada tompok-tompok apabila mengenakan pembayang mata.

GUNAKAN pembayang mata warna bumi atau semula jadi.
GUNAKAN pembayang mata warna bumi atau semula jadi.

PEMAKAIAN primer mengikut soket atau tulang mata.
PEMAKAIAN primer mengikut soket atau tulang mata.

Langkah Kedua: Penggunaan pembayang mata

Apabila memilih pembayang mata yang sesuai dan selamat, disarankan menggunakan warna-warna semula jadi atau warna bumi kerana ia selamat.

Gunakan tona terang ke gelap apabila semakin dekat dengan kelopak mata. Penting adunkan tona berbeza supaya tidak nampak terlalu ketara antara tona berbeza terutama bagi mereka yang menggunakan dua tona.

Tip penting ketika kenakan pembayang ialah ikut tulang atau soket mata supaya olesan pembayang mata nampak kemas dan semula jadi.

ADUNKAN primer sekata.
ADUNKAN primer sekata.

ADUNKAN warna pembayang mata dari cerah ke gelap apabila semakin mendekati bahagian mata dan perlu mengikut tulang mata.
ADUNKAN warna pembayang mata dari cerah ke gelap apabila semakin mendekati bahagian mata dan perlu mengikut tulang mata.

Langkah Ketiga: Pemakaian celak mata

Celak antara proses dalam solekan mata cukup rumit. Kalau salah pemilihan celak boleh buat mata tampak garang dan wajah lebih tua.

Bagi mereka yang kurang mahir mengendalikan alat solek, disaran menggunakan jenis pensel berbanding celak basah.

Tip untuk pemakaian celak biasanya kelopak mata ditekan dan ditarik ke hujung alur mata. Ketika memakai celak, hendaklah tahan nafas supaya hasil rata dan kemas.

PEMAKAIAN celak mata antara proses paling rumit.
PEMAKAIAN celak mata antara proses paling rumit.

PEMAKAIAN maskara perlu dalam gerakan 'zig zag'.
PEMAKAIAN maskara perlu dalam gerakan 'zig zag'.

Langkah keempat: Pemakaian maskara

Pemakaian maskara tertentu membantu memberi kesan bulu mata lebih lebat dan tebal. Tetapi sebelum ke proses itu, kepit dahulu bulu mata untuk kemaskan dan pastikan lentikan bulu dalam keadaan yang baik.

Pilih produk maskara yang sesuai dengan anda. Jika ingin tampak lebat dan lentik, gunakan jenis fiber. Jika mahu tahan lama pula gunakan kalis air.

Teknik mengendalikan atau kenakan maskara ialah dalam pergerakan 'zig zag' dan bukannya mengikut lentikan bulu mata. Tindakan mengenakan maskara dengan mengikut lentik bulu mata boleh menyebabkan ketebalan tidak sekata dan bahagian mata itu tidak selesa.

Lagi satu kesilapan yang kerap dilakukan pemakai maskara, ialah gemar celup maskara terlebih dahulu sebelum pakai sedangkan itu tidak perlu kerana boleh mengeringkan maskara apabila terdapat kandungan udara terhasil daripada tindakan itu.

Apabila dikenakan pada bulu mata akan ada gumpalan dan menyebabkan bulu mata tampak berat serta tidak rata.

HASIL solekan sesuai untuk majlis santai.
HASIL solekan sesuai untuk majlis santai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 6:21 AM